KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 02, 2009

BN dan Mustafa Mohamad berdolak-dalik dalam isu pembayaran royalti petroleum di perairan Kelantan

Ikuti interbiu ringkas bersama Ahli Parlimen Tumpat yang sempat ditemui di lobi Parlimen bagi memperkatakan isu tuntutan Kerajaan Kelantan terhadap pembayaran royalti minyak oleh Kerajaan Pusat:

Kenapa Kerajaan Pusat begitu liat hendak membayar royalti petroleum kepada Kerajaan Kelantan?

DATO' KAMARUDDIN JAFFAR: Terbukti, sememangnya ini merupakan dasar Tun Dr Mahathir yang daripada awal lagi ingin menafikan hak Kelantan terhadap royalti. Ini bukan sahaja di Kelantan tetapi apabila Terengganu jatuh ke tangan PAS royalti yang diberikan berpuluh tahun telah ditarik balik.
Di Kelantan bukan sekadar royalti tidak diberi kepada Kelantan tetapi pendaratan minyak juga dirancang supaya tidak didaratkan di negeri itu. Ini juga terbukti daripada sumber-sumber Petronas dan ianya dijelmakan dengan dasar dan keputusan supaya laluan minyak dan gas itu mendarat di Songkhla, Thailand.
Melalui paip akhirnya sebahagian daripadanya dibawa melalui bumi Thailand dan Kedah. Kerajaan Pusat di bawah BN memang sanggup mengambil risiko dan mengetepikan keuntungan dan kepentingan negara dengan mendaratkan gas dan minyak itu di Thailand. Mereka mengambil risiko keselamatan dan sebagainya menerusi paip membawa gas itu melalui Thailand ke negeri Kedah.

Tetapi BN kata kawasan pengeluaran minyak itu, dalam wilayah bertindih?

Isu yang dijawab oleh kerajaan dalam parlimen oleh Menteri kononnya kawasan itu bertindih dengan Thailand, sebenarnya itu tidak berbangkit kerana dalam soalan saya di parlimen pun telah dijawab bahawa 50 peratus Thailand dan 50 peratus Malaysia.
Yang kita tuntut itu bukan yang 50 peratus Thailand punya tetapi yang bahagian Malaysia. Tuntutan itu berlaku kita faham kerana dasar Malaysia juga untuk tidak terus menghadapi krisis dengan negara Thailand dengan tuntutan bertindih itu sama-sama setuju 50 peratus Thailand dan 50 peratus Malaysia.
Tetapi, itu kita tidak persoalkan. Sebaliknya kita tuntut yang 50 peratus bahagian di Malaysia itu yang tidak bertindih (dikatakan Kelantan dan Terengganu). Ia terletak di perairan Kelantan.
Yang bertindih ialah perairan Malaysia dan Thailand. Bahagian Malaysia itu tiada syak lagi bahawa ianya adalah bahagian perairan Kelantan.

Terdapat tujuh pelantar minyak di perairan Kelantan?

Ya, benar dengan perbincangan usahasama dengan kerajaan Malaysia-Thailand. Yang itu kita tidak nafikan dan kita mempunyai peta perairan itu sebagai bukti.

Ini menunjukkan BN diskriminasi dan menafikan hak rakyat Kelantan mendapatkan royalti ini?

Memang dasar BN daripada awal lagi untuk menafikan hak Kelantan kerana mereka menganggap Kelantan di bawah PAS dan mereka tidak nampak bagaimana akan boleh jatuh kembali kepada BN. Sebab itulah mereka merancang supaya Kelantan tidak mendapat satu sen pun daripada hasil minyak itu.

Pada pandangan Dato' apa tindakan yang perlu diambil oleh Kerajaan Kelantan untuk menuntut kembali royalti daripada Kerajaan Pusat?

Menurut laporan, Kerajaan Kelantan telah pun menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri. Ini merupakan langkah yang baik. Saya berharap Perdana Menteri menghormati permohonan kerajaan negeri ini atas tuntutan yang berasas. Kalau Perdana Menteri benar-benar mahu buktikan konsep keadilan, satu Malaysianya.

Kalau sekiranya Kerajaan Pusat tetap enggan untuk memberi kembali royalti itu, apa nasihat Dato kepada pengundi Manek Urai?

Kepada pengundi-pengundi di sana, walau apa keadaan pun mestilah sentiasa menyedari Kerajaan PAS Kelantan daripada awal lagi memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat tanpa mengira suasana ekonomi ataupun setakat mana peruntukan yang diberikan Kerajaan Pusat kepada PAS.
Ini adalah bukti Kerajaan PAS mengutamakan rakyat walaupun kita tidak menggunakan slogan rakyat didahulukan tetapi sememangnya segala dasar kita mengutamakan rakyat negeri yang kita anggap sebagai penyokong setia kita.

Tiada ulasan: