MUQADIMMAH: Isu perobohan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar benar-benar menggamatkan seluruh negara. Ia bagai badai yang membalun, begitu pantas menghempas pantai. Media kuasaan BN cuba memanipulasikan isu ini sebagai senjata untuk menyerang kepimpinan Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang dikepalainya. Menyelami sejauh mana kesan isu ini kepada Pakatan Rakyat, WAN NORDIN WAN YAACOB dan IZWAN ABDUL HALIM mewawancara Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Kedah, Dato' Mahfuz Omar di Alor Setar pada 9 Julai lalu.
Apa kesan sebenar propaganda yang dimankan oleh media kuasaan BN ini terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Kedah, dan sejauh mana kerjasama Pakatan di sini. Boleh jelaskan?
DATO' MAHFUZ OMAR: Walaupun pada peringkat awal kita melihat isu ini agak menggemparkan hingga menarik perhatian pemerhati politik dari seluruh negara dan seluruh dunia, tetapi atas keterbukaan dan kebijaksanaan pemimpin kerajaan negeri dan pemimpin Pakatan Rakyat keseluruhannya serta keterbukaan pemimpin PAS yang menduduki kerajaan untuk mendengar segala permasalahan daripada pelbagai pihak, maka isu ini telahpun dapat diatasi dengan sebaik-baiknya.
Tapi, media kuasaan BN menggambarkan ia sebagai isu perkauman...
Walaupun media arus perdana yang didalangi pemimpin politik Umno-BN cuba mencetuskan satu kemarahan rakyat dari satu kaum kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS dengan membawa isu itu ke dalam bentuk perkauman sempit, tetapi dengan penjelasan akhirnya masyarakat dapat terima bahawa ianya bukan isu perkauman tetapi ianya adalah isu tertunggak yang gagal diselesaikan oleh BN hampir 30 untuk menyelesaikan masalah ini.
Apa sebenarnya yang mereka cuba lakukan?
Apabila kita dapat selesaikan tanpa menimbulkan satu masalah besar kepada masyarakat khususnya kepada orang bukan Islam lalu mereka ‘divert’ isu itu menjadi isu perkauman. Isu tertunggak ini bukan isu perkauman. Ia melibatkan bantahan penduduk di situ baik Melayu mahupun bukan Melayu.
Berkaitan environment, kebersihan yang tidak terkawal, kesihatan dan sebagainya. Bila kita berjaya mengatasi ikemelut ini, Umno-BN mencemburui perkara ini lalu jadikan isu ini sebagai isu perkauman setelah perobohan pusat itu mereka gagal jadikan isu panas kerana masyarakat umumnya menerimanya malah persatuan sembelihan juga terima. Jadi mereka bawa ke media seolah-olah ia isu perkauman.
Sikap rakyat melihat isu ini macam mana?
Jelas kita lihat rakyat tenang dan satu demi satu persoalan yang dibangkitkan DAP Kedah itu kita dapat atasi dengan penuh kebijaksanaan oleh pemimpin kerajaan. Jadi saya melihat ini satu pengajaran penting untuk kita. Ia juga ekoran daripada mekanisma dalam Pakatan Rayat ini yang tidak begitu teratur dan tersusun.
Jadi dengan isu yang berlaku di Kedah ini, kita perlu fikir untuk ada satu rutin perjumpaan, ada sekretariat. Walaupun sekretariat ini secara prinsipnya sudah ada tetapi tidak begitu diperkasakan.
Oleh itu perlu diperkasakan supaya lebih kemas menjadi satu sekretariat yang ada rutin pertemuan untuk kita dapat berkomunikasi serta dapat faham memahami antara satu sama lain. Kalau tidak, nanti kita akan terbawa-bawa dengan masing-masing punya perjuangan dan mungkin mudah terperangkap dengan agenda musuh.
Adakah sepatutnya diadakan pertemuan yang lebih kerap antara pimpinan Pakatan Rakyat Kedah bagi membincangkan pelbagai isu?
Ya seharusnya begitu. Mereka seharusnya tidak membangkitkan perkara-perkara itu di luar. Kita bukan bertemu berasaskan kepada isu tetapi pertemuan rutin secara sebulan atau dua bulan sekali.
Sekaligus, kita dapat memahami dasar dan pentadbiran kerajaan itu sendiri. Kita juga dapat memahami bagaimana mengatur strategi politik dalam menghadapi pengaruh politik Umno-BN ke atas jentera kerajaan yang masih ada, maksudnya pegawai kerajaan.
Saya tidak menafikan bahawa ada pegaawai-pegawai yang bekerja secara profesional tetapi tidak boleh dinafikan masih wujud kepentingan politik BN ini ke atas jentera kerajaan yakni pegawai-pegawai.
Oleh itu, pimpinan Pakatan Rakyat dari PAS, KeADILan dan DAP perlu ada kebijaksanaan menghadapi situasi ini dan memahami masalah dihadapi oleh mereka yang diamanahkan untuk memimpin kerajaan ini berhadapan dengan keadaan-keadan pengaruh politik BN ke atas jentera kerajaan itu sendiri.
Apa harapan Dato'?
Harapan saya, atas sifat saya sebagai ahli parlimen dan Naib Presiden PAS, Kerajaan Kedah sendiri harus menyedari perkara ini. Saya percaya YAB Menteri Besar sendiri menyedari pengaruh politik BN ke atas jentera kerajaan dan perlu di atasi segera.
Saya juga mengharapkan pegawai-pegawai menterjemahkan kata-kata bekas SUK dalam pertemuan bersama Menteri Besar bahawa mereka bekerja secara profesional. Pemimpin politik boleh datang dan pergi tetapi pegawai tetap kekal. Jangan jentera kerajaan ini hanya kerana seorang dua cuba untuk membawa agenda politik BN, boleh menyebabkan tercalarnya imej KCS keseluruhannya.
Adakah ini dalam pengetahuan dan ianya serius?
Saya harap Menteri Besar harus mengambil langkah-langkah segera terhadap permasalahan ini kerana kadang-kadang yang menimbulkan agenda politik ini cuba untuk menyebabkan kemarahan rakyat. Misalnya sekarang cubaan mencetuskan kemarahan di kalangan peniaga-peniaga kecil.
Jadi, kerajaan perlu powerfull ke atas PBT yang kadang-kadang bertindak diluar daripada perkiraan yang sepatutnya. Kenapa dulu mereka tidak bertindak? Seolah-olah kerana dulunya ada perkiraan politik untuk jaga kepentingan BN.
Maksud Dato' ada agenda BN di sebalik isu babi ini?
Saya juga boleh menyifatkan adanya agenda BN. Macam kes babi ini perlu dipersoalkan kerana ia kegagalan Majlis Bandaraya, dulu Majlis Perbandaran, kenaapa kes ini tidak dapat diselesaikan dulu?
Ini kerana Umno menjadi boneka kepada gerakan dan MCA, bila MCA dan Gerakan kata jangan buat jadi mereka juga tidak buat kerana hendak jaga kepentingan politik mereka. Saya setuju dengan penutupan tempat penyembelihan itu.
Tetapi saya tidak mahu penutupan itu ada agenda untuk mencetuskan kemarahan dan memburukkan keadaan. Bila media bertanya kepada pihak Majlis mereka mendakwa mereka hanya menerima arahan Kerajaan Negeri.
Ada tak lagi kes seumpama ini yang rasanya dilakukan sebagai percubaan untuk memburukkan imej Kerajaan Negeri Kedah?
Saya juga sudah bawa perkara ini ke pengetahuan YAB Menteri Besar supaya caj pasar ramadhan nanti jangan dinaikkan. Sudah ada di mana caj borang itu sebelum ini RM5 sekarang sudah jadi RM30.
Saya kata kepada Menteri Besar kalau tak boleh turun harga sekurang-kurangnya ‘maintain’ dengan yang lama. Jadi seolah-olah ada pihak PBT itu untuk menimbulkan kemarahan rakyat.
Misalnya di Pokok Sena sekarang mereka buat ‘check’ lesen di kedai-kedai runcit di kampung-kampung sedangkan mereka sudah berpuluh tahun berniaga. Jadi kenapa (dibuat) sekarang ini?
Hanya semata-mata hendak mencetuskan kemarahan rakyat kepada kerajaan negeri. Jadi kerajaan kena ambil serius perkara ini bila mana ada pegawai yang cuba mencetuskan kemarahan rakyat dari pelbagai segmen masyarakat.
Kesimpulan Dato', apakah kerjasama kembali terjalin dengan parti dalam Pakatan Rakyat setelah reda isu perobohan pusat penyembelihan babi ini?
Ia sudah terjalin kembali bila mana DAP Pusat merayu kepada DAP Kedah. Itu telah beri signal kepada DAP Kedah untuk tarik balik. Bagi saya sepatutnya tidak timbul merayu tarik balik bila mana DAP Pusat yang punya kuasa powerfull nak membatalkan keputusan negeri tapi mungkin DAP Pusat hendak menjaga hubungan dengan DAP negeri sebagai mekanisma mereka. Jadi itu saya lihat sebagai penyelesaian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan