KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Kembali kepada Al-Quran: Pragmatisme masih kuat selubungi Umno

KUALA LUMPUR: Intipati ucapan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak yang memperakui kemampuan Al-Quran dalam memperkasakan bangsa dan negara tetapi tidak dipraktikkan membuktikan aliran pragmatisme masih menebal dalam kerajaan Umno-BN.

Naib Presiden PAS, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata apa yang diungkapkan Najib itu, bukanlah suatu perkara baru. Najib bercakap mengenai transformasi menggunakan Al-Quran dalam membangunkan peradaban sesebuah negara ketika merasmikan Majlis Nuzul Quran baru-baru ini.

"Ini bukan kali pertama pemimpin Umno khususnya PM bercakap mengenai Islam dan Al-Quran. Tetapi, mereka tidak terjemahkan kepada praktikal," katanya kepada Harakah.

Jelasnya, ucapan tersebut tidak memberikan sebarang makna melainkan ianya diterjemahlkan dalam bentuk yang praktikal.

"Malangnya, selama ini kerajaan Umno-BN tidak melaksanakan sebagaimana yang dikehendaki al-Quran. Ini bukan kali pertama mereka menggabungkan elemen yang kononnya Islam dalam kata-kata mereka atau lebih tepat dikatakan sebagai unsur pragmatisme," ujar Ustaz Tuan Ibrahim.

Tambahnya, segala tutur kata pemimpin Umno-BN masih mengekalkan elemen pragmatisme menjelang hari kebesaran Islam.

"Waktu Nuzul Quran baru sebut tentang elemen Islam tetapi pada lain masa mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Al-Quran.

"Padahal selama ini mereka begitu berani melanggar perintah Allah dan ajaran Al-Quran dengan menghalalkan apa yang diharamkan Allah, ditambah pula dengan dasar perjuangan Umno yang selama ini tidak menjadikan Islam sebagai landasan," katanya lagi.

Ustaz Tuan Ibrahim menegaskan, apa yang disebutkan Najib itu tidak lebih daripada sekadar omongan kosong dan bersifat pragmatisme.

Sementara itu, AJK PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin menyeru Umno agar segera kembali kepada ajaran al-Quran dan meninggalkan segala bentuk amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

"Saya berharap Umno yang selama ini tebal dengan fahaman keMelayuan segera kembali kepada ajaran Islam yang sebenar," katanya kepada Harakah.

Beliau menempelak sikap pemimpin Umno yang hanya pandai bercakap tetapi tidak melaksanakan apa yang dikatakan.

Ustaz Abdul Ghani turut memetik mafhum al-Quran ayat ketiga surah As-Saff yang bermaksud: "Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."

Hal tersebut jelasnya merupakan suatu peringatan khususnya kepada para pemimpin Umno-BN yang mahu mempergunakan Islam untuk kepentingan politik mereka.

Terdahulu, dalam satu majlis bersama penduduk Kuala Krai dan Manek Urai baru-baru ini, Najib berkata pendirian Kerajaan Pusat tentang untung nasib rakyat Kelantan dan Malaysia bergantung kepada pengarahan serta halatuju kerajaan.

Pengarahan dan halatuju kerajaan adalah berdasarkan ajaran Islam yang berteraskan al-Quran dan Hadis, katanya.

Najib berkata berdasarkan teras itu, Umno yang merupakan parti utama mentadbir negara, telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Negara.

Katanya berlandaskan pegangan itu, Umno terus berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam yang maju.

Tiada ulasan: