KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mei 31, 2010

Misteri Tanah KTMB: Kos operasi meningkat, sewaan WTCP bakal membebankan!

PM dibidas kerana menerima cadangan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang diajukan hanya kepada beliau tanpa sebarang kertas cadangan dan kajian rasmi, malah tidak merujuknya ke Parlimen dan kabinet untuk memajukan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Keputusan ini tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, amat dicurigai rakyat dan menganggap Najib Tun Razak telah menggadaikan tanah KTMB itu dengan hanya sebiji buah durian sahaja.

PAS menuntut penjelasan dan pembentangan khas berkaitan penyerahan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam sidang parlimen akan datang agar tidak mahu anak cucu rakyat negara ini marah kerana tanah itu digadai hanya dengan sebiji durian, tegas beliau kepada Harakah.

Beliau melahirkan rasa kesal kerana Najib hanya mengambil masa beberapa jam berbincang dengan Hsien Loong untuk memutuskan penyerahan tanah milik KTMB di Tanjung Pagar kepada syarikat usaha sama Malaysia-Singapura, M-S Pte Ltd.

Katanya, dua hari selepas dijamu makan durian di Pulau Sentosa, Najib mengunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri tanpa merujuk kepada Parlimen dan kabinet untuk menerima kerjasama itu.

Seluas 271 hektar tanah milik KTMB di Tanjung Pagar, Kranji dan woodlands serta tiga bidang tanah di Bukit Timah kini diserahkan kepada sebuah syarikat yang belum lagi ditubuhkan. Syarikat usaha sama Malaysia-Singapura yang dikenali sebagai M-S Pte Ltd, akan ditubuhkan sebelum 31 Disember tahun ini. Khazanah Nasional memegang 60% kepentingan dan Temasek Holdings Limited akan memegang baki 40%.

"Ini bermakna dari jumlah 271 hektar tanah milik KTMB, 40% kini sudah sah menjadi milik Singapura melalui perkongsian pelaburan yang dipersetujui Najib itu," katanya. Jelas Ustaz Idris, walaupun belum ada kepastian mengenai status pemilikan tanah, tetapi projek sistem transit laju (RTS) menghubungkan Tanjung Puteri, Johor dengan stesen di Woodlands yang dijadual beroperasi pada 2018 melalui projek usahasama ini, kini dibahagi dua kepada Singapura.

Katanya, Najib juga gagal memberikan penjelasan terperinci tentang cadangan memindahkan Stesen KTMB di Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) milik Singapura menjelang 1 Julai 2011. Malaysia juga dikatakan bakal memindahkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) keretapi di WTCP.

Menurut Ustaz Idris, PAS menganggarkan kos operasi KTMB akan meningkat dan bayaran penyewaan WTCP milik Singapura akan membebankan pada masa akan datang. Justeru katanya, tuntutan satu penjanjian pengecualian sewa atau kajian implikasi kewangan hendaklah dibuat sebelum cadangan ini dilaksanakan.

"Kita tidak mahu, KTMB bakal menyertai senarai syarikat milik kerajaan yang rugi seperti Pos Malaysia Berhad dan Sime Darby Berhad. Kita tidak lupa, kedua-dua syarikat yang rugi ini juga menerima pelaburan dari Khazanah Nasional," bidas beliau.

Tiada ulasan: