KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mei 31, 2010

Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel berpakaian serba hitam turun daripada helikopter, bertempur dengan aktivis


Berita dari Istambul melaporkan, lapan rakyat Malaysia disahkan berada dalam Mavi Marmara, kapal utama dalam flotila pro-Palestin yang diserang tentera Israel hari ini. Menurut ADUN Meri, Dr Abd Rani Osman, lapan rakyat Malaysia itu terdiri daripada enam sukarelawan dan dua wartawan sebuah televisyen berbayar di Malaysia.

Dr Abd Rani yang kini berada di Instanbul juga mengesahkan bahawa 16 terkorban dan enam dari kapal yang diserang itu kini dibawa ke Haifa untuk dipenjarakan. Dua wartawan Astro Awani itu dikenalpasti sebagai Ashwad Ismail dan jurugambar dan Samsul Kamal Abdul Latip.

Manakala dalam laman Twitter-nya, Ashwad hanya mengemaskinikan statusnya kira-kira 14 jam lalu. "Mavi Marmara on alert. Semua berada pada tahap tertinggi. Dua pesawat pemantau Drone dipercayai milik Israel kelihatan," coretan terakhirnya sebelum tragedi itu dipetik.

Terdahulu, menurut AFP yang memetik laporan televisyen yang dimiliki Hamas, anggota komando Israel menyerbu sekurang-kurangnya sebuah kapal yang didakwa dipenuhi aktivis pro-Palestin yang berjuang untuk Gaza.

Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel yang berpakaian serba hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan kumpulan aktivis, di mana beberapa yang cedera kelihatan terbaring di atas dek kapal itu.

Rangkaian televisyen berkenaan berkata, dua aktivis terbunuh manakala 50 yang lain cedera. Tentera Israel enggan mengulas laporan itu dan penganjur konvoi bantuan berkata, mereka terputus hubungan dengan bot berkenaan.

Kapal itu membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.

Tiada ulasan: