Kelantan Trade Centre (KTC) menjadi pilihan Kongres Nasional KeADILan yang akan berlangsung 28 - 30 Mei.
PERWAKILAN dan pemerhati yang akan menghadiri muktamar PAS di sini, akan diraikan dengan jamuan rakyat sempena ulang tahun ke-20 kerajaan PAS Kelantan. Jamuan rakyat itu diadakan pada hari pertama muktamar berlangsung. Orang ramai boleh menikmati jamuan berkenaan selepas majlis perasmian muktamar selesai.
Pengarah Muktamar, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-56 yang akan berlangsung 11 hingga 13 Jun ini agak berlainan berbanding sebelumnya. Katanya, selain jamuan rakyat akan diadakan pameran oleh Pejabat Agung PAS dan Badan Perhubungan PAS negeri-negeri di khemah khas berhawa dingin.
"Manakala pada hari kedua dan ketiga jamuan yang diadakan hanya untuk meraikan perwakilan sahaja seperti dilakukan sebelum ini,"kata Takiyuddin ketika ditemui di sini.
Menurutnya, sempena muktamar juga disediakan lebih 300 gerai pameran menawarkan pelbagai jenis produk termasuk makanan. Selain itu diadakan juga ekspo pelbagai barangan. Ceramah perdana pula akan diadakan pada 12 Jun jam 9 malam di Putik.
Takiyuddin yang juga berkata, wakil-wakil kedutaan asing turut mengesahkan kehadiran bersama pimpinan tertinggi parti-parti Pakatan Rakyat. Selain itu wakil-wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga turut dijemput. Kata beliau juga penyampaian hadiah pertandingan logo muktamar juga akan diadakan pada hari perasmian. Beberapa hadiah lain juga akan diumumkan.
Sementara itu, Kongres Nasional KeADILan juga diadakan di sini, pada 28 hingga 30 Mei lalu bertempat di Kelantan Trade Centre (KTC), berhampiran Stadium Sultan Mohammad Ke-IV. Kongres tersebut julung kali diadakan di Kelantan, menyaksikan kehadiran lebih 2,000 perwakilan dan pemerhati yang datang dari seluruh negara. Perasmian kongres kali ke-6 itu diadakan pada 29 Mei dilakukan sendiri Presiden KeADILan, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sehari sebelum itu, diadakan Persidangan Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN. Perasmian kedua-dua sayap itu dilakukan serentak oleh Timbalan Presiden, Dr Syed Hussin Ali. Persidangan AMK diadakan di Perdana Resort, manakala Wanita di KTC. Sempena kongres berkenaan, Kota Bharu dipenuhi bendera-bendera dan sepanduk KeADILAN bagi mengaluk-alukan kedatangan perwakilan dan pemerhati. - Rizal Tahir
Tiada ulasan:
Catat Ulasan