KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mei 31, 2010

PAS bimbang tanah KTMB jadi milik Singapura

PAS menyifatkan isu 'penggadaian' tanah milik KTMB di Singapura mesti dibincangkan Dewan Rakyat, ataupun Dewan Undangan Negeri Johor terlebih dahulu sebelum keputusan diambil, kerana ia membabitkan soal kedaulatan dan maruah negara.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman yakin perkara tersebut tidak dibawa ke Majlis Raja-Raja ataupun Sultan Johor, sebaliknya ahanya keputusan peribadi Perdana Menteri semata-mata. Mengulas lanjut soal pegangan ekuiti 60-40 peratus di antara Malaysia dan Singapura ke atas tanah tersebut, Mazlan mempersoalkan mengapa jumlah itu timbul.

"Kenapa timbul soal perjanjian yang meletakkan nilai ekuiti 60-40 peratus itu, sedangkan tanah itu milik Malaysia? Kita mahu tahu, kenapa 60-40, bukan 80-20 dan sebagainya," tegas beliau yang membuat laporan polis berhubung isu ini, 26 Mei lalu.

Mazlan yang kecewa dengan keadaan tersebut turut mengatakan tiada jaminan khusus berkaitan pegangan nilai tersebut, yang akhirnya dibimbangi tanah itu atau asset tersebut akan hilang begitu sahaja.

"Luka kerana terpaksa melepaskan Pulau Batu Putih ke Singapura masih belum terubat, sekali lagi kita gadaikan tanah kita kepada Singapura. Saya bimbang perjanjian antara kedua-dua negara ini hanya memberi kelebihan kepada negara jiran itu semata-mata," dakwa beliau.

Mazlan turut mempertikaikan sikap kerajaan yang seolah-olah dilihat tidak berbuat apa-apa terhadap enam loji air di Johor yang dikatakan milik Singapura. Biarpun tanah tersebut merupakan milik Malaysia, sebuah syarikat Singapura, Public Utilities Berhad (PUB) dikatakan mengurus loji tersebut, sehingga tidak dibenarkan warga Malaysia mendekati kawasan itu.

"Sehingga hari ini, status tanah itu tergantung di atas angin. Tiada kata putus, siapa yang berkuasa sebenarnya. Begitu juga dengan Pulau Pisang di Pontian, yang hari ini diuruskan Singapura," tegas beliau kesal. - Anis Nazri

Tiada ulasan: