KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 06, 2009

GMI mahu MB Pakatan Rakyat bantu Himpunan MANSUH, 1 Ogos depan


KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah dan Selangor setelah bertemu Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, 2 Julai lalu bagi menggerakkan Himpunan MANSUH yang akan dianjurkan 1 Ogos depan, lapor Nyza Ayob.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, selain mendapatkan sokongan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, pertemuan tersebut juga supaya setiap negeri dapat mengerah seluruh rakyat daripada negeri masing-masing untuk turun pada perhimpunan tersebut.

Beliau yang dihubungi Harakah, berharap negeri-negeri ini dapat membantu mempromosi perhimpunan tersebut dengan memasang papan tanda serta kain rentang sebagai sokongan memansuhkan ISA.

Tambahnya lagi, jelajah ceramah ke seluruh negara telah bermula di Kuala Lumpur pada 28 Jun lalu dan akan diteruskan di negeri-negeri lain sehingga menjelang perhimpunan 1 Ogos itu.

Program tersebut merupakan kempen awal menjelang Himpunan MANSUH bagi meningkatkan daya kesedaran di kalangan rakyat tentang kezaliman ISA, membela nasib tahanan dan keluarga, dan mendesak kerajaan membebaskan tahanan.

Menyentuh mengenai sekretariat MANSUH, Syed Ibrahim menjelaskan, sekretariat terdiri daripada pimpinan PAS, DAP dan KeADILan, kalangan pimpinan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta pelajar-pelajar.

Beliau juga menyeru seluruh rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat memberikan sokongan agar kerajaan memansuhkan ISA dengan menyertai perhimpinan tersebut.

"Kita tidak boleh membiarkan lagi ISA ini berpanjangan demi untuk menjaga masa depan generasi akan datang. Saya mengajak rakyat untuk memberikan satu mesej yang jelas kepada kerajaan untuk mengambil tindakan segera iaitu bukan mengkaji ISA tetapi memansuhkan terus akta zalim ini," tegasnya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

isa adalah bagi menjaga keselamatan negara dan terpakai terhadap semua orang. Dalam hal ini, orang politikpun tidak boleh dikecualikan kerana acapkali merekalah yang menghuru-harakan keadaan. Perlu faham falsafah bahawa negara tidak menjawab kepada orang politik, sebaliknya orang politiklah dikehendaki menjawab kepada negara bahawa tindak tanduk mereka tidak mengancam keselamatan negara. Sememangnya ISA adalah undang2 sah yang berkesan mengekang apa jua tindakan covert atau overt terhadap keselamatan negara. Maka mana-mana orang yang “corner baring” menghuruharakan keadaan, ISA (bukannya mahkamah) adalah sebaik-baik kaedah mengekang perbuatan mereka. Perlu faham juga bahawa ISA adalah Undang2 Tuanku bukan UMNOpunya, maka orang politik tak kira UMNO atau pembangkang sama-sama terikat dengan ISA – maka jangan ada sesiapa, ada mana-mana golongan nak “corner baring”, kesudahannya jatuh terbaring. Perlu faham bahawa fahaman sosialisme, republik dan komunisme sebenarnya bertentangan dengan konsep raja berpelembagaan yang diamalkan diMalaysia.
Apa yang saya nampak, pemansuhan ISA yang diwawarkan lebih bersifat kepentingan politik bukannya bersifat kepentingan negara. Yang perlu dipertekankan sepatutnya adalah keharmonian, kesejahteraan, kestabilan dan pembangunan. Masaalah rumah2 terbengkalai dan pemaju-pemaju yang banyak melakukan penipuan terhadap pembeli2 – apakah mahkamah dan kerajaan telah dapat membendung penyangak-penyangak tersebut dengan Akta Perumahan? Kanun Keseksaan ataupun Undang2 Rasuah? Ini baru hal kesejahteraan rakyat belum lagi keselamatan negara!
Orang-orang yang menyalahgunakan ISA yang perlu diambil tindakan bukannya undang2 itu. Dan mereka-mereka yang tidak menggunakan ISA dalam keadaan sepatutnya juga sebenarnya telah juga bertindak mengancam keselamatan negara dan perlu diambil tindakan. Apakah kerana kemalangan jalanraya yang membabitkan kenderaan, maka dihapuskan kenderaan dijalanraya atau pemandunya diambil tindakan kerana cuai atau memandu dengan melulu?
Ramai tentera dan polis perisik mati tanpa anak-isterinya dibela dalam usaha mereka merisik demi keselamatan negara. Perbuatan-perbuatan underworld, mafia dan kumpulan gelap yang melacurkan perempuan-perempuan, pengedaran dadah, peras ugut, ahlong dan perbuatan maksiat-maksiat yang lain, pengganas-pengganas yang kita ketahui dan tidak diketahui, apakah kamu bersedia menjadi saksi terhadap mereka itu dimahkamah? Apakah kamu bersedia menjadi perisik (dengan berpura-pura menjadi kawan baik mereka) terhadap perbuatan penyangak2 tersebut? Pernahkah dan beranikah kamu melaporkan kegiatan-kegiatan penyangak-penyangak tersebut kepada pihak polis? Mereka-mereka berjuang dan bergadai nyawa dengan penyangak-penyangak agar rakyat dapat hidup dan tidur dengan aman dan damai. Apakah mekanisme dan cara negara merisik tindakan overt dan covert musuhnya perlu didedahkan? Dalam rumahtangga pun ada rahsia, dalam perniagaan pun ada rahsia, dalam jabatan dan kulliyah pun ada rahsia, inikan pula negara.
Fikir masak2 dan jangan terlalu mengikut perasaan.

Dr Abdul Rani Bin Kamarudin