KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Mei 11, 2010

Parti-parti utama BN kini "berperang" dalam kemenangan Hulu Selangor


HASRAT orang-orang Umno Hulu Selangor mahukan kerusi parlimen itu diserahkan kepada calon dari Umno, hancur berkecai apabila P. Kamalanathan memenangi pilihan raya kecil tersebut dengan mengutip 24,997 undi.

Dentam-dentum memorandum yang kononnya dibuat oleh orang-orang Melayu Sungai Choh mahukan calon Melayu mewakili BN dalam pilihan raya kecil itu, berakhir dengan kata-kata Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, "ahli-ahli parti kena akur dengan keputusan pucuk pimpinan."

Mereka yang membantah ura-ura kepimpinan BN mahu mengekalkan quota MIC di situ, terkunci mulut mereka apabila secara sah Timbalan Perdana Menteri menamakan P. Kamalanathan sebagai calon.

MIC yang dilihat seperti gembira tetapi tetap kecewa kerana BN tidak mengekalkan Datuk G. Palanivel bertanding di situ kerana "wajah Palanivel tetap wajah Dato' Seri S. Samy Vellu" yang sudah ditolak oleh rakan-rakan penyokong dalam BN.

Apa yang pasti, kemenangan tipis BN di Hulu Selangor akan menyebabkan MIC kehilangan kerusi parlimen ini. Dalam PRU-13, sudah hampir pasti BN tidak akan mengekalkan calon MIC bertanding di sini seperti mana yang berlaku di Ijok dahulu.

BN akan mengenal pasti kawasan lain di Selangor untuk diserahkan kepada MIC walaupun tiada jaminan MIC akan menang di kawasan baru itu kelak.

Secara senyap, MCA sudah terbayang akan kehilangan kerusi Dun Kuala Kubu Baru kerana prestasi parti kedua terbesar dalam komponen BN ini jelas terjejas teruk.

Mustahil MCA tidak berkira-kira untuk 'kehilangan' kerusi ini, lebih-lebih lagi dengan sindiran dan pukulan yang pengundi Cina terima ekoran keputusan pilihan raya kecil 25 April lalu.

Ketika Umno yakin mereka akan menang lagi kedua-dua kerusi DUN Bernam dan Batang Kali, Umno Bahagian Hulu Selangor sudah hampir pasti menjadikan perjuangan merebut kerusi Parlimen Hulu Selangor sebagai matlamat utama mereka.

Tidak mustahil kerusi Dun Kuala Kubu Baru akan diserahkan kepada MIC, jika kena percaturannya memandangkan BN sudah tidak yakin akan mendapat sokongan dari pengundi Cina.

Apakah MIC sudah bersedia? Apakah MIC sudah faham strategi Umno ini? Apakah MCA juga sudah tahu apa yang sedang difikirkan pucuk pimpinan BN?
Tahukah mereka bahawa Umno mungkin mencadangkan semua persefahaman dan perjanjian yang ada dalam BN 'digantung' untuk menghadapi PRU-13 akan datang?

Betul, Perdana Menteri menyerahkan cek bernilai RM 3 juta kepada Pengerusi Lembaga Pengarah SJK (C) Rasa, Ng Teck Kim tetapi apakah dengan sumbangan ini akan menyebabkan undi Cina kembali menyokong BN?

Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tentunya mempunyai pengalaman bagaimana pengundi Cina di Bukit Pasir dalam Parlimen Pagoh yang diwakilinya tetap tidak memberi undi kepadanya walaupun sumbangan berbentuk wang diserahkan kepada sekolah-sekolah Cina di kawasan tersebut.

Apakah P. Kamalanathan boleh menarik semula sokongan masyarakat Cina kepada BN? Apakah politik stail lama masih terpakai dalam era ini?

Presiden MCA memberi pelbagai alasan mengapa pengundi Cina tidak memberi sokongan kepada BN. Alasan-alasan tersebut tidak pula menyebabkan BN mahu mempercayainya dan memperbaiki kelemahan yang ketara.

Hari ini, tidak mustahil orang-orang Umno di Hulu Selangor berusaha untuk menambah bilangan pengundi Melayu bagi menarik perhatian pemimpin BN supaya calon yang mewakili kawasan Parlimen Hulu Selangor mestilah datangnya dari Umno.

Dalam masa yang sama, MIC kenalah melihat kawasan-kawasan lain untuk mereka pindah, termasuk ke Selayang atau Gombak kerana peratusan pengundi India dikatakan ramai di kawasan tersebut.

Dilema BN sekarang, kawasan majoriti Melayu belum tentu pengundi menyokong calon Umno seperti apa yang berlaku di Kelantan dan Kedah.

Jika calon DAP boleh kekal menang di Seputeh, Kepong dan Bukit Bintang, KeADILan pula menang mudah di Batu, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai dan Segambut manakala PAS boleh mempertahankan Titiwangsa, Umno, MCA, Gerakan dan MIC bertambah pening.

Tiada kawasan selamat bagi mereka. Parlimen Pekan sendiri telah memberi pengajaran yang cukup berkesan kepada Perdana Menteri apabila beliau hanya menang 241 undi dalam pilihan raya 1999.

MIC juga tentu tahu, dalam senyap-senyap ada kumpulan menghantar nama wakil PPP bertanding di dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor apabila desas-dsesus mengatakan BN tidak akan menamakan G. Palanivel.

Seorang bekas Ketua PPP bahagian dari Selangor mendakwa, jika bukan Murugiah bertanding di Hulu Selangor, BN akan tewas!

Mereka, komponen BN 'berperang'. Ketika Umno menguasai peluang 'membuat duit' dengan 'command centre', payung, t-shirt dan topi berlambang dacing, rakan-rakan komponen yang lain hanya dipinggiran.

Semua orang Umno tahu siapa yang buat duit setiap kali ada pilihan raya kecil. Orang Umno tahu siapa yang mempunyai trailer untuk menurunkan air minuman dan poster-poster. Orang Umno sedar, mereka (si polan itu) bergembira sakan apabila ada pilihan raya kecil.

Seperti Hulu Selangor, kawasanya luas. Maka ada dua trailer parkir terus di kawasan command centre dari mula dibina hinggalah selesai pilihan raya.

Dulu di Dun Bagan Pinang, disebabkan kawasannya kecil, maka hanya ada satu badan trailer sahaja diparkir di kawasan command centre tersebut.

Secara perlahan-lahan, mereka berbisik... makin besarlah perut si polan tu kalau ada pilihan raya kecil! Cuma, mereka khuatir perut yang besar itu akan meletup kalau ada pilihan raya umum. - Safar Jumaat

Tiada ulasan: