KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 02, 2009

Slogan "1Malaysia" pembohong. Najib buktikan dengan bayar royalti petroleum kepada Kelantan segera!

KERAJAAN BN dibawah pentadbiran Dato' Seri Najib Tun Razak seharusnya menunaikan segera slogan mereka '1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' dilaksanakan bukan sekadar retorik semata-mata.

Untuk membuktikan Najib dan BN serius mengutamakan rakyat, langkah pertama yang harus dilakukan dengan cara membayar royalti petroleum berjumlah RM500 juta kepada Kerajaan Kelantan.

Membayar royalti petroleum yang tertunggak sejak tahun 2004 merupakan usaha mengutamakan rakyat kerana wang tersebut milik rakyat Kelantan jadi sewajarnya BN mengembalikan hak rakyat Kelantan bukan hanya menyerahkan kepada dua tiga kerat kroni untuk menikmati hasilnya.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Dato' Husam Musa tuntutan yang dibuat oleh kerajaan Kelantan sewajarnya dipertimbangkan oleh Perdana Menteri yang mahu mengutamakan rakyat.

Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri berhubung perkara tersebut.

Mewakili seluruh rakyat Kelantan, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution pada 16 Jun lalu ketika bangun membahaskan Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 mendedahkan sikap tidak adil kerajaan BN yang menganaktirikan rakyat Kelantan dengan cara menafikan hak mereka menerusi wang royalti petroleum sejak tahun 2004.

Beliau mengecam sikap pemimpin Umno-BN yang sering menyerang pemimpin PAS Kelantan dengan mengatakan mereka tidak pandai memerintah, tidak pandai mentadbir, tidak pandai membangunkan rakyat dan lain-lain sedangkan pada hakikatnya pemimpin Umno-BN menafikan hak yang sepatutnya dimiliki oleh rakyat Malaysia.

"Kerajaan BN sepatutnya membayar royalti petroleum ini kepada Kelantan kerana ia hak rakyat Kelantan dan bersesuaian dengan slogan satu Malaysia, rakyat didahulukan.

"Jika royalti ini diserahkan lebih banyak program kebajikan dapat dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kelantan kerana dalam keadaan pendapatan yang tidak seberapa pun sudah banyak program kebajikan untuk rakyat dapat dilaksanakan," tegas beliau.

Saifuddin juga menegaskan kerajaan pusat perlu amanah dalam menjaga dan menbahagikan hak rakyat. Tidak ada sebab untuk menafikan hak mana-mana rakyat hanya kerana negerinya tidak diperintah oleh BN.

Pendedahan yang dibuat oleh Saifuddin di Dewan Rakyat itu mendapat respons dari Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Siti Zailah Yusof yang mendesak Perdana Menteri memberi pertimbangan yang adil terhadap rakyat Kelantan dalam pemberian royalti petroleum di negeri tersebut.

"Kenapa Kelantan dinafikan haknya sedangkan negeri seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak menerima royalti daripada hasil petroleum?

"Rakyat Kelantan turut membayar cukai dan Kelantan juga sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, justeru saya berharap hak rakyat Kelantan dapat dikembalikan," tegas beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang menegaskan, setiap kali isu mengenai pemberian royalti petroleum ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dalam sesi soal jawab di Parlimen, menteri berkaitan memberi jawapan Kalantan tidak berhak ke atas royalti tersebut.

Siti Zailah juga menyelar pembohongan yang dilakukan oleh kerajaan yang disifatkan menganiayai pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong turut mendesak kerajaan menyegerakan pembayaran royalti petroleum kepada kerajaan negeri Kelantan. Kerajaan BN, tegas beliau perlu menyerahkan royalti petroleum itu dinikmati oleh rakyat Kelantan bersesuaian dengan konsep '1Malaysia, Rakyat diutamakan' yang menjadi slogan pentadbiran Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

"BN perlu segera membayar royalti petroleum kepada kerajaan negeri Kelantan kerana ia milik rakyat negeri itu.

"Sesuai dengan konsep 1Malaysia, rakyat diutamakan, hak rakyat Kelantan tidak seharusnya dinafikan," tegas anak kelahiran Kelantan itu.

Wee juga menegaskan, jika kerajaan pusat membayar royalti tersebut, Kerajaan Kelantan boleh mengunakan wang tersebut untuk membangunkan negeri dengan lebih rancak lagi dan dapat memberi manafaat kepada rakyat.

BN, katanya, perlu mengembalikan hak rakyat Kelantan sepertimana yang dinikmati oleh rakyat Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Sependapat dengan beliau, Ahli Parlimen Padang Serai, Gobala Krishnan turut mendesak agar BN segera menyerahkan royalti petroleum kepada kerajaan PAS Kelantan. Beliau menegaskan, kerajaan BN perlu memandang juah ke hadapan dengan turut mementingkan kebajikan rakyat Kelantan.

"Saya mohon Najib tidak pilih kasih dan segera membayar royalti milik kerajaan Kelantan untuk dinikmati oleh rakyat negeri itu. Dengan menyerahkan royalti kepada kerajaan PAS Kelantan, BN boleh membuktikan mereka serius mengutamakan rakyat kerana rakyat Kelantan juga rakyat Malaysia," tegas pengasas Kelab Penyokong PAS itu.

Gobala juga menegaskan wang royalti itu dapat digunakan oleh pentadbiran Kelantan untuk menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan negeri tersebut. Beliau turut kesal dengan sikap pemimpin BN yang sering menafikan Kelantan layak menerima royatlti petroleum.

Penafian tersebut, katanya, membuktikan pemimpin BN cuba menafikan hak yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Kelantan semata-mata kerana negeri itu diperintah oleh pembangkang sepertimana dilakukan terhadap Terengganu ketika PAS memerintah negeri tersebut pada tahun 1999 hingga 2004.

Sebanyak 13 trillion kaki persegi simpanan gas asli yang sudah diterokai terdapat di perairan Kelantan. Dengan jumlah tersebut, ia mencukupi untuk tempoh lebih kurang 500 tahun lamanya.

Kerajaan PAS Kelantan telah meluluskan pembinaan Terminal Pendaratan Gas Asli dan juga Supply Base untuk Petroleum dalam usaha memperkasakan hasil bumi Kelantan dan mempertahankan hak rakyat Kelantan.

Ditulis Oleh IRWAN MUHAMAD ZAIN

Tiada ulasan: