KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Bukti BN bersalah, terpaksa bayar gantirugi kepada Mustafa Ali RM50 ribu


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 September lalu merekodkan persetujuan Polis dan kerajaan Malaysia membayar gantirugi sebanyak RM50,000 kepada Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali kerana menahan beliau di bangunan Parlimen dua tahun lalu.

Hakim P.S. Nathan merekodkan persetujuan itu ekoran saman yang dikemukakan oleh Mustafa kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

Mustafa diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat manakala pihak defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Tuan Rosli Ahmad.

Menurut Hanipa, polis dan kerajaan Malaysia bersetuju untuk membayar gantirugi walaupun tidak mengaku liabliti kepada Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali.

Musatafa pada 11 Disember 2007, datang ke Dewan Rakyat untuk mendengar perbahasan untuk menolak cadangan melanjutkan tempoh jawatan Pengerusi SPR, Tan Sri Rashid Abdul Rahman.

Beliau (ketika itu Pengarah Pilihanraya PAS) telah ditahan dan dibawa ke balai polis Dang Wangi dan ditahan selama tiga jam setengah mulai jam 1 tengahari hingga 4.30 petang.

Dalam insiden penangkapan itu, Mustafa telah diheret dengan kasar dan secara kurang ajar oleh dua anggota polis.

Mustafa dan beberapa orang pimpinan PAS serta aktivis Bersih berada di hadapan bangunan Parlimen ketika itu untuk menyerahkan satu memorandum kepada Anggota Parlimen mengenai tuntutan pilihanraya yang bersih dan adil.

Selain beliau, turut ditahan adalah Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi, Dr Lo' Lo Haji Ghazali; Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Dr Mohd Nasir.

Terdahulu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua telah ditangkap dalam jarak 200 meter dari tempat kawalan pihak polis.

Mustafa yang ketika itu sedang memasuki pintu Parlimen, telah ditahan oleh dua anggota polis berpakaian preman dan meminta beliau menyerahkan diri kerana didakwa terlibat dengan pelanggaran satu perintah mahkamah.

Bagaimanapun Mustafa yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu menyatakan kehadirannya di Parlimen adalah sebagai tetamu Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamaruddin Jaffar dan sekadar memerhati perbahasan yang berlangsung.

Tiada ulasan: