ISU pertukaran Limbang dengan lapangan minyak Blok L dan M semakin hangat dipertikaikan. Semua pihak yang terlibat, termasuklah bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Najib Razak, Kementerian Luar Negeri, hinggalah Petronas memberi penjelasan bahawa ini formula penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak, Malaysia dan Brunei.
Namun demikian, apa yang terdedah setakat ini hanyalah kehilangan hak milik Malaysia ke atas Lapangan Minyak Blok L dan M. Masalah yang belum menemui penyelesaian termasuklah:
1. Kerajaan Malaysia masih belum mengumumkan persempadanan semula terbaru yang dipersetujui antara Malaysia dengan Brunei. Di bawah persetujuan ini, adakah negara kita memiliki atau kehilangan zon cari gali sumber petroleum yang lain?
2. Adakah penduduk Sabah kehilangan royalti minyak lantaran daripada itu?
3. Adakah kita hanya memperolehi hak milik terhadap Limbang pada akhirnya, apabila kita menukar dengan lapangan minyak yang bernilai ratusan bilion ringgit?
4. Mengapa pula Limbang yang dipilih?
Pertukaran dipersetujui kabinet Malaysia
Kenyataan Kementerian Luar Negeri memetik UN Convention of the Law of the Sea pada tahun 1982, menyatakan bahawa Brunei memiliki kedaulatan ke atas lapangan minyak Blok L dan M (Brunei mendakwa kedua-dua blok ini berada dalam lingkungan Blok J dan K), namun cari gali dan pembangunan blok ini dijalankan oleh Brunei bersama Malaysia.
Oleh itu, Kementerian Luar Negeri menganggap penyerahan kedua-dua blok (L dan M) kepada Brunei melalui Exchange of Letters yang dimeterai kedua-dua Malaysia dan Brunei pada tahun 2009, mematuhi undang-undang antarabangsa.
Secara ringkasnya, kenyataan PM Najib, bekas PM Abdullah Ahmad Badawi, malah Petronas telah mengesahkan bahawa kandungan dokumen "pertukaran" ini telah dipersetujui oleh kabinet Malaysia pada 11 Februari 2009, dan dimeterai kedua-dua kerajaan pada 16 Mac 2009. Dengan itu, Blok L dan M tidak lagi dimiliki Malaysia, dan kini dikenali sebagai Blok CA1 dan CA2.
Persempadan semula: Dapat atau hilang?
Biarpun Najib, Abdullah dan Kementerian Luar Negeri menekankan bahawa dokumen yang dimeterai antara Malaysia dengan Brunei menyelesaikan pertikaian yang berlanjutan antara Malaysia dengan Brunei selama ini, namun kerajaan Malaysia tetap tidak mengumumkan secara terbuka persempadanan baru darat dan laut yang telah dipersetujui itu.
Malah, bekas PM Mahathir Mohamad yang menghangatkan isu ini menuntut agar dokumennya didedahkan. Sekali imbas, lapangan minyak Blok L dan M hanyalah sebahagian daripada kawasan laut yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Brunei untuk sekian lama.
Pada hakikatnya, Blok J dan K yang terletak di luar Borneo (termasuk Blok L dan M), kawasan laut yang kaya dengan sumber petroleum ini adalah kawasan yang direbut antara Malaysia dengan Brunei selama ini. Sejak dulu Brunei mendakwa bahawa Blok J dan K adalah Zon Ekonomi Eksklusif yang dimiliki Brunei.
Kini, apa yang pasti, Malaysia secara rasminya menyerahkan hak milik lapangan minyak Blok L dan M, dan mengiktiraf kedaulatan Brunei di kedua-dua blok ini. Kita tidak mengetahui apa-apa selain itu. Sama ada kita memperolehi atau kehilangan wilayah darat atau laut yang lain, menurut dokumen yang dipersetujui tersebut.
Menurut maklumat yang sedia ada, Blok L dan M terletak bersebelahan dengan Blok K, malah wujudnya pertindihan dengan Zon Ekonomi Eksklusif antara Blok J dan K. Antaranya, lapangan minyak Kikeh, telah ditemui oleh Murphy Oil Corp bersama Petronas pada tahun 2003.
Dari segi kedudukan geografinya, lapangan minyak yang besar ini terletak dalam Blok K (dakwaan Malaysia) yang bersebelahan dengan Blok L, dan bersebelahan juga dengan Blok J yang didakwa Brunei, malah mungkin berlanjutan ke kawasan Blok J.
Mungkin kehilangan lapangan minyak Kikeh
Jika dirujuk kepada kenyataan Kementerian Luar Negeri, Malaysia telah mengiktiraf Blok J dan K sebagai wilayah dalam lingkungan kawasan laut Brunei, dan Brunei kini memiliki kedaulatan ke atas Blok L dan M. Dengan kata lain, Malaysia mungkin kehilangan hak milik ke atas lapangan minyak Kikeh. Lapangan minyak Kikeh dianggarkan mempunyai simpanan 400 hingga 700 juta tong petroleum, dengan pengeluaran yang boleh mencecah antara 120 ribu hingga 125 ribu tong sehari.
Antara lapangan minyak yang masih berada dalam kawasan laut yang sarat dengan pertikaian, termasuklah Kebabangan, yang diberikan oleh Petronas kepada Conoco Philips pada Februari 2005 (terletak di kawasan laut 94 km dari Barat Laut Kota Kinabalu, Sabah); Kinabalu yang diberikan oleh Petronas kepada Sabah Shell Petroleum (terletak di luar Sabah, kawasan laut 34 km dari Pulau Labuan), Gasumut-1 (terletak di kawasan laut pertikaian Malaysia-Brunei), Malikai-1, ND6 dan ND7 di Timur Sabah, lapangan gas asli di Serai, Sarawak dan sebagainya.
Oleh sebab kerajaan Malaysia belum mengumumkan persempadanan baru yang dipersetujui, maka kita tidak pasti sejauh manakah Malaysia kehilangan hak miliknya terhadap lapangan minyak. Namun, menurut perhitungan bekas PM Mahathir Mohamad, nilai lapangan minyak Blok L dan M bernilai USD 100 billion (atau RM320 bilion).
Menurut perkiraan pakar dalam bidang petroleum pula, jikalau dikira berdasarkan andaian pengeluaran antara 250 ribu hingga 300 ribu tong sehari di lapangan minyak Blok L dan M, maka lapangan minyak ini boleh kekal antara 15 hingga 20 tahun. Dengan kata lain, Malaysia dijangka kehilangan RM65.60 juta sehari, RM23.94 bilion setahun dan jumlah RM478.9 bilion untuk 20 tahun.
Penduduk Sabah kehilangan Royalti minyak 17.8 bilion
Jika benar dakwaan kerajaan Malaysia bahawa persetujuan ini merupakan formula penyelesaian "menang-menang", antara Malaysia dengan Brunei, maka persoalannya, apa pula yang diperolehi Malaysia?
Menurut kerajaan, Petronas diundang Brunei untuk menyertai dan membangunkan bersama sumber minyak dan gas di kawasan terbabit untuk tempoh 40 tahun. Dari tuan milik sumber semulajadi, Petronas kini hanyalah syarikat yang diundang oleh Brunei dalam usaha sama mencari gali sumber di kawasan ini. Apakah ia "menang-menang" untuk Petronas? Dalam keadaan kehilangan kedaulatan ke atas Blok ini, sejauh manakah kepentingan yang boleh diraih oleh Petronas dalam usahasama ini?
Di samping itu, kerajaan negeri Sabah juga kehilangan royalti minyak 5%-nya, lantaran "pertukaran" ini. Seandainya dikira berdasarkan annggaran di atas, kerajaan negeri Sabah akan kehilangan royalti minyak sebanyak RM3.28 juta sehari, RM1.19 bilion setahun dan jumlah RM17.85 bilion dalam tempoh 20 tahun.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, kerajaan persekutuan telah berunding dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dalam isu ini, sebelum perjanjian dengan Brunei ditandatangani. Maknanya, kerajaan negeri Sabah telah bersedia untuk "dikorbankan" (royalti minyak-nya), supaya akur kepada keputusan kerajaan persekutuan. Untuk penduduk Sabah, apakah ini formula penyelesaian "menang-menang"?
Apakah Limbang memadai?
Khabar yang tersebar kini mendakwa bahawa kerajaan Malaysia mendapat hak miliknya ke atas Limbang di Sarawak dengan melepaskan hak miliknya ke atas Blok L dan M. Setakat ini, sama ada Najib mahupun Abdullah tidak menjawab, adakah Brunei tidak akan lagi menuntut Limbang, di bawah persetujuan kedua-dua negara tersebut?
Pertamanya, jikalau kerajaan Malaysia mendapat hak milik Limbang dengan hak milik kerajaan negeri Sabah terhadap lapangan minyak, maka pertukaran ini sebenarnya memanfaatkan Sarawak dengan mengorbankan kepentingan Sabah. Namun, pihak yang mendapat kemenangan bersih ialah Brunei.
Keduanya, jikalau persempadanan semula yang dipersetujui menyaksikan pertukaran Limbang dengan hak milik ke atas lapangan minyak Blok L dan M, apakah pertukaran ini memperlihatkan kewajarannya? Apakah ini formula "menang-menang" untuk Malaysia?
Menurut maklumat dari wikipedia, Limbang dengan keluasan 7,788 km persegi tidak mempunyai sumber semula jadi seperti petroleum, gas asli mahupun arang.
Aktiviti ekonomi yang utama adalah pembalakan, pertanian secara kecil-kecilan, penanaman dan pelancongan.
Apa yang menarik, pada ketika Mahathir mengkritik Abdullah kerana menukar Limbang dengan lapangan minyak RM320 bilion, berita di internet pula tersebar bahawa kerajaan Mahathir menyimpan niat menjual Limbang kepada Brunei secara senyap-senyap dengan RM 2 bilion pada zaman 1980-an. Bagaimanapun, cubaan ini gagal setelah berita itu terbongkar. - Neo Chee Hua, Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan