KETIKA Umno sedang seronok meraikan kemenangan calon BN yang mengutip majoriti 1,725 undi di Parlimen Hulu Selangor, kedengaran cerita akan berlaku pemecatan seorang bekas Exco Pemuda, Mohd Tamrin Tun Ghafar dari parti itu.
Seperti biasa, Umno tidak pernah memperdulikan kehadiran Tamrin di mana-mana tetapi ada cadangan supaya Tamrin dinyahkan dari Umno.
Tamrin adalah anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba. Allahyarham Ghafar juga pernah menjadi Timbalan Presiden Umno dan merupakan Naib Presiden Umno yang paling lama memanaskan kerusi itu – lebih 25 tahun.
Rekod yang dicapai Ghafar dalam Umno mungkin tidak akan ada lagi sesiapa yang mampu mengulanginya, jauh sekali mengatasinya.
Ramai yang tertanya-tanya, mengapa Tamrin kini memilih Anwar menjadi rakan seperjuangan sedangkan Anwar adalah orang yang menyebabkan Ghafar pernah merajuk dari Umno dan meninggalkan kerusi Timbalan Perdana Menteri.
Tentunya Tamrin menyimpan banyak rahsia. Antara rahsianya, peranan Dr. Mahathir Mohamad ketika mahu mengenepikan Ghafar dari kerusi nombor dua dalam kerajaan dahulu. Ketika Ghafar menyembunyikan semua itu hingga ke akhir hayatnya, Tamrin tentunya sudah bersedia untuk mendedahkannya.
Ketika Rais Yatim menyifatkan Tamrin sebagai seorang yang 'mendengar guruh di langit air tempayan dicurahkan' dalam masa yang sama Rais tidak mahu mengakui bahawa Tamrin bukan Ghafar Baba. Jika Ghafar setia kepada Umno, Rais tidak boleh menyamakan Tamrin dengan Ghafar.
Sudah ramai sebelum ini yang memilih jalan sendiri walaupun tidak sehaluan dengan bapa masing-masing. Jika Dr. Tan Chee Koon popular dalam Pekemas, anaknya mahu bersama Gerakan dan akhirnya meninggalkan parti itu.
Perbezaan antara Dato' Shahrir Abd Samad dengan adiknya Khalid Samad juga tidak pernah menyebabkan mereka terputus tali persaudaraan.
Maka, apa yang hendak digundahkan apabila mendapat berita Tamrin, bekas Ahli Parlimen Batu Berendam dan bekas Pengerusi MARA berada di pentas Pakatan Rakyat ketika kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor?
Bukan Tamrin seorang sahaja yang sudah bersedia mahu meninggalkan Umno, malahan, ramai lagi. Cuma, media arus perdana mungkin tidak berminat untuk melaporkannya, kebetulan mereka itu tidak ada kaitan dengan bekas-bekas pemimpin besar negara dan bukan anak kepada tokoh-tokoh ternama.
Sebenarnya, kelibat Tamrin bersama-sama mereka yang berhaluan kiri sudah jelas. Tidak lama dahulu, Tamrin kelihatan bersama Tengku Razaleigh Hamzah di pentas Gegar di Kota Bharu, ketika Tengku Razaleigh mendedahkan perjanjian royalti minyak.
Disebabkan ketika itu, Tengku Razaleigh tidak ada sesiapa yang berani 'menyentuhnya', maka Tamrin terselamat. Tetapi, kali ini Tamrin kelihatan bersama-sama Anwar – musuh nombor satu Umno, maka bersedialah Tamrin untuk dikenakan tindakan, pecat!
Tamrin tentunya sudah memikirkan semasak-masaknya. Malahan, Tamrin juga dikatakan pernah bersama-sama Dato' Kadar Shah Tun Sulaiman dan Dato' Mazlan Dato' Harun ketika memprotes pelan peralihan kuasa antara Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dahulu.
Ketika Umno mungkin tidak terasa sangat kehilangan Tamrin, Kadar dan Mazlan kerana mereka tidak berjawatan apa-apa di dalam Umno kini, Tamrin, Kadar dan Mazlan juga tentunya lebih lega jika Umno benar-benar memecat mereka.
Berbeza dengan Tengku Razaleigh. Jawatannya sebagai Ahli Parlimen Gua Musang dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang dan seorang bekas menteri kabinet menyebabkan kedudukannya agak selamat jika dibandingkan dengan tiga anak tokoh besar Umno itu.
Hari ini, Tamrin sudah tidak berselindung lagi. Berbanding dengan mereka yang 'sewaktu' dengan Tamrin, terus berada di dalam Umno tetapi tidak berhenti-henti mengkritik Umno dan kepimpinan.
Contoh paling ketara, bekas Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib sendiri tidak kelihatan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, padahal dia adalah bekas Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor dan pernah menjadi Adun di Batang Kali seterusnya menjadi Menteri Besar Selangor.
Tidak pula kedengaran ada mana-mana pihak mahu mencadangkan Muhammad dipecat atau dikenakan tindakan dari Umno kerana sikapnya itu berlawanan dengan tenggungjawab seseorang ahli Umno yang termaktub dalam Perlembagaan parti kebangsaaan tersebut.
Jika sesiapa dapat membandingkan perbuatan Tamrin dengan tindakan bekas Ketua Pergerakan Wanita MCA, tentunya mereka dapat memahami mengapa BN hanya menang 1,725 undi di Parlimen Hulu Selangor, 25 April lalu.
Cuma, Umno cuba sedaya upaya menyembunyikan fakta bahawa 'kebencian' sudah mula bersarang di kalangan mereka yang berjawatan dan yang sudah tidak memegang apa-apa tanggungjawab lagi.
Terlalu kurang bekas menteri, bekas timbalan menteri, bekas ahli MT, bekas Setiausaha Agung Umno dan bekas pemimpin besar mereka yang sedia datang membantu kempen.
Ke mana mereka? Sakitkah atau mereka tidak mahu melibatkan diri lagi? Atau mereka sudah tidak diterima oleh generasi baru yang sedang menguasai Umno?
Bolehkah Dato' M. Kayveas berjalan sama dalam satu kereta dengan Dato' Murugiah yang dikatakan kedua-duanya adalah Presiden PPP untuk berkempen dalam pilihan raya kecil itu?
Bolehkah Tan Sri Ong Ka Ting, Dato' Seri Ong Tee Keat dan Dato' Seri Dr. Chua Soi Lek berganding bahu berjalan dari rumah ke rumah untuk menemui seramai mungkin pengundi Cina di Hulu Selangor bagi menutup cerita krisis yang melanda MCA?
Jika ini tidak boleh mereka lakukan, apalah sangat dengan kelibat Tamrin berada di atas pentas pembangkang ketika kempen sedang berjalan kerana inilah sebenarnya 'wajah' Umno terkini yang diwar-warkan sudah kembali kuat dan semakin diterima penyokong. - Safar Jumaat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan