KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 20, 2009

100 hari Najib lebih banyak negatif dakwa Tun Mahathir


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pentadbiran Datuk Seri Najib Razak "lebih banyak yang negatif daripada yang positif". Tambahnya, ia berdasarkan penilaian peribadinya terhadap pentadbiran Najib yang genap 100 hari.

Bercakap kepada pemberita di PWTC 10 Julai lalu, Dr Mahathir berkata, yang negatifnya termasuklah cadangan pembinaan jambatan ketiga antara Johor dan Singapura.

Bercakap selepas program "Wacana Kedudukan Institusi Beraja dan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dari Perspektif 1Malaysia", Dr Mahathir ditanya sama ada pentadbiran Najib telah membuat kajian mengenai cadangan pembinaan jambatan tersebut.

Menurutnya, pembinaan jambatan berkenaan tidak boleh menyelesaikan masalah kesesakan di Johor Bahru.

Satu perkara lagi yang dianggap negatif, menurut Dr Mahathir lagi, ialah pelantikan orang yang korup dalam pentadbiran Najib.

Apabila ditanya mengenai perkara positif mengenai pentadbiran Najib, Mahathir berkata: "Yang positif ialah Najib berjumpa ramai orang dan dia tidak tidur malam."

Jawapannya disambut dengan gelak ketawa para hadirin.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan (Paroi) Taufek Abdul Ghani menyifatkan 100 hari pentadbiran Najib Tun Razak tidak memberi apa-apa perubahan terutama dalam merangsangkan ekonomi negara.

Najib lebih berminat melaungkan slogan 1Malaysia berbanding berusaha untuk memulihkan ekonomi negara, ujarnya.

"Saya lihat Najib tidak ada perkara baru yang diketengahkan sepanjang 100 hari pentadbiran beliau selain lontarkan slogan 1 Malaysia," katanya semasa dihubungi.

Tegasnya, inilah masa yang sesuai untuk rakyat melihat Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) Najib bagi menilai kemampuannya sepanjang menerajui negara sehingga hari ini. Jelasnya lagi, keputusan pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai sebagai platform untuk rakyat menilai KPI Najib Tun Razak.

"Kita mahu supaya rakyat buat satu keputusan mungkin di Manek Urai akan menjadikan satu platform untuk rakyat menyatakan bahawa pemimpin kerajaan mereka gagal dalam tempoh 100 hari ini," katanya.

Membandingkan kepimpinan Najib dengan Tun Mahathir, beliau berkata Mahathir bukanlah pemimpin yang bagus tetapi perancangan dan perubahan tidak dapat dinafikan.

Dalam membentangkan pakej rangsangan sebanyak RM70 billion menjelang Najib menjadi Perdana Menteri, Taufek berkata pakej itu seperti tidak wujud pada hari ini.

Apa yang paling penting, katanya, sewaktu proses peralihan kuasa sekurang-kurangnya Najib memiliki plan rancangan tindakan untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara.

3 April 2009, Najib mengambil alih pentadbiran negara selepas Tun Abdullah Badawi, 11 Julai ini genaplah 100 pentadbiran beliau.

Tiada ulasan: