KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Mei 25, 2010

Umno Terengganu akui tiada kubu kuat BN di seluruh negara

Jenama BN kian luntur, rakyat sudah muak dengan gelagat pemimpinnya yang membuli dan mendera mereka selama lebih 50 tahun berkuasa di negara ini.

PARA pemimpin Barisan Nasional (BN) Terengganu ternyata amat tidak selesa dengan hasrat PAS menawan semula negeri itu. Meski pun menganggap sasaran PAS mengulangi sejarah kemenangan 1999 seumpama omong kosong atau hanya mimpi, kegusaran sebenar yang bersarang di hati mereka akhirnya terserlah juga.

Awal bulan ini PAS Terengganu menyuarakan optimismenya merampas semula negeri itu. Antara sifir politik dikemukakan ialah kemungkinan menawan sembilan kerusi lagi yang kini dimenangi BN dengan majoriti kecil. Dicampur dengan lapan kerusi yang sudah dimenangai PAS kini, ia menjadi 17 kerusi dan membolehkan kerajaan majoriti mudah dibentuk di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) berjumlah 32 kerusi itu.

Optimisme PAS itu bagaimana pun dipandang rendah oleh para pemimpin BN negeri. Kenyataan beberapa pemimpin parti itu jelas cuba memperlekehkan keupayaan dan kemampuan PAS Terengganu merealisasikan hasrat tersebut. Malangnya, dalam usaha memperkecilkan kekuatan parti lawan, BN terlupa bahawa hujah dan sandaran yang mereka kemukakan boleh pula dijadikan bahan mempertikaikan kemenangan dan kekuatan BN sendiri.

Di antara hujah yang mendapat perhatian media ialah apa yang diutarakan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Salleh. Sebuah tabloid harian edisi Terengganu pada Rabu (17 Februari) memetik kenyataannya yang yakin bahawa PAS sebenarnya tidak ada kubu kuat di negeri itu.

Menurutnya, istilah kubu kuat hanya boleh diberikan sekiranya PAS sentiasa konsisten memenangi sesuatu kerusi dengan majoriti besar tanpa berlaku pengurangan. Namun katanya, berdasarkan beberapa pilihan raya umum sebelum ini, keadaan itu tidak berlaku. Sebaliknya, kawasan yang sering dimenangi PAS juga menunjukkan kemerosotan majoriti undi PAS agak ketara. Bekas calon BN yang kalah dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu itu memetik Dun Wakaf Mempelam sebagai contoh.

“Pada (pilihan raya umum) 1999 di Wakaf Mempelam kita (BN) kalah dengan majoriti lebih 5,000 undi, tetapi lima tahun kemudian (2004), kita hanya kalah dengan lebih 1,000 majoriti undi. Maknanya kalau benar ia (Wakaf Mempelam) kubu kuat PAS, majoriti undi tidak akan bergerak. Ia tetap berada dalam jumlah 5,000 sama ada berlaku tsunami, ribut, taufan, panas atau hujan, tetapi fakta menunjukkan ada pengurangan,” katanya.

Itulah yang penulis maksudkan tadi bahawa dalam usaha menenangkan kegusaran hati mereka atas optimisme PAS, para pemimpin BN mungkin terlupa hujah mereka gunakan itu sebenarnya mendedahkan parti itu sendiri kepada pertikaian serupa. Maksudnya, dengan hujah kemerosotan majoriti undi itu, PAS juga boleh mendakwa sebaliknya. Bahawa BN Terengganu juga tidak boleh menganggap mana-mana kerusi dimilikinya kini adalah kubu kuatnya. Analisa terperinci terhadap keputusan pilihan raya 2008 di setiap kerusi Dun mahu pun Parlimen menunjukkan sebahagian besar mereka menyaksikan kemerosotan ketara majoriti diraih BN berbanding 2004.

Jika logik hujah Wan Farid tadi digunapakai, maka ia sebenarnya memberikan hujah tambahan buat PAS Terengganu semakin optimistik dengan hasratnya menawan semula negeri itu. Ia umpama mengakui bahawa tidak ada kerusi yang selamat buat BN di negeri itu. Bahkan congakan kekuatan politik itu bukan terbatas setakat Terengganu sahaja. Berdasarkan logik hujah bekas timbalan menteri itu juga, tidak salah bagi pembangkang mendakwa ia ada kekuatan dalam politik negara ini. Bukankah jumlah kerusi dimenangi BN merosot teruk dalam pilihan raya lalu?

BN juga tidak boleh mendakwa kemenangannya untuk terus memerintah Malaysia dan beberapa negeri sebagai bukti BN masih ada kubu kuat di negara ini. Bukankah undi dan kerusi dimenangi BN merosot di hampir kesemua negeri? Jangan dikata di negeri-negeri yang diketahui sebagai kubu kuat pembangkang, Johor yang diakui sebagai “negeri paling kuat Umno dalam dunia” itu pun turut dilanda fenomena serupa. Daripada kemenangan mutlak 26 kerusi Parlimen pada 2004, BN tewas di satu kerusi pada 2008.

Di peringkat Dun pula, BN menawan 55 daripada 56 kerusi pada 2004. Tahun lalu, jumlah kerusi terlepas ke tangan pembangkang meningkat kepada enam. Penelitian terhadap keputusan pilihan raya negeri itu secara terperinci turut mendapati fakta lebih menarik. Daripada 50 kerusi dimenangi BN di Johor, hanya dua kerusi menyaksikan penambahan majoriti, iaitu di Rengit dan Sedili. Itu pun di bawah 700 undi sahaja.

Ada pun baki 48 Dun lagi menyaksikan kemerosotan ketara majoriti kemenangan BN. Bahkan, di tiga Dun, iaitu Stulang, Nusa Jaya dan Penggaram, majoriti BN merosot lebih 10,000 undi berbanding 2004. Ertinya kekuatan BN sudah merosot dan jika diikutkan logik hujah Wan Farid tadi, maka BN tidak lagi boleh mendakwa Johor adalah kubu kuatnya.

Paling menarik ialah kemerosotan undi dan majoriti kemenangan diperolehi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri. Dalam pilihan raya lalu beliau hilang lebih 2,000 undi dan majoriti kemenangannya merosot hampir 6,000 undi berbanding 2004. Apakah pemimpin BN bersetuju dengan hujah Wan Farid lalu menerima hakikat kemenangan para pemimpin utamanya di serata negara juga tidak menjadikan kerusi mereka miliki kini kubu kuat BN? - Mohd Nasir Awang

Tiada ulasan: