KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 10, 2009

Isu Kuil Seksyen 23: Jangan prajudis dengan perkauman sempit

MUQADIMAH: Ikuti penjelasan ringkas Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail yang juga salah seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor berhubung isu pembinaan kuil.

Sejak bila masalah di Seksyen 19 ini diusahakan penyelesaiannya oleh pihak YB?

Ini merupakan di antara masalah yang pertama yang dikemukakan kepada kami, iaitu saya dan YB Khalid, apabila kami menang PRU ke12 pada Mac tahun lepas. Kami berusaha mendapat penjelasan dari semua pihak yg terlibat dan memahami kronologinya dan seterusnya mengkaji cara penyelesaiannya.
Diantaranya, bila mana kami bertemu AJK kuil, mereka merayu supaya kuil mereka tidak dipindahkan ke Seksyen 22. Rasional yang diberikan, pertama: ianya jauh, seberang sungai dan walaupun jaraknya 3km tetapi jika untuk ke tapak kuil tersebut, mereka tiada jalan alternatif kecuali menggunakan akses yg sedia ada yang jarak sebenarnya menjadi lebih 6 km.
Ianya amat tidak sesuai lebih-lebih bagi mereka yang tiada kenderaan persendirian malah kenderaan awam pun tidak sampai ke sana.
Kedua, alasan yang lebih kuat, bagi mereka, tapak di seksyen 22 itu diperuntukkan kepada mereka dengan tanpa ada pilihan bilamana mereka telah diberi kata dua iaitu ”Seksyen 22 atau roboh tanpa ganti.”
Dengan kata lain mereka dipaksa berpindah ke tapak seksyen 22 itu oleh kerajaan BN sedangkan pada hakikatnya mereka tidak setuju. Mereka sekadar mengeluh ”Apa kita boleh buat dalam keadaan kita tiada pilihan?” kata mereka.

Apa yang berlaku seterusnya?

Akhirnya, kami menilai permintaan mereka dan kami bersetuju tapak di Seksyen 22 adalah tidak sesuai. Jauh dan terpinggir juga macam mana penganut biasa nak ke sana? Saya memahami kerajaan PR adalah kerajaan yang mahu bertindak adil kepada semua dan hasil perbincangan dengan YB Khalid, kami bersetuju, tapak lain yang lebih dekat perlu diusahakan. Oleh itu proses pencarian tapak alternatif dimulakan.
Kalau nak ikut kehendak mereka, mereka ingin kekal sahaja di Seksyen 19. Itu lah tapak asal. Sepatutnya Wakil Rakyat BN yang bersilih ganti dan juga PKNS telah mengambilkira permasalahan meraka dulu lagi semasa membangunkan kawasan ini kata mereka.
Namun akhirnya mereka bersetuju untuk berpindah sekiranya tidak jauh dari tapak asal dan kedudukannya sesuai. Ini jelas kegagalan yang nyata oleh BN semasa pemerintahan mereka.

Adakah masalah di Seksyen 19 dilihat serius? Mengapa pula tidak dilihat serius untuk Seksyen 23?

Ya. Di Seksyen 19 ianya amat serius. Saya menghargai kesabaran kedua-dua pihak selama 26 tahun ini. Namun, suasana mula menjadi lebih tegang, khususnya dengan penglibatan pihak luar. Kami merasakan begitu bertanggungjawab untuk mencari penyelesaian secepat mungkin.
Di Seksyen 19 ianya dilihat serius kerana kedudukan kuil tersebut berada betul-betul ditengah-tengah kawasan perumahan dan di depan rumah, ditambah lagi jika ada upacara keagamaan yang besar, tiada kemudahan parkir dan begitu sesak sekali dan menghalang laluan penduduk.
Mereka merasakan diri mereka tertipu dan ini menjadikan mereka marah dan tidak boleh bersabar lagi. Janji kerajaan BN yang gagal dikotakan sekarang ini sandaran mereka adalah kepada kami. Ini menyebabkan penyelesaian perlu dikenal pasti dengan kadar segera.

Dulu macam mana, sebelum BN kalah di Selangor?

Semasa BN memerintah dulu, dan kami pembangkang, kami tidak mengapi-apikan penduduk di Seksyen 19 walaupun kami sedar ianya boleh dijadikan satu isu besar. Kami pembangkang yang bertanggung jawab.
Bila kami ambil alih dan usahakan penyelesaian yang adil, mereka mengapi-apikan suasana. Termasuk usaha mengapi-apikan penduduk ialah laporan-laporan yang tidak tepat melalui media yang dikuasai BN. Dakwaan kerajaan tidak akan bertemu penduduk dan sebagainya, ini semua dakwaan yang palsu dan berniat jahat.
Di Seksyen 23, tapak yang dicadangkan adalah kawasan Industri. Ianya jauh dari rumah-rumah dan surau, malah jika dilihat dari pelan perancangan ianya tidak berada dikawasan perumahan. Tempat parkir kereta boleh disediakan sepertimana sepatutnya sekiranya kuil tersebut dibina di situ. Dengan itu, apabila upacara keagamaan diadakan, ianya dijangka tidak akan mengganggu penduduk di situ.
Kalau ada gangguan sikit pun, ianya jauh lebih berkurangan dari di Seksyen 19. Sambil itu kita boleh menyusun kedudukan serta layout kawasan dengan cara terbaik untuk menjamin gangguan yang paling minima.

Apa pula harapan dan saranan YB Rodziah kepada penduduk Seksyen 23 dan warga Shah Alam?

Saya mengharapkan mereka lebih terbuka. Datang kepada sesi dialog yang akan diadakan dan kita berbincang. Tanpa ugutan dan tanpa cacian.
InsyaAllah persoalan ini boleh diselesaikan dengan baik. Yang penting kita mesti memahami bahawa semua pihak mempunyai hak. Ummat Islam berhak mendapat surau dan ini telah dipenuhi. Orang Hindu berhak mempunyai kuil dan oleh itu kita kena tentukan mereka juga mendapat hak mereka.
Orang Hindu tidak berhak membantah pembinaan Surau dan Masjid dan begitu juga orang Islam tidak berhak menafikan kuil untuk orang Hindu. Kalau kita faham ini maka kita akan mendampingi persoalan ini dengan cara yang berbeza.
Saya harap penduduk Seksyen 23 membebaskan diri dari segala corak prejudis dan semangat perkauman sempit dan menjadi contoh tolak ansur dan toleransi untuk semua.
Jika kita akur bahawa Malaysia melaksanakan sistem Demokrasi, hayatilah semangat dan pemahaman tentang demokrasi sebenar iaitu walaupun suara majoriti menjadi landasan tetapi pihak minoriti tidak boleh dipinggirkan.
Bagi saya, setiap permasalahan, pasti boleh diselesaikan jika pendekatan yang diambil cukup adil dan melalui semua proses yang sewajarnya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pertanyaan penduduk seksyen 23 dari bulan Mei 2009 kpd yb rodziah mengenai pembinaan kuil hanya dijawab pd Ogos 2009 melalui media cetak. Tiada perjumpaan. Tiada penerangan.

To the Muslims who loves to sing the ‘toleransi song’, WOULD you be singing the same ‘toleransi song’ should the govt decides to relocate the said temple or any other worshipping place for that matter to your residential area or WOULD YOU BE SINGING A DIFFERENT TUNE ALTOGETHER???

Maaf Zahir Batin. Semoga kita mendapat hidayah & perlindungan dari ALLAH YANG MAHA ESA. INSYAALLAH. Selamat Hari Raya Aidil Fitri.
-ehsan