KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, April 21, 2014

Lajnah Tanah PAS Pusat gigih bela nasib orang Melayu


Mukadimah: Wawancara Wartawan Harakah, NYZA AYOB bersama Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat, Mazlan Aliman pada 17 April lalu, bagi menjelaskan objektif lajnah dalam membela nasib rakyat di negara ini.

HARAKAH: Apa peranan Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal dalam membela nasib orang Melayu?

MAZLAN ALIMAN: Sebenarnya lajnah ini tidak tertentu kepada orang Melayu sahaja. Lajnah ini fokus kepada seluruh rakyat. Mereka ini dikelilingi pelbagai masalah. Kalau boleh saya katakan isu yang berkaitan dengan tanah ini amat luas. Kalau saya nak pecahkan, satu berkaitan agensi pembangunan tanah seperti Felda, Felcra, Kesedar dan Kejora. Yang keduanya, membabitkan tanah-tanah umum yang terdapat di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang berdepan dengan ancaman terhadap tanah adat mereka yang kebanyakan dimiliki kerajaan negeri. Secara kebetulan berdasarkan data-data yang lajnah ada, lebih daripada 70 peratus ancaman terhadap pengambilan tanah adalah melibatkan orang Melayu. Jadi, tidak dapat dinafikan pelan bertindak lajnah ini dengan keperluan mendesak bukan sahaja masyarakat Melayu tetapi masyarakat lain juga.  

Keberkesanan NGO di bawah Lajnah Tanah selama ini...

Lajnah Tanah telah menubuhkan beberapa NGO, dan pada Mei ini, lajnah akan menubuhkan lagi dua NGO baru apabila bidang Lajnah Tanah diperbesarkan. Lajnah telah dipertanggungjawabkan untuk menangani isu-isu peneroka bandar dan hal ehwal Orang Asal. Di peringkat lajnah tentulah "man power" kita tidak mencukupi.Jadi, lajnah fokuskan kepada dua kumpulan ini. Kita tubuhkan NGO supaya mempunyai peranan spesifik untuk menangani golongan sasar ini. Walaupun kelompok Orang Asal ini golongan minoriti, lajnah tidak harus mengasingkan atau meminggirkan mereka. 
Pelancaran NGO berkenaan dikenali Badan Prihatin Hal Ehwal Orang Asal (Batin) pada 3 dan 4 Mei oleh Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yakob di sebuah perkampungan Orang Asal di Gua Musang. Satu lagi, lajnah juga telah menubuhkan NGO dikenali Anak Warisan yang berpusat di Kuala Lumpur. Ia untuk menangani isu-isu membabitkan peneroka bandar dan kampung-kampung tradisi. NGO ini akan dilancarkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 11 Mei di Kampung Puah Seberang. Ini bermakna Lajnah Tanah kini mempunyai 10 badan NGO yang berperanan dalam kalangan 40 orang Jawatan Kuasa Lajnah Tanah. Lajnah akan agihkan tugas kepada semua NGO yang ada. 

Menyentuh tentang peneroka bandar, apa yang mampu Lajnah Tanah lakukan dalam membela nasib mereka daripada diperkotak-katikkan Kerajaan BN yang berselindungi di sebalik nama pemaju?

Paling kritikal pada waktu ini ialah mengenai tanah-tanah melibatkan peneroka bandar samada yang terletak di bandar-bandar mahupun di pinggir bandar yang dahulunya dikenali sebagai setinggan. Ketika ini banyak kawasan peneroka bandar terancam. Sama ada tanah itu milik kerajaan atau milik individu yang mereka ambil balik tanah mereka. 
Mereka ini diusir melalui notis mahkamah dan tidak mendapat apa-apa pampasan melainkan ehsan daripada tuan tanah. Selain itu, walaupun penduduk kampung tradisi, mereka juga menjadi mangsa pengambilan tanah melibatkan pembangunan kampung baharu. Mereka sedang menerima ancaman terhadap proses pembangunan pembandaran di tempat mereka.

Kes Pengerang di Johor tidak menyebelahi penduduk. Bagaimana Lajnah Tanah membantu mereka?

Lajnah Tanah punyai NGO dikenali sebagai Badan Menyelamat Tanah Pengerang (Mantap). Walaupun keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bharu pada 30 Mac lalu tidak memihak kepada penduduk untuk membatalkan projek Pengerang, tetapi lajnah tidak duduk diam. Kami akan bertemu NGO Pengerang dan wakil-wakil NGO pada 25 April ini untuk membincangkan masa depan penduduk Pengerang. Ini disusuli bengkel meja bulat dalam kalangan kumpulan hak asasi. 
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Dato' Seri Nazri Aziz telah bersetuju untuk bertemu rombongan Lajnah Tanah pada 22 April ini jam 2.30 petang di pejabat kementerian berkenaan. Lajnah akan menyerahkan memorandum berkenaan kampung-kampung warisan di Pulau Pinang, rumah ibadat dan tanah kubur di Pengerang dan memohon Menteri supaya kampung warisan, rumah ibadat  dan tanah perkuburan yang berusia lebih 80 tahun mesti dikekalkan sebagai warisan. Ini antara usaha yang akan terus lajnah lakukan. 

Baru-baru ini Lajnah Tanah menerjah Pulau Pinang. Ada cadangan kepada MAINPP agar badan itu memajukan tanah wakaf. Boleh jelaskan?

Lajnah Tanah baharu pulang daripada lawatan kerja ke Pulau Pinang. Kami telah bertemu Timbalan Ketua Menteri I, Pulau Pinang, Dato' Mohd Rashid Hasnon. Juga bertukar-tukar fikiran dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang menjaga kepentingan tanah wakaf. Lajnah kemukakan pandangan di bawah Akta Pengambilan Tanah, tanah-tanah orang Melayu di Pulau Pinang itu harus dikekalkan hak kepada orang Melayu. Ada beberapa cara. Pertama, kerajaan negeri melalui anak syarikat boleh beli tanah tersebut supaya proses mengekalkan tanah itu kepada orang Melayu dan menaik taraf pembangunan di situ yang kekal kepada orang Melayu. 
Lajnah juga mengesyorkan kepada MAINPP supaya tanah-tanah wakaf itu dimajukan. Apabila dimajukan, ia memberi nilai tambah ekonomi kepada orang Islam. Umum tahu tanah-tanah ini berada di tengah-tengah bandar Pulau Pinang iaitu termasuk dalam empat peratus sahaja baki tanah orang Melayu di tengah-tengah bandar. Jika kerajaan negeri tidak mampu memajukannya, ia boleh mohon dengan Kerajaan Pusat seperti Perbadanan Nasional Berhad dan syarikat besar seperti Lembaga Tabung Haji dan KWSP. Mereka ini mempunyai reserve berbilion ringgit. Apa salahnya kalau mereka tebus.