KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 06, 2009

Liputan bias: Wartawan RTM disaran halau keluar Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Radio Television Malaysia (RTM) yang membuat siaran langsung sesi Parlimen selama 30 minit disaran keluar dari Dewan Rakyat kerana tidak menyiarkan secara menyeluruh sebaliknya dibuat secara berpilih-pilih.

Terdahulu Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) yang bangkit sebaik sahaja sesi Parlimen bermula, berkata beliau mendapat panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada rakyat yang mengadu stesen milik kerajaan itu menayangkan program tersebut secara berpilih di samping menyelitkan program bual bicara.

"Saya difahamkan siaran langsung TV1 itu secara berpilih-pilih. Biarlah macam yang lepas, dari awal (10 pagi) sampai 10.30 pagi. Kalau ada pergaduhan biarlah rakyat menilainya," katanya.

Ekoran itu, beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat juga bersuara menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap siaran lansung RTM itu.

M. Kula Segaran (DAP-Ipoh Barat) turut bangun dan mendedahkan RTM beralih siaran kepada sesi interbiu bersama ahli parlimen BN sebaik sahaja pembangkang berucap.

N. Gobalakrishnan (KeADILan-Padang Serai) juga bangun meminta Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee memutuskan satu tindakan yang diambil terhadap RTM yang boleh mengelirukan rakyat.

Dalam pada itu, Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching), Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) serta M.Kulasegaran meminta Ronald menghalau petugas dan wartawan RTM yang bertugas di Parlimen, tetapi ia disanggah oleh wakil penyokong kerajaan hingga menyebabkan dewan riuh seketika.

Justeru, Ronald Kiandee meminta RTM supaya mengambil perhatian terhadap teguran oleh beberapa anggota Parlimen berkenaan mengenai siaran tersebut.

Tiada ulasan: