KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 20, 2009

Asakan "gila babi" BN sukar ditepis di Manek Urai



SETIAUSAHA Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Wan Nik Yusof Ngah menyifatkan apa pun reaksi yang dilempar terhadap majoriti mudah yang dicapai PAS pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai, 14 Julai lalu tetap membuktikan PAS menguasai Dun tersebut.

Malah katanya, kemenangan tipis 65 undi adalah suatu realiti yang membuktikan PAS diasak kuat oleh BN dan agensi Kerajaan Pusat serta kapasiti Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hadir mengetuai jentera kempen bukan atas sifat Timbalan Presiden Umno.

Ini ditambah lagi, senario pilihan raya kecil berlaku dalam suasana perubahan kepimpinan Umno dan ia berlaku pula di Manek Urai yang merupakan kawasan Melayu.

"Suasananya pula terlalu luar bandar di mana orang Melayu hidup dengan kepayahan dan di sudut teorinya banyak bergantung kepada pihak berkuasa," katanya mengulas kemenangan PAS di Manek Urai.

Di situ pula katanya PAS mendapati Umno banyak menawarkan janji-janji yang menjadi satu harapan baru kepada rakyat. Dengan itu ada benarnya juga, janji pembangunan itu sebagai satu daripada tarikan kerana mereka meletakkan satu harapan untuk untuk masa depan mereka agar janji-janji itu ditunaikan.

Janji itu katanya memikat terutamanya mereka yang berada di atas pagar. Mereka ini pula katanya setiasa berayun ke mana saja mengikut cita rasa semasa.

Dalam kajian yang dibuat katanya keputusan pilihan raya yang berlaku itu membuktikan 80 peratus berayun kepada BN. Itu bermakna hampir 900 pengundi beralih arah biarpun dalam pilihan raya umum 2008 mereka mengundi PAS.

Ini katanya, asas mereka mengundi PAS dalam pilihan raya umum dahulu kerana sentimen pertahan kerajaan negeri dipimpin PAS terlalu tinggi. Ditambah pula di Manek Urai isu yang dibawa oleh Umno ialah sekiranya PAS kalah dalam pilihan raya kecil ini, kerajaan negeri pimpinan PAS tidak akan tergugat.

Isu BN tawarkan satu-satu projek atau janji pembangunan membuatkan mereka berfikir inilah peluang untuk mereka mencuba di Manek Urai.

"Jadi apa salahnya mereka cuba memberi peluang kepada BN menang untuk pilihan raya kecil kali ini dengan harapan BN akan menunaikan segala janji," katanya

Bagaimanapun, tembok besar PAS menguasai Manek Urai disebabkan undi teras PAS agak kukuh melebihi daripada 46 peratus. Pengundi teras ini tidak berganjak, jadi apabila undi teras dicampur dengan baki lebih kurang empat peratus menyebabkan undi PAS menang tipis.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat janji segera yang dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin sedikit sebanyak mempengaruhi undi tipis PAS. Lebih-lebih lagi katanya, janji pembinaan jambatan di Manek Urai Baru ke Manek Urai Lama.

Bahkan katanya, di peti undi Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama Umno mencapai kemenangan. Sekaligus beliau menepis faktor sebelas janji yang dibuat oleh Perdana Menteri Dato' Seri Najib turut mengelabui pengundi.

Di situ katanya, keperluan jambatan mempengaruhi pengundi dan pilihan raya kali ini dilihat banyak penggunaan duit bagi membeli undi, rasuah politik mempengaruhi pada saat-saat akhir.

"Sebabnya apabila BN menguasai media dan dia menggunakan alasan kalau BN menang di Manek Urai yang pimpinan masih kekal di bawah Tok Guru Nik Aziz ini boleh pengaruhi pengundi-pengundi," katanya.

Namun tegas Ustaz Tuan Ibrahim, PAS akan membuat post-morterm tentang kemerosotan pengundi dan secara khususnya Manek Urai mungkin boleh dijadikan satu indikator untuk PAS menyusun strategi bagi pilihan raya umum ke 13.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan ketika dihubungi berpendapat faktor pengundi muda yang dikatakan lari kepada Umno adalah senario politik di Kelantan yang dilihat agak unik berbanding pilihan raya kecil di tempat lain.

"Kita tidak boleh tergesa-gesa membuat kenyataan bahawa pengundi muda tidak memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat. Sebabnya pertama kita berhadapan dengan satu trend kempen yang ekstrim daripada BN yang kononnya menawarkan puluhan juta ringgit untuk bangunkan Manek Urai.

"Kemudian janji untuk membina jambatan dan menjadi Manek Urai anak angkat atau anak emas semua benda ini memberi perubahan sementara kepada pengundi yang saya kira mungkin memberi peluang kepada Umno dan BN untuk melaksanakan janjinya," katanya.

Tetapi, Ustaz Nasruddin menegaskan janji tersebut terserlah dengan kepalsuannya apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin menjawab kepada pemberita dia tidak akan melaksanakan janji yang dibuat sebab janji tersebut hanyalah jika Umno menang sekalipun PAS menang tipis.

Dengan itu ujarnya, secara terang menunjukkan Umno sedang permainkan rakyat. Sekurang-kurangnya Umno kena ingat mereka menang di peti undi Manek Urai Lama dan Baru iaitu tempat mereka menjanjikan untuk membina jambatan tersebut.

Sebab ulas Nasruddin lagi, kalau dilihat perbezaan undi dengan 65 undi majoriti dimenangi oleh PAS, Umno hanya perlu 33 undi lagi dalam pilihan raya baru-baru ini.

"Ertinya sedikit sangat perbezaan undi di sebaliknya perbezaan undi menolak Umno. Ini menampakkan mereka memberi peluang kepada Umno untuk menunaikan janji saya kira pengundi tertipu Timbalan Perdana Menteri terang-terang sebut tidak akan menunaikan janji tersebut," katanya

Kerana itu, pilihan raya umum akan datang pasti senario pengundi muda akan berubah kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Pengundi muda akan melihat parti yang betul-betul memberi kebajikan atau betul-betul berkhidmat untuk rakyat.

Sementara itu Exco Pembangunan Wanita, Keluarga & Kesihatan Kelantan,
Wan Ubaidah Wan Omar mengulas tentang politik wang di Dun Manek Urai dengan mendakwa, tindakan menyogok wang berlaku sejak Allahyarham Ismail Yaakob sakit lagi.

Menurutnya usaha-usaha membeli undi yang dilakukan Umno berjalan di Manek Urai. Namun katanya jentera pilihan raya PAS tempatan lambat bertindak. Dengan itu katanya, menjadi fenomeno rakyat Selatan Kelantan yang berada dalam keadaan ekonomi tertekan.

"Apabila ada orang bawa, bukan hanya seratus dua ratus ringgit tetapi sehingga RM2000 hingga RM5000 pula yang kita dengar mereka dapat," dakwanya. Tentunya ini menjadi perkara yang membalut mereka untuk mengundi BN.

Beliau yang secara jujur tidak menolak kelemahan parti sendiri menasihati pimpinan PAS kena sentiasa bersiap sedia untuk apa-apa jua kemungkinan dan mesti peka dalam apa saja strategi yang diatur parti lawan.

Selain itu faktor pembuangan undi yang dilakukan pada hari bekerja itu hari Selasa bagi Manek Urai menjadi penyebab undi PAS merosot. Untuk mengulas perkara tersebut, Harakah menghubungi Presiden Kesatuan Sekerja Kebangsaan Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud.

Ujarnya, walaupun tidak ada undang-undang yang melarang para pekerja membuang undi pada hari bekerja, ia akan memberi kesan kepada pengundi yang bekerja. Beliau berkata biarpun di Kelantan menteri besarnya memberi cuti pada 14 Julai lalu, ia menimbul masalah kepada pengundi yang berada di luar negeri tersebut.

Katanya, isu politik wang bukan kali pertama berlaku kerana ia pernah dibuat semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh tidak lama dulu.

"Apa yang saya nak sebutkan di segi prosesnya Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) patut mengambil kira pengundi-pengudi yang berada di luar daerah atau di luar kawasan parlimen atau di luar kawasan Dewan Undangan Negeri di mana pilihan raya kecil diadakan.

"Maknanya secara ringkas patut mengambil kira hak pengundi-pengundi atau hak pemilih-pemilih yang bekerja dan berada di luar kawasan di mana pilihan raya itu diadakan," katanya.

Menurutnya walaupun sejauh mana kesannya akan dialami dalam sesebuah pilihan raya ia mendatangkan kesusahan kepada pengundi untuk balik atau jalankan tugasnya untuk mengundi. Kerana itu katanya beliau berpandangan sebaik-baiknya hari pengundi dibuat pada hari Sabtu atau Ahad.

"Jadi saya mengesa SPR supaya menghormati hak pemilih yang berada di luar daripada kawasan pilihan raya sama ada pilihan raya kecil atau umum agar mereka boleh menunaikan tanggungjawab tanpa menjejaskan cuti dan sebagainya," tegasnya.

Tiada ulasan: