KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 20, 2009

Lawan PAS bukan BN, bukan Umno tetapi gergasi Kerajaan Persekutuan - Dato' Wan Rahim


MUQADIMMAH: Kemenangan tipis PAS dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai 14 Julai lalu dengan majoriti 65 undi menimbulkan pelbagai spekulasi punca kemerosotan undi. NYZA AYOB mendapatkan penjelasan dari Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Dato' Wan Rahim Wan Abdullah mengenai faktor-faktor kemerosoatan undi terhadap PAS dalam pilihan raya kecil itu.

PAS mencapai kemenangan tipis dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai. Apakah punca kemerosotan mendadak undi PAS?

DATO' WAN ABDUL RAHIM: Pertamanya, pilihan raya kecil seperti yang pernah berlaku, kita pernah menghadapi serangan daripada Barisan Nasional(BN) secara bertubi-tubi. Dalam pilihan raya kecil kadang-kadang BN boleh menang dalam sesuatu kawasan dan dalam Pilihan Raya Umum PAS boleh memenangi kembali kawasan tersebut.
Sebagai contoh pada 2005, kita kalah 134 undi kepada BN dalam Pilihan Raya Kecil Pengkalan Pasir. Tetapi dalam Pilihan Raya Umum 2008, PAS menang kembali walaupun yang bertanding, sama ada PAS atau BN, adalah calon yang sama. Jadi serangan jentera BN secara tertumpu dan secara insentif yang mana amat sukar kita hadapi.

Dalam sejarah pilihan raya kecil di Kelantan sebelum ini juga berlaku kemerosotan undi PAS. Boleh Dato' ceritakan secara lebih lanjut?

PAS mempunyai pengalaman melalui beberapa pilihan raya kecil di Kelantan. Antaranya Pilihan Raya Kecil Tendong 1978, Pilihan Raya Kecil Kemumin, Pilihan Raya Kecil Selising 1983 dan Pilihan Raya Kecil Lundang 1994, Pilihan Raya Kecil Pulau Condong, Pilihan Raya Kecil Semerak 1997 serta Pilihan Raya Kecil Limbongan dan Sungai Pinang pada 1993.
Kita pernah menang tipis di Pulau Chondong dengan 118 undi. Kita juga pernah kalah tipis di Bukit Tuku dengan 118 undi. Begitu juga kita pernah mengalami kekalahan tipis di Pengkalan Pasir dengan 138 undi. Jadi, Pilihan raya kecil di Kelantan tidak menggambarkan situasi sebenar rakyat Kelantan. PAS lebih terkesan lebih teruk dari Pilihan Raya Umum. Sifat 'kecairan' orang Kelantan ini lebih daripada Pilihan Raya Umum.

Apakah PAS akan mengadakan satu post mortem bagi mengetahui punca kemerosotan undi itu?
PAS akan mengadakan post morterm bagi mengetahui punca sebenar kemenangan tipis yang kita perolehi itu. Semua faktor tersebut kita akan ketahui melalui siasatan atau penyelidikan yang lebih terperinci yang akan kita lakukan.

Trend kempen BN masih menggunakan jentera kerajaan. Apakah tindakan PAS Kelantan dalam menghadapi isu ini?

Dalam pilihan raya kecil ini, BN bukan hanya bertanding dengan PAS atau dengan Pakatan Rakyat kerana ia membawa segala jentera dan agensi kerajaan termasuk peralatan serta kewangan kerajaan. Ia seolah-olah dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai ini PAS berlawan dengan jentera kerajaan.

Apakah kemerosotan undi yang dihadapi itu juga disebabkan politik wang yang menjadi kempen utama BN?

Ya, BN masih lagi 'membudayakan' budaya membeli undi serta memberi wang kepada pengundi-pengundi. Hinggakan ada yang mendapat RM1000. Itu merupakan cara sogokan dan rasuah. Ini merupakan budaya pilihan raya yang PAS dan Pakatan Rakyat tidak amalkan.
Bagi mereka yang menerima sogokan ini, mereka diminta bersumpah untuk mengundi BN. Disamping sogokan dan rasuah untuk membangunkan Manek Urai, budaya ugut juga turut dilihat dalam pilihan raya kecil ini. Mereka memberi sogokan dengan janji-janji seperti menyediakan jambatan antara Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama serta ingin menjadikan Manek Urai sebagai kawasan agropolitan.

Adakah dengan ugutan serta sogokan itu menyebabkan pengundi jadi tertekan?

Keadaan tersebut akan membuat pengundi tertekan. Apa yang digunakan BN ialah TPU iaitu Tipu, Pitih, Ugutan. Tiga senjata ini yang membuatkan kita sukar untuk membalasnya kerana PAS tidak percaya dengan taktik sedemikian yang mana di luar budaya kerja pilihan raya kita.

Manek Urai merupakan kawasan luar bandar. Apakah media juga merupakan salah satu punca yang menyebabkan pengundi terpengaruh dengan agenda BN?

Dalam pilihan raya kecil ini, pengundi-pengundi dikepung dengan media seperti radio dan televisyen. Sebagai contoh Radio Kelantan FM juga telah memindahkan studionya ke Kuala Krai. Bukan hanya buat siaran lansung tetapi telah dibuka cawangan studio di Kuala Krai.
Walaupun masyarakat Manek Urai tidak membaca surat khabar, tetapi radio dan televisyen boleh mempengaruhi mereka. Laporan RTM dan TV3 juga berat sebelah. SPR juga seolah-olah memekakkan telinga dengan penyelewengan media yang dilihat tidak telus dalam pilihan raya ini.

Benarkah dakwaan undi orang muda dalam pilihan raya kecil ini telah beralih kepada BN?

Saya ingin menafikan satu fahaman umum sekarang bahawa Pilihan Raya Kecil Manek Urai ini telah mengubah sikap pengundi-pengundi muda. Dalam Dun Manek Urai mempunyai sembilan peti undi.
Di peti undi Sungai Periang PAS menang di saluran warga emas iaitu saluran satu dengan 49 undi dan PAS kalah di saluran dua dengan 78 undi. Di saluran tiga pula kita menang dengan 37 undi. Tetapi di saluran empat iaitu saluran orang muda, kita menang 76 undi.
Ini bermakna antara ke empat-empat saluran ini, kita kalah di saluran dua tetapi menang di saluran empat. Di Sungai Periang menunjukkan ramai golongan muda menyokong PAS. Begitu juga di peti undi Manek Urai Lama, PAS kalah di saluran satu, dua dan tiga yang mana kita kalah di saluran dua 96 undi, kalah di saluran tiga 40 undi tetapi kita hanya kalah di saluran empat 30 undi.
Ini bermakna, walaupun PAS kalah di peti undi tersebut, kekalahan di saluran dua dan tiga lebih teruk lagi daripada saluran empat. Dan yang lebih mengejutkan di Manek Urai Baru yang mana PAS kalah di saluran satu hanya satu undi, saluran dua 48 undi dan di saluran tiga PAS menang 15 undi.
Jadi di peti undi Manek Urai Baru ini menceritakan suasana sebenar yang mana kita menang 15 undi. Ini bermakna PAS menang di saluran anak muda. Begitu juga di peti undi Chucuh Puteri yang mana PAS menang di peti undi tersebut. Tetapi kita hanya menang di saluran satu hanya 19 undi, menang di saluran dua hanya 20 undi tetapi kita menang di saluran tiga dengan 57 undi. Begitu juga di peti undi Laloh yang mana PAS menang di saluran satu dengan 51 undi tetapi kalah di saluran dua dengan 69 undi dan di saluran tiga kita kalah 48 undi. Jadi, perbandingan antara saluran dua dan tiga, walaupun PAS kalah, kekalahan di saluran tiga lebih kecil.

Ini bermakna daripada lima peti undi yang Dato' sebutkan tadi, sokongan pengundi muda masih kepada PAS?

Berdasarkan keputusan peti undi yang disebutkan tadi yang mewakili lebih daripada separuh pengundi membuktikan bahawa tidak betul anggapan orang muda telah berpindah kepada BN. Saya menafikan pandangan umum itu.

Adakah pilihan raya kecil di Kelantan ini menggambarkan trend nasional? Atau hanya unik di Kelantan sahaja?

Kita terpaksa mengakui perubahan-perubahan yang cuba dibawa oleh Perdana Menteri baru ini. Kita tidak nafikan terdapat sokongan kepada Perdana Menteri baru ini. Tetapi sokongan ini tidaklah begitu meyakinkan pihak BN.
Sebab saya pasti, jika BN yakin rakyat sudah mula memberi sokongan kepada mereka, mereka akan segera mengadakan Pilihan Raya Umum ke 13. Mungkin boleh jadi rakyat menunjukkan mahu memberi peluang kepada Dato' Seri Najib tetapi masih belum meyakinkan.
Ini kerana dalam semua siri pilihan raya kecil yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum 2008, BN kalah. Tidak ada satu pun pilihan raya kecil dalam tempoh setahun lebih ini BN menang kecuali Pilihan Raya Kecil Batang Air di Sarawak.
Saya melihat BN masih lagi 'pesimistic' dengan peluang mereka untuk menghadapi rakyat dalam pilihan raya. Dan pastinya meraka perlu sedikit masa lagi sebelum menghadapi pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak. Ini bermakna walaupun BN boleh 'spin' suasana yang ada dengan menggunakan media serta kekuatan yang ada, mereka masih belum dapat meyakinkan diri sendiri.

Mungkinkah isu dalaman parti seperti isu Kerajaan Perpaduan sebelum ini turut mempengaruhi pengundi yang menyebabkan penurunan majoriti?

Seperti dinyatakan oleh pimpinan Pakatan Rakyat, isu-isu tersebut tidak boleh tidak serba sedikit menjejaskan prestasi PAS terutama menyentuh mengenai Kerajaan Perpaduan yang dibawa oleh pimpinan PAS. Isu tersebut tidak memberikan keselesaan kepada rakyat akar umbi, lebih-lebih lagi di Kelantan.
Kita mempunyai cukup pengalaman serta peristiwa-peristiwa hitam yang sukar dilupa rakyat yang masih lagi dapat diimbas oleh rakyat tentang kezaliman yang dilakukan BN. Selain itu pertelingkahan di antara parti-parti Pakatan Rakyat di Kedah dan Pulau Pinang serta isu-isu yang timbul di Selangor memang sedikit sebanyak mempengaruhi sikap pengundi di Manek Urai.

Berbalik pada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pemimpin PAS tidak berhak meminta Kerajaan Pusat meneruskan projek pembangunan jika BN kalah. Apakah kenyataan ini bertentangan dengan konsep federalisma?

Sebagai pemimpin kanan kerajaan, beliau tidak boleh mengamalkan diskriminasi. Peristiwa yang berlaku di Sabah sewaktu pimpinan Dato' Haris Salleh, berlaku diskriminasi terhadap kawasan Tambunan iaitu kawasan orang Kadazan yang mana beliau menutup Pejabat Tanah dan Jajahan juga pejabat daerah. Beliau juga memindahkan pegawai kerajaan.
Akhirnya, tindakannya itu 'dijawab' oleh rakyat dalam pilihan raya yang mana beliau ditewaskan dalam Pilihan Raya Sabah. Jadi, polisi mendiskriminasi rakyat ini akan 'menikam balik' kepada Muhyiddin. Dia tidak boleh bermegah dan mendabik dada denga kuasa yang ada.
Masalah di Kelantan, apabila BN kalah di Kelantan pada 1990, itulah amalan dan polisi yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada waktu itu dan Tan Sri Anuar Musa sewaktu beliau menjadi menteri serta Timbalan Pengerusi Umno Kelantan.
Dan dengan itu juga ditubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan. Dan dari situ kita lihat banyak diskriminasi yang dilakukan terhadap Kelantan. Jika sekiranya Muhyiddin cuba menghidupkan semula amalan yang agak berkurangan ini, terlalu amat malang bagi rakyat Kelantan. Dan ini memang cukup bahaya.
Justeru saya mohon kepada Perdana Menteri agar mengawal Timbalannya supaya tidak mencetuskan budaya lama yang memporak peranda masyarakat. Jadi, dia mesti ada 'sporting spirit' dan mesti berjiwa besar yang mana apabila partinya kalah, dia ingin mengangkat 'tukul lekar' dan tinggalkan pada pihak yang menang. Dia tidak boleh bertindak sedemikian sebagai Kerajaan Persekutuan.

Tiada ulasan: