KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 02, 2009

Setelah reda isu Kerajaan Perpaduan, Pemuda PAS-Umno pula berbincang

KUALA LUMPUR: Sementara pemimpin kanan PAS menolak perbincangan kerajaan perpaduan dengan Umno, dewan Pemudanya pula hari ini mengambil langkah baru dengan mengadakan perbincangan ilmiah dengan pergerakan Pemuda Umno, LAPOR Muda Mohd Noor & S Pathmawathy.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan mengumumkan perkara itu dalam satu sidang akhbar bersama dengan Timbalan Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, di lobi Parlimen hari ini.

Nasrudin berkata, beliau menghantar surat jempatan kepada Razali untuk mengadakan wacana ilmiah berhubung isu 'benarkah perjuangan Umno tidak bercanggah dengan Syariat Islam'.

Katanya, ia ekoran kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu pada 21 Jun lalu, yang menyamakan Umno dengan ajaran sesat dan juga komunis.

Berikutan itu, Pemuda Umno Kelantan telah membuat laporan polis terhadap Nik Aziz pada 25 Jun. Langkah pertama ke arah itu, katanya, sekretariat Pemuda PAS akan menemui Pemuda Umno untuk membincangkan tarikh, masa, tempat dan format wacana tersebut.

“Pemuda PAS memberi tempoh seminggu kepada Pemuda Umno untuk menjawab jemputan tersebut. Datuk Razali berkata, Pemuda Umno akan meneliti jemputan tersebut sebelum memberi jawaban,” katanya.


Reaksi Pemuda K'tan

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Annuar Saffian berkata, pihaknya sedia menyahut cabaran wacana itu jika diarahkan oleh Pemuda Umno Pusat.

Ketika dihubungi hari ini, beliau berkata, Pemuda Umno negeri juga ingin tahu apa yang menyebabkan Nik Aziz yang menyamakan Umno dengan ajaran sesat dan juga komunis.

“Tetapi Pemuda Umno belum memaklumkan perkara itu kepada kami tetapi biasanya jika Pemuda PAS pusat membuat jemputan, ia adalah tanggungjawab Pemuda Umno Pusat. Kita boleh menerima wacana kerana debat hanya membuang masa,” katanya.

Annuar juga berkata, Pemuda Umno negeri berharap wacana itu bukannya untuk mencari siapa menang, siapa kalah. Sebaliknya, kata beliau, ia adalah untuk mencari titik permulaan ke arah penyatuan orang Melayu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyambut baik inisiatif Dewan Pemuda PAS untuk mengadakan perbincangan tersebut.

Tiada ulasan: