KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Mei 25, 2010

Tiga bangsa Melayu, India, Cina bersatu dan berpadu di bawah payung Islam!


Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menjadi salah satu sayap penting bagi PAS sekali gus membuktikan parti Islam itu berjaya memecah tembok perkauman dalam negara ini apabila ketiga-tiga bangsa Malayu, Cina dan India boleh bersatu di bawah payung Islam.

Atas kejayaan itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusuf menyeru seluruh ahli PAS memberi bimbingan sebaiknya kepada anggota DHPP dan jangan sekali-kali memisahkan mereka dengan parti itu.

"PAS mesti membantu mereka, dan dewan ini (DHPP) mesti berjalan. Kita jangan sia-siakan harapan ini, harapan yang sekian lama akhirnya menjadi realiti," tegasnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran DHPP, 23 Mei lalu.

Sambil menyifatkan DHPP yang dahulu dikenali Kelab Penyokong PAS (KPP) sebagai 'bayi baru lahir' dalam keluarga PAS, Mujahid berkata mereka memerlukan sokongan padu dalam proses memantapkan dewan seperti dewan-dewan yang telah sedia ada dalam parti itu.
"Biasalah, bayi yang baru lahir perlu dibelai, dijaga dengan sempurna. Mereka akan mula merangkak, menangis, yang semestinya memerlukan perhatian kita. Ahli-ahli yang hadir pada hari ini, saya seru kepada anda, ini bayi yang baru lahir di kalangan anggota keluarga kita. Tolonglah bimbing mereka," ujarnya.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, PAS Pusat telah melulus dan memberi hak perundangan kepada DHPP sekali gus membuktikan dewan itu diberi pengiktirafan dan menjadi sebahagian daripada PAS. Tegasnya, PAS tidak akan mensia-siakan kejayaan besar menubuhkan DHPP sebaliknya harus membuktikan kepada seluruh rakyat bahawa semua kaum di negara ini dapat bersatu di bawah naungan PAS tanpa ada prejudis di antara satu sama lain.

"Barisan Nasional memerintah kita dengan MCA untuk orang Cina, MIC untuk orang India dan Umno untuk orang Melayu. Hari ini kita telah memecah tembok itu bahawa sebagai rakyat Malaysia kita orang Melayu membela orang Cina, orang Melayu membela orang India, orang India membela orang Melayu orang Cina membela orang India. Inilah kejayaan besar DHPP pada hari ini," katanya disambut tepukan gemuruh lebih 1500 ahli DHPP yang hadir.

Tambahnya, PAS bukan sahaja diterima oleh kaum India dan Cina tetapi kaum lain seperti orang asli, Iban dan Kadazan di Sarawak membuktikan kepada Malaysia bahawa wujudnya keharmonian dalam DHPP. Justeru katanya, 15 wakil DHPP akan mengikuti Muktamar PAS Pusat yang akan berlangsung pada 9 hingga 13 Jun depan di Putik, Kota Bharu. "Seperti juga dewan-dewan yang lain, DHPP akan menghantar wakil rasmi ke muktamar Jun ini," kata Mujahid.

Tiada ulasan: