KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 23, 2009

DAP tak pernah halang SPRM siasat, tapi mesti telus! - Teng Chang Khim


MUQADIMMAH: Kematian Teo Beng Hock, 30, Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah yang dipercayai terjatuh dari bangunan Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 Julai lalu menimbulkan pelbagai tanda tanya memandangkan beliau merupakan antara saksi penting yang dipanggil berikutan siasatan ke atas tujuh Adun DAP di Selangor. Justeru, Wartawan Harakah, NYZA AYOB mendapatkan pandangan Ahli Jawatankuasa DAP, Teng Chang Kim yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, 20 Julai lalu bagi memperkatakan isu ini.

Apakah sikap DAP dan persepsi masyarakat Cina terhadap kematian Teoh Beng Hock?

TENG CHANG KHIM: Memang masyarakat Cina amat terkilan dengan kematian mendiang Beng Hock. Ini kerana tidak ada penjelasan kepada umum bagaimana punca kematian beliau dari tingkat 14. Dan kita dimaklumkan beliau membunuh diri.
Kemudian versi daripada pihak kerajaan juga berubah-ubah. Dan yang terkini, kita diberitahu melalui laporan bedah siasat mengatakan beliau telah meninggal dunia pada jam 8 pagi. Kenyataan ini bukan sahaja menyebabkan masyarakat Cina bahkan masyarakat umum juga tidak boleh menerima cerita yang bertukar-tukar daripada pihak kerajaan mengenai kes kematian ini.
Pada mulanya kita dimaklumkan beliau membunuh diri. Dan kemudiannya dimaklumkan beliau dijumpai dalam keadaan terlantar pada jam 1.30 tengahari. Dan laporan daripada pakar pula mengesahkan beliau telah meninggal pada jam 8 pagi. Dan ada mengatakan kali terakhir beliau dijumpai pada jam 8 pagi.

Banyak tanda tanya berkaitan kematian Beng Hock belum terjawab. Apa yang saudara harapkan agar pihak kerajaan menyelesaikan isu ini?

Sepatutnya pihak kerajaan mengumumkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kes kematian ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mulanya menyatakan tidak akan menubuhkan Suruhanjaya Diraja. Tetapi sehari kemudian lain pula ceritanya yang menyatakan kabinet akan membincangkan perkara ini.
Jadi, ini yang menyebabkan masyarakat umum tidak berpuas hati. Bayangkan di Malaysia ini tidak ada tempat yang selamat. Kalau kita berjalan di tepi jalan, berkemungkinan akan diragut. Dan terdapat kes jika masuk dalam lokap ada yang mati. Ditahan dalam SPRM pun mati.
Barangkali kalau kena tahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pun boleh mati juga. Perkara inilah yang kita semua amat tidak puas hati. Untuk kes seperti ini sepatutnya Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menubuhkan pasukan siasatan khas yang dianggotai pakar-pakar yang bebas untuk menyiasat secara menyeluruh kes ini.
Kita tidak boleh benarkan perkara yang sama berlaku. Jika tidak diambil tindakan yang serius oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, masyarakat umum tidak akan berasa puas hati. Selain siasatan segera, sudah tentu Suruhanjaya Siasatan DiRaja perlu ditubuhkan segera.

Kalau Perdana Menteri pulang dari luar negara...

Saya berharap Perdana Menteri akan membuat pengumuman tanpa menunggu mesyuarat kabinet. Sebelum ini terdapat kes seorang tahanan wanita dibogelkan. Pada masa itu, Perdana Menteri sebelum itu membuat pengumuman sewaktu mempunyai tugasan di luar negara. Dan saya rasakan kes Beng Hock ini lebih serius kerana melibatkan nyawa. Jadi sudah tentu ia lebih serius daripada kes tersebut. Dan tidak ada sebab untuk kerajaan melengahkan siasatan ke atas kes ini.

Ini bermakna, saudara tidak menolak kematian beliau satu kes khianat?

Tan Bong Hua merupakan orang yang terakhir menjumpai mendiang Beng Hock di tempat Beng Hock tidur. Dan beliau telah memaklumkan bahawa pegawai penyiasat telah memukul beliau. Kita tidak dapat siasatan daripada pihak polis.
Jadi apabila berlaku kes kematian di pejabat SPRM, pegawai yang terlibat harus ditahan polis untuk siasatan lanjut. Tetapi tidak ada seorang pun yang ditahan polis untuk siasatan. Selain itu, baru hari ini kita mendengar pihak polis dan forensik menyerbu pejabat SPRM. Ini bermakna selepas empat hari kejadian baru pihak polis ke tempat kejadian. Sepatutnya pada hari pertama bukan selepas beberapa hari yang mana bukti-bukti tertentu telah hilang daripada tempat tersebut.
Bagi saya, siasatan pihak polis amat tidak profesional. Sepatutnya seluruh kawasan kejadian dikepung untuk siasatan. Tetapi selepas empat hari baru kita dapati pihak polis menghantar forensik ke tempat tersebut. Sebab itu banyak pihak meragui penyiasatan polis dalam kes ini.

Apakah saudara berpuas hati dengan tindakan drastik SPRM menyiasat tujuh orang Adun DAP yang dikatakan terlibat dengan rasuah?

Kami tidak menghalang SPRM daripada menjalankan tugasnya mengikut lunas undang-undang. Tetapi nampaknya SPRM tidak profesional dalam keadaan seperti ini. Saya cuba kaitkan dengan beberapa kes. Dahulu terdapat kes ada pemimpin yang membawa duit tunai RM20.4 juta ke Australia dan beliau ditangkap.
Kita tidak nampak siasatan dilakukan atau hasil siasatan untuk diumumkan kepada orang ramai. Kemudian kita dengar pula bekas Menteri Besar mempunyai rumah bernilai RM24 juta. Kita tidak nampak kenyataan yang tepat, tegas dan serius.
Tetapi bagi siasatan rasuah tujuh orang Adun ini hanya melibatkan RM2,400 yang mana menyebabkan kematian seorang yang bukan dituduh, yang mana cuma seorang saksi. Daripada keterangan yang diberikan oleh seorang lagi saksi iaitu Tan Bong Hua, beliau menyatakan beliau telah dihukum semasa dalam siasatan yang mana beliau telah disuruh berdiri selama empat jam dan diugut dengan cara yang ganas. Jadi kami juga mempercayai mendiang Beng Hock juga mengalami perkara yang sama.

Apakah tuduhan sebenar SPRM terhadap tujuh orang Adun Pakatan Rakyat ini?

Kita tidak tahu apa tuduhan sebenar SPRM. Bermakna kita belum tahu sama ada mereka telah menemui bukti yang dicari. Sudah tentu SPRM mendapat aduan pihak tertentu sebelum menjalankan serbuan ke Pejabat Exco. Jadi, jika tidak ada bukti yang asas, caranya sedemikian untuk 'memancing' keterangan, saya rasa bukan dengan cara yang begitu.

Cara siasatan SPRM selama 10 jam 45 minit bertentangan dengan etika penyiasatan. Apa yang saudara boleh katakan tentang 'penderaan' ini?

Saya kira selepas SPRM ditubuhkan, terdapat banyak mekanisma yang dapat memperbaiki siasatan. Sepatutnya mereka menggunakan mekanisma tersebut dan bukan hanya menggunakan sebagai 'kosmetik' semata-mata yang mana hanya untuk menunjukkan mereka mempunyai mekanisma untuk mempertingkatkan SPRM. Tetapi sebenarnya mekanisma ini hanya hiasan luaran tetapi tidak ada isi.

SPRM dilihat sedang bertindak untuk membantu Barisan Nasional merampas kerajaan Selangor. Bagaimana kecenderungan ini?

SPRM daripada segi undang-undang mempunyai kuasa untuk melakukan siasatan. Tetapi siasatan tersebut hendaklah siasatan yang bebas daripada sebarang gangguan dan pengaruh politik.
Sekarang ini dilihat SPRM sebagai satu badan yang memilih bulu. Ia menjejaskan nama baik SPRM dan kerosakan imej SPRM akibat daripada kematian mendiang Beng Hock ini memerlukan masa yang agak panjang untuk memulihkan semula imej SPRM.
Mungkin satu rombakan harus dilakukan. Setidak-tidaknya Ketua Pengarah SPRM, Dato' Seri Ahmad Said Hamdan meletak jawatan yang menunjukkan bahawa SPRM berhajat membuat pembaharuan.

Tiada ulasan: