KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 02, 2009

Rakyat patut nilai dolak-dalik Umno tolak debat, takut kerana salah!


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menegaskan cabaran yang dibuat oleh Tuan Guru Nik Aziz berdebat dengan Perdana Menteri merupakan suatu yang wajar kerana selama ini pemimpin Umno-BN sering membuat tuduhan yang berbagai-bagai terhadap Menteri Besar Kelantan itu dan juga PAS.

Beliau menegaskan perdebatan itu wajar dilakukan bagi merungkai masalah yang bermain dalam fikiran rakyat bukan hanya di Manek Urai tetapi juga seluruh Malaysia. Perdebatan kedua pemimpin itu membolehkan rakyat menilai pemikiran kedua-dua pemimpin tersebut.

"Jika perdebatan ini diadakan, rakyat boleh menilai pemikiran kedua-dua pemimpin tersebut," tegasnya.

Mahfuz turut membidas kenyataan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang menganggap debat terbuka tidak boleh diadakan kerana ia tidak sama dengan debat yang dilansungkan di Amerika.

"Kenapa Mahathir terlalu negatif? Kita boleh adakan debat yang lebih baik daripada Amerika dan ini sudah dibuktikan ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim berdebat dengan Dato' Shabery Cheek dalam isu minyak tahun lalu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Sehubungan dengan itu, Mahfuz mengajak seluruh rakyat Malaysia menilai dengan baik sikap berdolak dalik pemimpin Umno-BN dan menolak mereka dalam pilihan raya akan datang dan khususnya menolak BN di Manek Urai.

Mengulas perkara yang sama, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Hatta Ramli turut menempelak tindak-tanduk pemimpin Umno yang sering menolak cabaran debat yang dikemukan oleh pemimpin PAS.

"Kita lihat pemimpin Umno lebih gemar untuk mengadakan rundingan secara sulit berbanding berdebat biarpun debat lebih memberi kesan yang baik kepada rakyat. Dalam isu antarabangsa, pemimpin Umno boleh menyokong kita tetapi dalam isu yang berkaitan agama, mereka sering berdolak-dalik," tegas beliau.

Hatta juga menegaskan pemimpin Umno dan juga pemimpin Pemuda Umno Kelantan sewajarnya membalas kenyataan terbuka Tok Guru Nik Aziz dengan mengeluarkan satu kenyataan balas namun mereka lebih yakin untuk membuat laporan polis.

Ahli Parlimen Kuala Krai itu menyerahkan kepada rakyat di Manek Urai dan seluruh Malaysia menilai sendiri sikap pemimpin Umno yang sering memberikan pelbagai alasan bila dicabar mengadakan debat secara terbuka.

Tiada ulasan: