KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Tok Guru Nik Aziz sifatkan ajakan Najib kerjasama sebagai umpan Bagan Pinang

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan soal kerjasama antara PAS dan Umno sebagaimana yang ditimbulkan semula oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak itu sebagai ‘umpan’ untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Katanya, hasrat Umno ingin berunding dengan PAS tidak perlu dilanjutkan lagi kerana ianya perkara lama dan selalu berulang. Tidak ada perkara yang perlu dirunding antara PAS dan Umno kerana ianya perkara berulang yang pernah ditimbulkan sejak sekian lama.

"Soal kerjasama (antara PAS dan Umno) ni cerita lama. Pemimpin Pusat acap kali sebut perkara ni. Nak berunding apa lagi, kalau nak berunding juga tukar dasar kepada Islam. Kiranya benar pentingkan umat Islam, baru nampak ikhlas," jelas beliau.

Tok Guru Nik Aziz berkata demikian kepada media di pejabatnya sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, yang menyatakan kesediaan Umno untuk berunding dengan PAS demi untuk kepentingan Islam di negara ini dengan syarat tidak ada pihak yang cuba mempersoalkan akidah parti itu.

Beliau memberitahu, kecuali perundingan untuk penyerahan royalti minyak, kerajaan negeri bersedia pada bila-bila masa untuk berunding kerana ianya juga untuk kepentingan rakyat.

Ujarnya, kerajaan negeri akan sentiasa menunggu jemputan dari Kerajaan Pusat bila tarikh untuk diadakan perundingan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan itu mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana membantu Kelantan khususnya dalam pembangunan walaupun negeri itu ditadbir oleh PAS sejak 20 tahun lalu.

Katanya, kerana konsep fedralisme yang ada, Kerajaan Pusat turun untuk membantu Kelantan sebagaimana yang terkandung dalam perlembagaan.

Pemimpin Umno juga, tegasnya, harus memperlihatkan keikhlasan untuk berunding dengan PAS, dengan mengubah dasar perjuangan parti itu kepada Islam.

"Kerajaan PAS Kelantan telah memasuki tahun ke 20 dengan dasar Islamnya dengan menutup dasar yang diperkenalkan Eropah melalui ajaran Rasulullah.

"Akhirat nanti ialah tempat di mana Allah memberi balasan terhadap perilaku manusia di dunia ini tidak kira mereka itu pendokong parti mana, PAS, Umno, bangsa Cina, India dan lain lain lagi," ujarnya.

Bagi Naib Presiden PAS. Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man pula, Sekiranya Umno benar-benar mahu mengadakan perundingan dengan PAS bagi kepentingan ummah dan agama Islam, tiada sebarang syarat harus dikenakan untuk menjayakannya apatah lagi jika ia melibatkan soal pegangan dan akidah Islam.

Tambah beliau, jika Umno meletakkan syarat tertentu bagi sesuatu rundingan, sudah jelas ia menunjukkan parti itu tidak ikhlas dan tidak bersedia untuk berbincang dan menerima pandangan dengan baik.

"Kenapa Umno mesti meletakkan syarat tertentu, khususnya melibatkan soal akidah? Apabila letak syarat itu, seolah-olah Umno sedar bahawa perjuangan parti itu memang tidak selaras dengan Islam hingga tidak mahu ia dibangkitkan," tegas beliau.

Mengulas lanjut, Ustaz Tuan Ibrahim berkata satu rundingan yang bersifat jujur dan ikhlas juga harus dilakukan secara terbuka, tanpa dirahsiakan mana-mana pihak bagi mengelakkan salah tanggapan pihak lain.

Beliau tidak menolak kemungkinan Umno kini dalam keadaan terdesak sehinggakan begitu teruja dan bersungguh-sungguh menghulurkan tangan bagi mengadakan rundingan bersama PAS.

Tiada ulasan: