KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Menekuni ibadat 10 malam terakhir Ramadan - Dato' Abu Hassan Din


KITA berhasrat dan bercita-cita untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar, ini berpandu kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud "Intai-intailah dan cari-carilah pada malam-malam sepuluh yang terakhir".

Daripada hadis ini seolah-olah tidak akan berlaku melainkan pada malam sepuluh yang terakhir. Dalam pada itu disebut pula dalam riwayat lain, yakni Nabi berkata "Lailatul Qadar akan berlaku melainkan pada malam-malam ganjil".

Jadi berdasarkan hadis-hadis ini, Lailatul Qadar tidak akan berlaku melainkan pada malam sepuluh malam terakhir dan malam-malam ganjil.
Janganlah pula kita semata-mata memilih pada malam-malam ganjil sahaja. Jadi ulama-ulama berkata barang siapa hendakkan lailatul qadar maka dia kena berusaha daripada awal Ramadan lagi.

Berpuasa di siang hari, beribadat di malam hari jadi dengan harapan amalan ini diteruskan sehingga malam terakhir insyallah dia akan dapat Lailatul Qadar.

Adapun kelebihan malam itu yang sudah sedia maklumlah, kelebihan dan kebaikan pada malam itu adalah lebih baik dari 1000 bulan. Ertinya, 1000 bulan bersamaan dengan 83 tahun lebih. 83 tahun itu biasanya umur maksimum seorang manusia.

Barang siapa mendapat Lailatul Qadar dengan beribadat iaitu sembahyang, baca al quran, berzikir, qiamulail dan beriktikaf di masjid. Maka ibadat dia pada malam itu dianggap lebih baik daripada ibadat yang dilakukan seumur hidupnya. Maka sebab itulah diletakkan sepuluh malam yang ada kebaikkanya.

Lailatul Qadar akan berlaku malam, sebab itu di sepuluh malam terakhir disuruh berjaga malam kerana beribadat tidak kiralah di rumah atau di masjid tetapi lebih baik di masjid. Malah ini juga menjadi amalan Rasulullah dan para sahabat.

Tetapi malangnya orang kita pada hari ini semakin akhir Ramadan semakin kurang orang beribadat. Kalau di awal Ramadan, masjid-masjid penuh di akhir-akhir sudah berkurangan.

Bagi saya keadaan ini tidak sepatutnya berlaku. Seolah-olah kita menganggap kebaikan Ramadan hanya diawal bulan itu sahaja. Tetapi sebenarnya kelebihan Ramadan adalah di akhirnya lebih-lebih lagi malam sepuluh yang terakhir.

Harapan saya, kita kena faham betul-betul kelebihan lailatul qadar, kebaikannya, ganjaran pahalanya, kita kena cari dalam sepuluh malam terakhir. Jangan cari di awal, tidak ada.

Nabi ada menyebut malam itu berlaku pada malam ganjil tetapi tidak menyebut sebarang tanda. Cuma ada hadis yang di riwayatkan oleh Abdullah Ibni Abbas, "tanda-tanda yang berlaku Lailatul Qadar itu hanya akan diketahui esok paginya. Kalau ada matahari keluar cahayanya lemah", itu sahaja yang diberitahu.

Ada orang kata, air menjadi beku dan pokok sujud, adalah bohong. Itu tidak ada nas.

Harapan saya jangan semata-mata memilih pada malam itu. Sebenarnya siapa yang menentukan ganjil ataupun genap? Sebab itu seelok-eloknya kita ambil sepuluh malam terakhir dan rebut peluang sehingga sehabis-habisnya untuk beribadat.

Kalau kita sudah target pada malam ganjil dibimbangi jika kita ada hal yang boleh membantutkan amal ibadat kita misalnya, sakit perut atau sebagainya akan merugikan kita. Jadi kita digalakkan beriktikad sepuluh malam terakhir.

Insyallah sesiapa yang menghidupkan malam-malam Ramadan dengan beribadat tiap-tiap malam, pasti dia akan dapat lailatul qadar.

Ditulis oleh DATO' ABU HASSAN DIN AL-HAFEZ
Penulis adalah bekas Pegawai Agama Istana Negara dan bekas Imam Besar Masjid Negara

Tiada ulasan: