KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 02, 2009

Umno patut belajar dari PAS atasi kemelut, setelah bergelut dengan Kerajaan Perpaduan


TUAN Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sebenarnya tidak ada masalah dengan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa. Isu yang menjadikan ia menimbulkan ketegangan ini ialah ura-ura mengadakan pertemuan bagi tujuan menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Kata-katanya yang mahukan Ustaz Nasharudin meninggalkan PAS dan meletakkan jawatan Ahli Parlimen Bachok sekiranya mahu menyokong cadangan mengadakan Kerajaan Perpaduan dengan Umno, sebenarnya pendirian tegasnya mengenai isu itu yang tidak boleh dibuat secara sombrono tanpa berbincang di peringkat presiden terlebih dahulu.

Kematangan dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Dato' Mahfuz Omar yang mencadangkan supaya Nasharudin bersemuka dengan Mursyidul Am PAS bagi tujuan penyelesaian cara anak-beranak juga menjadikan suasana itu tidak terus keruh.

Sebagai seorang bapa yang berjiwa negarawan, Tuan Guru Nik Aziz juga tidak mahu ia berpanjangan dan menarik balik semua kata-katanya itu, apabila sah, cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan sudah ditamatkan.

Apakah sifat berjiwa besar dan pemaaf Tuan Guru Nik Aziz ini ada pada setiap manusia? Lebih-lebih lagi kepada mereka yang berjawatan tinggi dalam parti dan kerajaan. Mursyidul Am PAS ini mendahului yang lain, tidak perlu menyimpan apa-apa perasaan apabila isu yang menyebabkan ketegangan itu berjaya dirungkai dan yang penting pihak di luar sana khususnya Umno tidak dapat mengambil kesempatan dari ketegangan yang timbul itu.

Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim secara serta-merta mengalu-alukan Nasharudin supaya menyertai Umno. Malahan, di samping mengalu-alukan ‘kemelut seketika itu’ Umno nampak inilah ketikanya PAS dapat digoncang kestabilannya kerana berlaku pertembungan antara Mursyidul Am dengan Timbalan Presiden.

Kelebihan yang ada pada Nasharudin pula ialah apabila beliau memilih untuk ‘menutup mulut’ dari segala situasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan. Wartawan dari media massa arus perdana dihantar ke rumah Nasharudin untuk mendapatkan komennya mengenai keadaan itu, tetapi hampa.

Memetik kenyataan Tuan Guru Nik Aziz; Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di Pejabat Agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalah dalam beberapa isu politik semasa, yang dibesarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan perihal salah tanggapan antara pemimpin atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno.

"Kami sama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.

"Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta-merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bagunan Parlimen jam 2.30 tadi (22 Jun 2009) yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan.

"Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Musyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi."

Turut hadir dalam perjumpaan khas itu ialah Presiden, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Harun Din, Naib-Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Sallahuddin Ayob dan Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali, bekas Naib Presiden, Ustaz Ahmad Awang, Ketua Dewan Pemuda Ustaz Nasruddin Hassan dan Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Inilah kelebihan PAS jika dibandingkan dengan Umno. Umno menghadapi gelora yang agak panjang apabila Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bercakap mengenai ‘pelan peralihan kuasa’ antara Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) dengan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menyebabkan ‘ada rangkaian sahabat’ menjalankan kerja-kerja untuk menghalang Muhyiddin menang Timbalan Presiden Umno.

Malahan, usaha Muhyiddin untuk berjumpa dari hati ke hati dengan Abdullah tidak diterima sehinggalah Muhyiddin memohon maaf dari Abdullah di Perhimpunan Agung Umno yang menyebabkan Abdullah tidak dapat membuat pilihan lain, kecuali mengatakan ‘Pak Lah tak pernah berkecil hati dengan Muhyiddin’ walaupun umum tahu, Muhyiddin nyaris-nyaris tidak berjaya menjadi Timbalan Presiden, jika bukan kerana ‘bantuan’ Lembaga Disiplin Umno yang mengenakan tindakan terhadap seorang lagi calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Khabarnya, Najib sendiri tidak berani mempertahankan Muhyiddin di depan Abdullah kerana Najib tidak mahu nasibnya ‘terkulai layu’ seperti mana yang pernah berlaku terhadap tiga Timbalan Presiden sebelum Abdullah iaitu Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Begitu juga pertembungan antara Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan Tan Sri Rafidah Aziz juga tidak menyebabkan ‘salah seorang dari mereka’ sanggup menarik balik kata-kata yang sudah mereka hamburkan.

Mereka ‘bergaduh’ dan bermasam muka mungkin kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan agama yang cukup untuk ‘menarik balik segala kata-kata yang diucapkan’ ekoran satu-satu isu yang timbul.

PAS mendahuluinya. Umno kenalah belajar dari cara PAS menyelesaikan masalah. Dengan cara itu, parti akan bertambah kuat kerana tiada siapa yang terasa hati dan tiada siapa yang mengambil hati dalam ‘perbalahan’ yang tidak terduga.

Tepatlah kata bijak pandai, dalam politik, ‘jangan mudah berkecil hati, jangan mudah mengambil hati, jangan mudah terluka hati, jangan mudah terasa hati dan jangan mudah jauh hati tetapi orang politik mestilah selalu berhati-hati.

Musuh sentiasa menunggu dan jika kelemahan ini tidak diselesaikan secepat mungkin dan tidak ada pemimpin besar yang bersifat negarawan, maka yang untungnya bukan parti tetapi musuh yang mengharapkan perpecahan berlaku.

Ditulis Oleh IDRIS SAMAD

Tiada ulasan: