KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Mei 28, 2010

Rakyat tetap bantah GST, tuntut gaji minima walaupun Kerajaan Umno-BN berdolak-dalik

Arutchelvan bersama Tarmizi sewaktu pelancaran Pustaka Kiri Malaysia di Ibu Pejabat Partai Sosialis Malaysia (PSM) cawangan Balakong, awal bulan Mei lalu.

Setiap tahun Jawatankuasa 1 Mei akan mengadakan perhimpunan sempena Hari Pekerja. Bagaimana tahun ini?

S.ARUTCHELVAN: Setiap tahun sempena Hari Pekerja Sedunia, Jawatankuasa Mei 1 yang dianggotai kumpulan masyarakat dan NGO seperti Jerit, Suaram, Dema, SABM, Persatuan Sahabat Wanita serta parti-parti politik akan mengadakan perhimpunan. Kita semua tahu, 1 Mei adalah cuti umum untuk rakyat Malaysia dan peluang ini kita gunakan untuk memberitahu rakyat beberapa perkara yang amat penting. Pada 1 Mei 2010 lalu kami telah membuat keputusan untuk membuat satu himpunan aman untuk membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Mengapa Jawatankuasa 1 Mei memilih sempena Hari Pekerja?

Kami melihat isu GST ini ancaman paling besar kepada masyarakat berpendapatan rendah berbanding isu-isu lain. Memang sebelum ini kita ada membuat beberapa tuntutan seperti akta gaji minima untuk semua pekerja, wujudkan tabung pembuangan kerja, cuti bersalin 90 hari serta hentikan penswastaan perkhidmatan asas. Kami memfokuskan pada GST kerana walaupun kerajaan baru-baru ini mengumumkan cukai GST ini tidak akan dilaksanakan pada waktu terdekat, namun kita percaya sehingga sekarang kerajaan masih tidak menunjukkan sebarang langkah-langkah untuk memansuhkan terus azam mereka untuk melaksanakan GST. Kami dapat menjangkakan kerajaan akan terus melaksanakan GST ini. Kita dah tengok kerajaan dah membentangkan buat kali pertama akta ini. Tapi kerana bantahan terlalu kuat, kerajaan pun takut. Jadi, kita ingin menjadikan 1 Mei ini satu bantahan yang besar terhadap GST ini. Walaupun kita percaya ramai lagi rakyat tidak faham implikasi daripada GST ini, bila disebut cukai mereka rasa takut.

Gaji minima antara yang dituntut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan beberapa NGO. Apakah tuntutan ini akan turut disuarakan akan diteruskan selain daripada menuntut kerajaan membatalkan pelaksanaan GST?

Akta gaji minima antara isu pokok yang kita akan terus suarakan. Dahulu kerajaan pernah berjanji untuk melaksanakannya tapi tidak pernah ditunaikan. Jika kita lihat portal kerajaan, terdapat 'pool' mengenai akta gaji minima ini. Dan kita dapati daripada 'pool' tersebut kerajaan tidak akan laksanakan akta gaji minima kerana mendakwa menggunakan pasaran bebas. Nampaknya kempen kita berkesan sehingga kerajaan terpaksa membuat 'pool' seperti itu. Saya rasa kempen ini semakin mendapat perhatian. Kita dapati kerajaan juga sudah menggunakan perkataan 'gaji minima' seperti akan memberi gaji minima RM750 kepada anggota Rela. Saya rasa jika kita terus mendesak kerajaan, akhirnya kerajaan akan melaksanakan juga. Cuma kita tidak tahu berapakah gaji minima yang akan diberikan kerajaan.

Apakah saudara berpendapat tuntutan gaji minima RM900 seperti yang disuarakan MTUC adalah rasional?

MTUC membuat tuntutan yang sangat rasional RM900 gaji minima. Tetapi ramai yang tidak bersetuju. Hujah MTUC sekarang ini ada yang mendapat gaji minima RM350 dan RM450 seperti perkerja kilang. Mereka hanya akan mendapat imbuhan lebih sekiranya bekerja lebih masa. Perkara ini akan memudaratkan diri individu itu. Di Malaysia, kita dapati bagi rakyat berpendapatan sederhana, untuk menyara keluarga, mereka bergantung kepada kerja lebih masa. Tetapi apabila berlaku krisis ekonomi, di sesetengah syarikat, mereka tidak boleh membayar untuk kerja lebih masa ini. Dan apa yang dihadapi, banyak bayaran tetap mereka seperti rumah tertunggak. Sebab itu kita juga mendesak kerajaan mengadakan skim pinjaman mudah bagi mengelak rakyat meminjam daripada along.

Tiada ulasan: