KUALA LUMPUR: Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli menempelak pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang cuba menghalang mana-mana individu untuk mengkritik kerajaan dan melabelkan mereka seperti pengkhianat.
Tegas Hatta, sebagai lambang kesetiaan kepada negara, mana-mana individu atau tokoh seharusnya berani mengkritik negara dan pemimpin tanpa harus disekat atau diugut.
Tindakan mengkritik pemimpin dan dasar kerajaan tegas beliau, lahir dari hati yang memberontak akibat dari tindakan-tindakan pemimpin atau dasar-dasar yang merugikan negara dan rakyat.
"Tuduhan Dato' Seri Nazri Aziz terhadap Tun Mahathir, Tun Hanif Omar dan Tan Sri Abu Talib Othman tidak wajar hanya kerana mereka tidak sehaluan dengan suara pemimpin Umno-BN.
"Ketiga-tiga tokoh ini mewakili BN yang menyuarakan pandangan mereka terhadap sesuatu isu yang dirasakan tidak kena dan ianya tidak semestinya mesti selari dengan apa juga tindakan kerajaan atau pemimpin BN.
"Mereka juga pernah bekerja dengan kerajaan jadi seharusnya juga mereka mengkritik kerana mereka tahu apa yang berlaku," tegas beliau.
Hatta juga menegaskan, tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengambarkan pentadbiran Dato' Seri Najib Tun Razak tidak menghormati demokrasi dan kebebasan bersuara bila mengutuk mana-mana tokoh yang mengkritik kepimpinannya.
Tambah beliau lagi, sesebuah negara itu perlu mempunyai tokoh yang berani mengkritik atau pembangkang bagi memastikan terdapat semak dan imbang dalam apa juga dasar yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan.
Kerana itu, ahli parlimen Kuala Krai itu menegaskan, amat tidak wajar jika sesebuah negara hanya mempunyai satu parti tanpa mempunyai pembangkang kerana ia boleh menyebabkan pemerintah melakukan apa saja tanpa ada bantahan mana-mana pihak dan akhirnya rakyat yang akan menjadi mangsa.
Pada 14 Julai lalu, akhbar New Straits Times menyiarkan kenyataan Dato' Seri Nazri Aziz yang melabelkan Tun Dr Mahathir Muhamad, Tun Hanif Omar dan Tan Sri Abu Talib Othman sebagai 'crooks' kerana mengkritik kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan