KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Jika kita jadikan 8-0 untuk Bagan Pinang, apa macam? - Anual Bakri


HARI Isnin lalu, dalam keadaan yang paling sederhana (baca murung), seluruh negara menyambut jugalah 31 Ogosnya. Pada keesokan harinya yakni Selasa, sahlah bahawa seluruh warga merdeka di Malaysia mengalami satu lagi sindrom penyakit kemurungan apabila harga RON95 naik 5 sen dari RM1.75 seliter kepada RM1.80 sen seliter.

Katanya RON95 lebih rendah grednya walaupun prestasi bahan api itu, katanya, lebih berkualiti. Hairannya, kenapa dinaikkan juga harganya? Ai? Jika diikutkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, ia perlu dinaikkan kerana meniru kenaikan dalam harga minyak dunia. Oh, begitu pula!

Dalam hal ini, apa sangatlah pilihan yang ada pada rakyat One Malaysia untuk berbeda pendapat. Timun tetaplah timun. Apabila durian sudah mengambil keputusan untuk menindih, maka lukalah si timun.
Walaupun terdapat hanya sebiji durian dalam sekarung penuh timun, durian tetaplah durian. Bisa durinya menikam semua. “Ah, buang saja durian itu!” sampuk kawan saya. “Habis cerita,”.

Dalam hal ini, mustahil kerajaan tidak faham bahawa sejarah mana-mana inflasi sangat bergantung kepada kenaikan dalam harga minyak yang dilakukan sewenang-wenang.

Di peringkat dunia, di tahun 1974 misalnya, kenaikan dalam harga minyak di pasaran antarabangsa sebanyak 252 peratus menyebabkan harga tunjuk pengguna (CPI) meningkat dari purata 6.23 peratus di tahun 1973 kepada 10.97 peratus di tahun 1974.

Ia tetap kekal di paras 9.14 peratus di tahun 1975. Begitu juga apabila harga minyak melonjak dalam fenomena kenaikan dalam tahun 1979. Di mana kenaikan dramatik di dalam harga minyak telah dilakukan sebanyak 121 peratus. Kadar inflasi AS langsung melonjak dari 11.26 peratus di tahun 1979 kepada 13.52 peratus di tahun 1980.

Jika dibaca trend peningkatan inflasi dunia dari tahun 1970-2002, dunia dapat menyaksikan satu saja faktor penyumbang kepada inflasi iaitu peningkatan dalam harga bahan bakar. Menaikannya bermakna kerajaan itu sedang menyiksa rakyat dan rela menyaksikan rakyatnya menderita.

Untuk menyelami kesan keperitan ini cukup mudah. Naiklah mana-mana teksi di Kuala Lumpur. Tambang teksi kelas biasa dari KL Sentral ke Globe Silk Store di Jalan TAR misalnya boleh melambung dari RM 9 kepada RM 14 manakala dari KL Sentral ke TTDI boleh melonjak dari RM14 kepada RM18.

Untuk makluman pihak atasan, kekecohan yang berlaku dalam bekalan gula juga telah berakhir dengan kenaikan harga. Begitu juga dengan kekecohan dalam harga ayam, beras, minyak masak, disel dan susu sebelum ini.

Rakyat terbanyak jugalah pada akhirnya yang terpaksa memikulnya. Atas nama 'OneMalaysia' jugalah, rakyat yang sudah sedia bergerak bagai kura-kura itu sedang ditekan dengan beban batu jongkong tambahan bernama inflasi. Yang untung hanyalah dua tiga kerat kaum pemodal dan orang politik peraih kuasa. Cuba tengok-tengoklah. Mereka kelihatan tetap gemuk; bahkan semakin berseri.

Berbicara tentang 'OneMalaysia' terkini, samalah seperti kita menyaksikan rentetan keputusan gopoh yang dibuat oleh pembuat-pembuat dasar secara salah. Ini cukup ketara.

Dari perkara ekonomi, ia boleh disaksikan pula dalam isu 50 demonstran yang mengarak dan memijak kepala lembu pada Jumaat, 28 Ogos lalu. Anehnya, ia langsung tidak diganggu oleh FRU dan polis walaupun ia jelas menyerlahkan kesalahan dalam seribu satu macam.

Sekurang-kurangnya, ia tiada permit dan membawa satu set tingkah laku yang cukup menghasut tetapi, apa boleh buat. Setakat ini, ia tetaplah dihalalkan. Anehnya, apabila ada orang yang menganjurkan perarakan lilin aman kerana ingin menunjukkan rasa kesal atas insiden "penghinaan" ke atas lembu, tiba-tiba, walaupun mereka tidak memijak sesiapa pun, 16 daripada mereka terpaksa merengkuk di dalam lokap.

Jika rakyat teliti majlis taklimat dan penjelasan yang telah diatur oleh Kerajaan Selangor pada 4 September 2009 atas isu pemindahan tapak kuil ke Seksyen 23, hal yang sama juga turut boleh di rasakan.
Sangat jelas dapat disaksikan bahawa pihak berkuasa keselamatan seakan-akan membiarkan sahaja keadaan hangat di dalam dewan itu untuk terjadi. Sepatutnya, usaha murni untuk memelihara keharmonian majlis penerangan itu antara pimpinan negeri dengan rakyat dikawal, dibantu dan dipantau kelicinan perjalanannya demi meredakan isu dan sekaligus menurunkan suhu.

Dalam semangat 'OneMalaysia', pihak atasan yang lebih atas dari kerajaan negeri harus menunjukkan sifat menghargai komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri untuk meredakan kegelisahan.

Rupanya usaha gigih "kedua-dua Khalid" untuk mencari jalan bagi menyediakan ruang ibadat yang lebih selesa kepada penganut agama Hindu tidak dihargai. Tidakkah isu ini adalah isu tertangguh yang sudah berpanjangan sepanjang 26 tahun yang lalu?

Ini bukan soal menggagalkan agenda siapa demi memalukan sesiapa. Sepatutnya berkerjasamalah demi sebuah perpaduan di Malaysia bagi menghormati hak-hak kehidupan beragama dalam masyarakat plural pelbagai kaum di Selangor. Sebarang kekacauan di Selangor adalah juga sebuah Malaysia yang kotor di mata dunia.

Jika di Kedah kita menyaksikan bagaimana SPR membuat ruling bahawa kerusi Kota Siputeh masih dianggap tetap sah dan tidak memerlukan pilihan raya kecil walaupun ADUNnya sudah dua kali tidak hadir sidang DUN, begitulah juga apa yang telah dilakukan di dua buah kerusi di negeri Perak sebelum ini.

Negeri bijih itu mengalami kekacauan sebaik sahaja berlaku campur tangan liar dari luar; di luar dari batas-batas yang diizinkan oleh demokrasi.

Dalam keadaan kalah tujuh kali pilihan raya kecil yang telah diadakan di Semenanjung Malaysia selepas PRU ke-12, rata-rata rakyat mula bercakap yang Tuhan itu Maha Adil. Walaupun dari satu segi, pihak yang berada di atas telah, sedang dan masih boleh berbuat sesuka hati tetapi pada hakikatnya mereka tetap sedang menerima pembalasan.

"Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?" - (Surah Al-Furqan Ayat 43)

Allah boleh menghantar kudis lain ke tubuh orang yang menghantar kesusahan kepada rakyat yang terbanyak. H1N1, misalnya. Jerebu, misalnya. Atau sepaling tidak, Tuhan boleh membuat pembenihan virus dari kuman porak peranda bernama prejudis dan buruk sangka dalam tubuh mereka.

Di sana, kita sudah boleh saksikan pecahnya perpaduan dalam kerajaan Terengganu yang dipimpin oleh Umno. Walaupun ditukar nakhoda Pengerusi Badan Perhubungan Umno negerinya yang diambil dari pemain import, kumpulan Ahmad Said masih ditolak dengan kuat oleh kumpulan Rosol.

Walaupun di peringkat mutakhir, Timbalan Presiden Umno telah turun sendiri ke Hulu Terengganu untuk membawa korma madu berkat Ramadan, namun ia masih gagal meredakan api. Boikot masih tidak berganjak. Salah satu pasukan yang berbalah langsung tidak hadir. Sekarang, Terengganu sedang mengalami suasana "deadlock" yang cukup tenat.

Virus nipah seterusnya boleh disaksikan dalam kemelut MCA yang semakin penat. Pengerusi BN dan Presiden Umno manakah yang boleh tidur malam apabila melihat seorang bekas Timbalan Presiden MCA yang bernama Chua Jui Ming menyeberangi jambatan dan memilih untuk beralih khemah sokongan.

Siapa yang tak terkencing malam apabila seorang lagi Chua yang kini telah dipecat jawatan Timbalan Presiden MCA dan kini sedang bersolek untuk tampil bagaikan Bruce Lee.

Dalam skandal PKFZ yang katanya melibatkan berbilion-bilion wang rakyat, siap dengan tukul besi, Chua menghentam balik seorang Ong yang sudah menyarung baju besi demi mempertahankan diri melalui Mesyuarat Agong Luar Biasanya (EGM).

Sementara itu, ada ura-ura pula yang Encik Liow Tiong Lai yang menjadi Naib Presiden MCA sedang mengeluarkan mesin kira-kira; mencongak-congak langkah untuk mengambil alih tempat Chua.

Manakala, di hujung tali boksing sebelah sana pula, tidak semena-mena ditampilkan Tuhan dua regu tinju yakni antara Keveas vs. Murugiah. Bahkan, ada juga teori-teori nakal dari bacaan orang politik bahawa Najib dan Muhyddin sekali pun sedang berada dalam keadaan yang saling mencuriga.

Barangkali, risaukan keadaan inilah, ahli parlimen kalah yang menjadi presiden parti Gerakan dan kini masih dibasuh dan dimandikan untuk menduduki kerusi kabinet; tiba-tiba pula berseru supaya mana-mana pemimpin nasional yang pernah mengguris hati rakyat pelbagai kaum perlu membuat permohonan maaf kepada rakyat.

Tentu sekali kenyataan ini sihat. Mustahil pemimpin Umno/BN mahu menafikan bahawa mereka pernah menghunus keris atau menganggap kaum bukan Melayu sebagai pendatang. Terdapat banyak lagi contoh kenyataan-kenyataan pemimpin Umno yang menyinggung perasaan kaum lain dan bersifat anti perpaduan.

Sebenarnya, masalah utama UBN ialah dosa, ego dan kesombongan. Tiga sifat mulia yang sangat dituntut dalam musim Ramadan yakni, taubat, rendah diri, dan kasihan belas tidak ada dalam perbendaharaan amalan para pemimpin UBN.

Sikit-sikit lagu dan sikit-skit slogan. Itu sajalah yang dia tahu. Mereka hanya percaya dengan kuasa dan keajaiban wang. Seakan-akan kepada mereka wang itulah segala-galanya. Sikit-sikit kita sudah bertaraf dunia dan "ini, satu lagi projek BN!"

Sekarang, ada tanda-tanda bahawa UBN sudah mula membeli sokongan daripada pelajar dengan menghadiahkan saham-saham percuma. Walaupun di sisi para pelajar, mereka layak berterima kasih tetapi dari pandangan intelek muda di rata-rata IPTS dan IPTA termasuklah ibu bapa kepada mereka yang berada di seluruh negara, Umno sudah dilihat cukup terkepit.

Bukankah politik itu pada akhirnya adalah soal pertimbangan persepsi dan perhitungan tanggapan? Berkesankah pancingan ini? Tidakkah seekor kijang, walaupun bertali emas jika terlepas, akan tetap mencari hutan kerana syurga hijau itulah tempat kerinduan dan asal kampung halamannya?

Paling tidak, jika UBN berjaya sekali pun, ia akan menyemai benih generasi muda yang berjiwa hamba dan bermentalitikan subsidi. Sekali lagi, generasi jenis ini tidak mampu untuk bersaing dalam perlawanan merit di pentas global. Sekali lagi, Umno sedang membahayakan masa depan generasinya.

Semalam, saya ada menasihati seorang teman nakal, yang cukup gemar bertaruh wang dalam apa jua perlawanan. Baik dalam perlawanan bola sepak atau pertarungan ayam laga di kawasan sempadan, beliau sering menjadikan aktiviti ini sebagai hobi.

Dalam musim Ramadan yang sudah masuk tempoh 10 hari keberkatan peringkat kedua, saya menasihati beliau supaya berhentilah dari meneruskan kerja yang tidak bermanfaat ini. Cuma apa yang menyentak perhatian saya ialah apabila beliau menyebutkan bahawa, "jika aku perlu bertaruh lagi dan diminta untuk memilih ayam baik yang mana untuk perlawanan di Port Dickson, maka sudah tentu aku tidak akan ambil ayam yang sudah sah kalah di sepanjang tujuh perlawanan".
Melihatkan hari yang sudah berada di hujung, saya langsung mengheret beliau ke Kedai Butuk di Kampung Sireh untuk berbuka. "Dah, dah. Biar aku yang belanja!"

Ditulis oleh ANUAL BAKRI HARON
Penulis adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

Tiada ulasan: