MUQADDIMMAH: Biarpun isu kerajaan perpaduan sudah berakhir, Umno masih memutar-belitkan lagi isu itu kononnya PAS menolak perpaduan khasnya di kalangan orang-orang Melayu. DAP turut dikaitkan, seolah-oleh PAS menolak Umno tetapi berkawan dengan parti itu. Namun kenyataan bersama PAS, KeADILan dan DAP menolak agenda Kerajaan Perpaduan benar-benar merimaskan Umno. Rancangan mereka untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat gagal. Ikuti buah fikir Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam berkongsi pendapat mengenai isu yang menimbulkan "kebimbangan" selama 15 hari dalam PAS.
Isu Kerajaan Perpaduan telah selesai. Tetapi Umno nampaknya cuba memancing lagi untuk menyeret PAS dengan pelbagai kenyataan “meminang”. Pada pendapat Ustaz, apakah agenda tersirat Umno sebenarnya?
IDRIS AHMAD: Ini menunjukkan Umno hari ini dalam keadaan yang lemas. Orang lemas, nampak buaya pun mereka akan berpaut. Jadi, sekarang ini Umno bergantung kepada talian hayat kerana rakyat sudah mual terutama kalangan generasi muda dan mereka yang celik maklumat.
Hanya rakyat yang minoriti yang menyokong Umno. Maka dengan sebab itu kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka menandakan mereka resah gelisah dengan penolakkan pimpinan PAS dan juga Pakatan Rakyat dengan isu Kerajaan Perpaduan. Terdapat di kalangan pimpinan Umno yang mengatakan kononnya Kerajaan Perpaduan ini bukan semua di kalangan pimpinan PAS yang menolak tetapi masih ada yang menerima.
Ini bertujuan untuk menimbulkan keraguan dan syak wasangka. Umno adalah parti yang gagal dan telah ditolak generasi muda dan sekarang ini kenyataan Najib Tun Razak menggambarkan seolah-olah PAS tolak ini menunjukkan satu syak wasangka dari kalangan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat kepada PAS.
Walhal PAS mempunyai disiplin dalam membuat sesuatu keputusan. Sebelum itu kita ada pelbagai pandangan seperti disiplin yang diajar oleh perjuangan PAS. Apabila membuat sesuatu keputusan pada mesyuarat pertama, kita akan menyokong walaupun sebelumnya kita berbeza pandangan. Ini sebagaimana kebiasaan apa saja yang kita hendak lakukannya.
Contohnya, sewaktu bersama-sama dalam Angkatan Perpaduan Ummah 46, dan Barisan Alternatif. Apabila ada keputusan kita ada pelbagai pandangan. Ada keputusan yang kita menyokong keputusan tersebut walaupun ada orang lain yang cuba hendak menggagalkan keputusan itu.
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat secara jelas menolak agenda Kerajaan Perpaduan dan menyifatkan ia fitnah jahat Umno untuk memecah-belahkan PAS dan Pakatan Rakyat. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga mempertegaskan penolakan Kerajaan Perpaduan ini pada hari yang sama, 22 Jun lalu. Apa implikasinya terhadap Umno bila isu ini ditamatkan?
Implikasinya, Umno kehilangan satu 'peluru' yang kekuatannya lebih hebat daripada 'C4' bagi menghancurkan Pakatan Rakyat yang kita bina dengan baik. Sebab itu, mereka (Umno) resah gelisah dengan keputusan nekad, iltizam dan komitmen yang ditunjukkan semua pimpinan Pakatan Rakyat dalam membuat keputusan tersebut.
Terhadap Pakatan Rakyat macam mana pula?
Setakat ini, kita akan meneruskan agenda yang telah kita pun teruskan selama ini untuk menjadi "kerajaan yang menunggu" dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti. Pada saya, tidak mempunyai apa-apa masalah di kalangan pimpinan dan juga di kalangan pendokong-pendokong dengan keputusan yang kita buat pada 22 Jun baru-baru ini.
Kini Umno memutarbelitkan isu PAS sanggup ketepikan perpaduan Melayu tapi sedia bekerjasama dengan DAP. Boleh Ustaz jelaskan mengapa PAS tolak kerjasama dengan Umno dan menerima tahaluf dengan DAP?
Pertamanya kita lihat Umno sesama Umno pun dia tidak boleh hendak percaya. Sudah pastilah kita dengan Umno lagi tidak boleh percaya. Umno sama Umno pun bergaduh. Dia tak bersatu macam mana pula dia hendak bersatu dengan kita.
Jadi, kita nasihat Umno bersatu dengan dia dululah. Selesaikan rasuah politik dalam partinya. Bagaimana skandal moral dari kalangan pimpinan Umno yang melibat wanita seperti mana yang kita tahu. Soal senator dan bekas ahli parlimen itu menggambarkan Umno perlu selesaikan masalahnya dulu.
Lepas itu, baru bercakap soal orang lain. Kita tidak percaya Kerajaan Perpaduan tetapi lebih percaya dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat dan terbukti sejak kita mengadakan pakatan bersama. Saya juga nasihatkan Umno jangan cuba untuk mengadu-dombakan kononnya PAS anti kepada perpaduan untuk berkawan dengan orang-orang Melayu sebaliknya rela untuk berkawan dengan orang DAP. Umno tidak perlu bermain api dalam hal ini.
Adakah PAS menghadapi sebarang masalah dengan DAP?
Setakat ini hari ini kita tidak hadapi masalah. Pada hal, kita tengok seperti mana di Pulau Pinang nampaknya diberikan kebebasan untuk kita menyebarkan dakwah kita dan juga memberi kefahaman Islam kepada masyarakat Islam dan kepada masyarakat bukan Islam. Keadaannya berbeza sewaktu Barisan Nasional memerintah di Pulau Pinang.
Sekarang ini tidak ada perkara-perkara yang kita anggap besar, yang menyebabkan kita rasa sukar atau susah untuk menghadapi DAP. Ini kerana mereka cerdik, rasional dan matang dalam politik, dalam apa saja cara sekali pun dan jika ada masalah yang timbul kita berbincangan dengan semangat kesefahaman di kalangan Pakatan Rakyat.
Apa yang menarik, berlaku kecelaruan... maaf kalau boleh disebut “kecelaruan” dalam PAS apabila isu ini ditimbulkan. Tetapi ia begitu pantas diselesaikan oleh pucuk pimpinan. Bagaimana PAS menguruskan kocakan dalaman ini dengan begitu baik?
Ini satu ilmu yang orang lain kena belajar. Kita boleh selesai dalam masa sehari saja. Dengan pulangnya Presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi Awang dari luar negara maka diadakan perjumpaan yang kita selesai secara ukhwah dan berlapang dada.
Ini kerana dispilin dan tarbiah yang diasuh dalam PAS menyebabkan kita boleh selesaikan kemelut yang ada dengan mengambil masa yang sesingkat mungkin. Ini kebijaksanaan dalam soal untuk menguruskan krisis yang berlaku di dalam parti. Ini satu kelebihan yang ada dalam parti kita (PAS) yang dididik dan diasuh pimpinan di semua peringkat.
Keinginan Umno untuk melihat Tok Guru Nik Abdul Aziz "berperang" dengan Timbalan Presiden PAS berjaya ditepis melalui pertemuan singkat 10 pemimpin kanan PAS, 22 Jun lalu. Mursyidul Am PAS, sudah menarik balik segala gesaannya terhadap Ustaz Nasharuddin keluar dari PAS dan meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok. OK, ini tidak berbangkit lagi, katanya. Apa komen Ustaz?
Pimpinan PAS ini mempunyai jiwa yang besar walaupun Tok Guru Nik Aziz sebagai Mursyidul Am. Pada dia (Tok GUru Nik Aziz), setelah mendengar penerangan yang jelas dia bersedia untuk memaafkan atau menarik balik kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.
Ia perlu dicontohi oleh pimpinan muda dalam PAS supaya kita mempunyai jiwa besar dan pemaaf terhadap apa yang berlaku kepada orang-orang bawahan. Ini satu tindakan yang sangat baik.
Harapan Umno untuk melihat PAS kecundang di Manek Urai juga terburai dengan penolakan kerajaan perpaduan dan perdamaian antara Tok Guru Nik Aziz dengan Ustaz Nasharuddin. Adakah perkembangan ini benar-benar menyusahkan Umno di Manek Urai?
Memang menyusahkan. Ini kerana jika mendengar kenyataan yang dikeluarkan Dato' Mustafa Mohamad (Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan) beliau menyebut iaitu sebelum isu ini selesai beliau berkata isu Kerajaan Perpaduan ini, kita akan cuma jadikan aset untuk memenangi kerusi di Manek Urai. Tetapi selepas 22 Jun, Manek Urai telah terburai.
Kenyataan bersama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat Lim Kit Siang untuk semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang akan datang. Bagaimana ini boleh dilakukan?
Sekarang ini bukan benda yang mustahil dan dengan izin Allah SWT, maka Pakatan Rakyat akan memerintah di peringkat pusat dengan syarat komitmen di kalangan semua ahli dan juga kita menaruh keyakinan kepada rakyat. Rakyat akan memberikan kejayaan kepada PAS dan ini bukan satu perkara yang mustahil untuk berlaku.
Tentang Pakatan Rakyat sebagai “kerajaan menanti”, pada pendapat Ustaz adakah “mood” rakyat hari ini benar-benar menolak Umno dan BN?
Secara umumnya kita lihat Insya-Allah, nampaknya mereka menolak Barisan Nasional dan rakyat akan hilang keyakinan kepada kerajaan Umno dan Barisan Nasional. Mereka beralih kepada Pakatan Rakyat.
Kenapa Ustaz berkata begitu?
Pertamanya apabila mereka melihat tentang peranan Umno yang diamanahkan untuk memerintah negara kita hampir 52 tahun, mereka gagal untuk menguruskan sama ada ekonomi, pengangguran di kalangan siswazah semakin tinggi, pembuangan pekerja semakin teruk walaupun BN memberi alasan keadaan ekonomi global yang memberi kesan kepada negara kita.
Sepatutnya, jika negara diurus dengan baik dalam pentadbirannya, saya rasa tidak timbul soal seperti mana yang berlaku pada hari ini. Ini kerana hasil mahsul negara kita cukup banyak seperti minyak, kelapa sawit, balak, getah dan sebagainya.
Negara lain tak ada seperti kita, tiba-tiba kita lihat negara kita gawat dalam ekonomi. Ia menunjukkan kegagalan pemimpin Barisan Nasional memimpin negara kita dengan baik. Terutama apabila mereka lihat di Kelantan, selama 20 tahun kita mampu bertahan.
Kita mampu membuat pembangunan dengan kemampuan yang kita ada walaupun mendapat kekangan kewangan dan dihimpitan serta tekanan yang diberikan Kerajaan Pusat, kita mampu memerintah Kelantan. Kalau dengan keadaan Kelantan begitu pun kita mampu untuk mentadbir maka sudah tentulah mereka lihat kalau PAS dan Pakatan Rakyat diberi mandat oleh rakyat , ia mampu hidup baik daripada diperintah Umno.
Maknanya Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, Pakatan Rakyat akan ke Putrajaya, BN akan tumbang. Begitu?
Isya-Allah jika diizin Tuhan.
Apa yang menarik, kocakan dalaman PAS kini kembali bertaut, ukhwah bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair. Barangkali Ustaz ada nak perkatakan sesuatu dari apa yang terjadi...
Ya, pertamanya, ini satu hikmah juga untuk menguji bagaimana kehebatan pemimpin PAS dalam mengurus krisis. Keduanya untuk melihat bagaimana ahli-ahli PAS, penyokong-penyokong PAS di dalam mematuhi pimpinan PAS.
Ketiganya, untuk menguji kematangan rakyat di negara kita pada hari ini sama ada mereka ini percaya atau tidak dengan media yang mainkan peranan untuk melaga-lagakan pimpinan dalam negara ini.
Di sebalik hikmah yang tersurat dan tersirat, pada saya penuh keyakinan, PAS mampu untuk menghadapi cabaran lebih daripada itu kerana kita tahu perjuangan PAS ini adalah perjuangan yang suci yang didokong oleh penyokong-penyokong PAS terutamanya di kalangan ahli bawahan yang tidak mengharapkan upah, pangkat dan darjat.
Yang mereka hendak lihat, ialah supaya pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat melaksanakan amanah dengan baik dan mereka mahu melihat Islam dapat dihayati oleh masyarakat di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan