KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Mei 23, 2010

Pulut Kuning PAS Batu rai kemenangan DAP di Sibu beri kejutan masyarakat setempat!

SUATU yang luar biasa. Bukan DAP yang beriya-iya menyambutnya tetapi kini PAS yang dulunya dikatakan seteru kuat parti itu. DAP cukup takut duduk semeja dengan PAS. Apatah lagi menghadiri program anjuran parti Islam itu.

Tiga hari selepas DAP yang mewakili Pakatan Rakyat menang, menumpaskan calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sibu, 16 Mei lalu, PAS Kawasan Batu merayakan kejayaan itu setelah gundah dengan kekalahan KeADILan di Hulu Selangor.

Ramai yang terkejut apabila PAS menganjurkan 'Majlis Kesyukuran Pulut Kuning Sibu', 19 Mei lalu jam 9 malam. Yang menang DAP, tetapi PAS pula yang merayakannya. Begitulah kata-kata aluan pengerusi majlis yang juga pengrah program, Tarmizi Mohd Jam.

Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr. Tan Seng Giaw sebagai pengucap utama, cukup terharu dengan sambutan PAS itu. Segala tembok yang mendindingi PAS-DAP sudah runtuh dan kedua-dua parti boleh bekerjasama dengan berkesan.

"Sudah terbukti di Sibu PAS tolong DAP. KeADILan juga. Tapi orang di sana boleh terima PAS dan saya boleh duduk majlis ini. Dulu-dulu tak boleh. Semua takut," tegasnya disambut gelak ketawa hampir 200 hadirin.

Selain Tan Seng Giaw, turut berkongsi analisa dan pengalaman tentang PRK Sibu dan Hulu Selangor dalam majlis itu termasuklah Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh; EXCO Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-JUndi; penganalisa politik, Subky Latiff; Pengarah Strategik KeADILan, Tian Chua dan Yang Dipertua PAS Batu, Ishak Surin.

Secara simboliknya, kerjasama PAS-DAP kini cukup intim di mana-mana jua. Dan inilah yang ditunjukkan oleh jentera PAS di Sibu, hingga diberi kepercayaan DAP kepada PAS mengambil-alih kerja-kerja pilihan raya di UPU Kg. Hilir Nangka, tegas Aiman Athirah dalam perkongsian pengalamannya berkempen di Sibu.

"PAS belum ada (ditubuhkan) di Sibu. Tetapi masyarakat di sana tanya kami, bila PAS nak datang ke Sarawak? Mereka dah muak dengan Tok Uban (merujuk kepada Ketua Menteri Sarawak)," jelas beliau. Sebenarnya kemenangan PR di Sibu, mampu mengubati jiwa yang resah setelah melihat gelajat pemimpin BN yang melonggokkan duit lebih RM140 juta dalam pelbagai bentuk dan projek sepanjang PRK Hulu Selangor.

Di Sibu, BN tidak mencurahkan sebesar itu duit kerana mereka percaya, pengundi tidak akan undi DAP sebaliknya akan terus mengundi BN. Itu kawasan BN, dan BN hanya mempertahankan sahaja, malah mereka yakin, pengundi Sibu 'tidak cerdik', usik Subky Latiff.

Syed Ibrahim pula terus mengkritik SPR yang dianggap gagal menambahbaik badan itu, khususnya dalam kerja-kerja pendaftaran pemilih dan undi pos.

"Kalau SPR sudah berpengalaman lama, kenapa masih banyak pihak mempersoalkan isu-isu yang sepatutnya sudah diselesaikan seperti daftar pemilih, undi hantu, undi pos malah ada orang yang sudah berumur lebih 100 tahun pun tersenarai sebagai pengundi lagi," bidas beliau sinis.

Akhirnya, makan pulut kuning mencecah jam 12 malam. Sepatutnya jam 10.30, tetapi ramai tetamu yang berucap, ghairah dengan fakta dan pengalaman, menjadikan waktu berucap lanjut. Tian Chua yang tiba lewat, menutup majlis dengan ucapan ringkas. Beliau yakin, tsunami politik di Sarawak sudah dibuka pintunya di Sibu, dan ini amat menakutkan Perdana Menteri.

Hampir 200 hadir menjamu selera pulut kuning dan mee goreng pada majlis penuh santai yang diadakan di perkarangan rumah Yang Dipertua PAS Batu, Ishak Surin, Kg. Bandar Dalam.

Tiada ulasan: