KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Arak kepala lembu: Pendakwaan bersifat politik - Hanipa Maidin


KUALA LUMPUR: Hukuman yang dijatuhkan kepada peserta yang terlibat dengan perarakan membabitkan kepala lembu berdarah membantah pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam disifatkan sebagai satu diskriminasi.

Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Hanipa Maidin berkata tindakan yang diambil Mahkamah Majistret ke atas 12 peserta berkenaan adalah merupakan suatu pendakwaan bersifat politik.

"Ini semua bermotif politik kerana tidak lama lagi kita bakal berdepan dengan pilihan raya kecil, yang mana Umno-BN perlu bekerja keras mempertahankan kerusi mereka," katanya kepada Harakah.

Beliau yang juga merupakan pengamal undang-undang mempertikaikan proses pengendalian kes tersebut kerana ianya sekadar diuruskan di peringkat Mahkamah Majistret sedangkan kesalahan yang dilakukan melibatkan perkara yang lebih serius daripada itu.

"Kes yang membabitkan masalah ketegangan kaum dan menyentuh sensitiviti agama ini sepatutnya dikendalikan di Mahkamah Sesyen bukannya Mahkamah Majistret," ujarnya.

Hanipa menjelaskan dakwaan beliau mengenai diskriminasi tersebut dengan mengaitkan tindakan yang diambil pihak pendakwa khususnya terhadap kes demonstran sebelum ini seperti perhimpunan 100,000 Bersih November 2007 dan Peristiwa Berdarah Batu Burok tahun lalu.

"Kalau dalam kes Batu Burok, sehingga melibatkan Peguam Negara yang sanggup turun padang bagi membantah jaminan ke atas mereka yang didakwa terlibat dengan insiden terbabit tetapi dalam kes ini lain pula jadinya.

"Tiba-tiba sahaja ianya seperti begitu mudah apabila pendakwa hanya mengambil tindakan membicarakan kes ini di peringkat Mahkamah Majistret dan hanya dikenakan denda maksimum RM500 sahaja," katanya.

Beliau menegaskan apa yang dilakukan menunjukkan seolah-olah kes tersebut tidak serius dan kerajaan mahu segera menutup kes itu daripada terus dibincangkan masyarakat umum.

"Seperti ada sesuatu yang tidak kena kerana kes ini seolah-olah macam melalui proses yang lebih mudah, menunjukkan kesalahan ini seakan-akan tidak serius," ujarnya lagi.

12 peserta demontrasi kepala lembu dari Seksyen 23 dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, 9 September lalu atas tuduhan menghasut dan menyertai himpunan haram di pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri pada 28 Ogos lalu.

Mereka terdiri daripada Ahmad Mahayuddin Abdul Manaf, 36, Ibrahim Sabri, 43, Eyzva Ezhar Ramly, 31, Mohd Azmir Mohd Zain, 35, Ahmad Suhairy Zakaria, 30, Mohd Hilmi Ni, 40, Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67, Mohd Jurit Ramli, 39, Mohammad Nordin Zakaria, 63, Jamil Mohamad Isa, 40, Rahimuddin Md Harun, 39 dan Azhari Shaari, 39.

Enam tertuduh pertama, Ahmad Mahayuddin Abdul Manaf, 36, Ibrahim Sabri, 43, Eyzva Ezhar Ramly, 31, Mohd Azmir Mohd Zain, 35, Ahmad Suhairy Zakaria, 30, Mohd Hilmi Ni, 40, dituduh melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan membawa dan memijak kepala lembu dalam demo itu.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Hasbi Hasan setelah pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan. Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa bersama-sama telah memijak kepala lembu, Eyzva Ezhar didakwa membawa kepala lembu manakala Mohd Azmir, Ahmad Suhairy serta Mohd Hilmi didakwa bersama-sama membawa dan memijak kepala lembu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, bagaimanapun, Majistret Norkamilah Aziz membenarkan enam yang turut dituduh di Mahkamah Sesyen sebelum itu dibebaskan dengan jaminan RM300 setiap seorang serta seorang penjamin manakala enam lagi dibebaskan dengan RM500 setiap seorang serta seorang penjamin.

Tiada ulasan: