KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Mei 30, 2010

Kerajaan Pusat lulus judi bola kepada Berjaya Group untuk jaga survival BN

ISU judi bola sepak yang diluluskan kerajaan kepada Berjaya Group, kini mendapat tentangan hebat dari umat Islam. Alasan kononnya untuk mengawal kegiatan itu, dibidas oleh Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan. Kenapa? Ikuti temubual ringkas wartawan ANIS NAZRI bersama beliau.

Biarpun telah jelas nas dan dalil mengenai hukum judi dalam al-Quran, tetapi kerajaan Umno-BN berdegil mmeberi lesen judi kepada Berjaya Group sempena kejohanan Piala Dunia Julai ini. Apa agenda mereka dan mengapa ini boleh terjadi?

USTAZ NASRUDDIN HASAN: Nampaknya kerajaan masih menunjukkan 'trend' pergantungan ekonomi kepada tauke-tauke judi. Saya mengesyaki pergantungan ini bagi survival politik BN untuk menghadapi pilihan raya. Lebih-lebih lagi banyak pilihan raya kecil berlangsung sejak Mac 2008. Bukan sahaja Pakatan Rakyat yang tidak cukup dana, BN juga nampaknya memerlukan dana memandangkan setiap pilihan raya kecil, komponen itu akan menyalurkan peruntukan berjuta ringgit untuk mendapatkan undi. Jadi, seolah-olah BN meletakkan tauke judi sebagai sumber kewangan mereka. Kita bimbang jika tauke judi meletakkan syarat tertentu kepada kerajaan jika mereka membantu BN mendapatkan dana. Sebagai contoh, mungkin syarikat tertentu meminta agar kerajaan menawarkan mereka sesuatu sebagai pulangan seperti tender. Jadi tidak mustahillah disebabkan itu, BN tidak mempedulikan bantahan rakyat. Jika dahulu, masa BN nak merangka Model Ekonomi Baru (MEB) atau GST, kerajaan ada mendapatkan pandangan rakyat. Mengapa dalam soal lesen judi ini, mereka tidak bertanya terlebih dahulu? Jika bukan kepada rakyat sekalipun, tanyalah dengan pakar-pakar agama dalam Umno. Di mana tokoh agama, menteri yang menjaga agama, dan juga Biro Agama Umno?

Tidak mustahil kerajaan akan membuat pelbagai helah dengan mengatakan langkah ini sebagai usaha meningkatkan kadar pendapatan negara. Sejauh manakah hujah ini boleh diterima, khususnya kepada orang-orang bukan Islam?

Kerajaan tidak mempunyai kepekaan dan rasa sensitiviti terhadap masalah keruntuhan sosial yang melanda dalam negara, jauh sekali berasa terkesan dengan hukum agama. Itu punca mengapa kerajaan Barisan Nasional (BN) masih meneruskannya. Janganlah kerana ingin meningkatkan perolehan kewangan negara, hingga mengabaikan soal hukum-hakam. Menyentuh soal ekonomi ini, sebenarnya Malaysia kaya dengan nikmat yang boleh dimanfaatkan. Kenapa perlu dilabutkan kepada yang haram. Negara kita kaya dengan hasil bumi, hutan balak. Jika diurus tadbir dengan baik, maka keuntungan juga boleh diperoleh. Kebijaksanaan dalam mengurus sumber negara sudah tentu memberi pulangan yang baik kepada negara. Kerajaan yang baik tidak akan mengamalkan pembaziran dalam setiap pentadbiran negara. Hakikatnya, perkara yang halal ini lebih banyak berbanding yang haram. Mengapa perlu pilih yang haram untuk tujuan tersebut? Jika benar, tujuan kerajaan Umno-BN untuk meningkatkan kadar pendapatan negara, mengapa dua blok minyak yang boleh memberi keuntungan kepada negara diserahkan begitu sahaja kepada negara jiran?

Dalam masa sama, kerajaan BN sering melaungkan kononnya Malaysia sebuah negara Islam. Tapi tak sensitif dengan Islam. Bagaimana saudara melihat perkara ini?

Dari dahulu lagi saya pelik dengan Islam yang dianuti Umno ini. Mereka mengaku sebuah parti yang berjuang untuk agama, tapi amalan mereka bertentangan dengan apa yang dislogankan. Saya melihat 'Satu Malaysia' ini langsung tiada Islamnya. Jika zaman Tun Dr. Mahathir dahulu, ada juga Islamisasi. Zaman Tun Abdullah Badawi ada Islam Hadhari. Itu pun tiada langsung ciri agamanya. Apatah lagi Satu Malaysia yang jelas-jelas tiada ciri-ciri Islam. Saya memang tidak faham Islam yang diamalkan Umno ini

Difahamkan, judi bukan sahaja diharamkan Islam, tetapi agama-agama lain turut tidak membenarkannya kerana ia menjurus ke arah kejatuhan tamadun dan rosaknya masyarakat. Adakah sudah terlewat bagi kerajaan menarik balik keputusan pemberian lesen judi ini?

Tidak menjadi keaiban bagi sesiapa pun jika membetulkan perkara salah yang pernah dilakukan. Tidak juga menjadi keaiban bagi sesiapa pun jika memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan, malah jika melakukannya ia akan lebih menampakkan kewibawaan seseorang itu. Sayangnya, jika masih enggan jelaslah kerajaan tidak mengambil pengajaran dari apa yang dihukum rakyat sebelum ini. Tunggulah masa untuk rakyat menghukum kerajaan.

Tiada ulasan: