KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 20, 2009

RM254 bilion duit Petronas lesap akibat kontrak runding terus mainan BN!

KUALA LUMPUR: Lebih 80 peratus kontrak pembangunan negara dari tahun 2004 hingga 2009 diberikan secara runding terus menyebabkan negara kehilangan RM254 bilion dedah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob, lapor IRWAN MUHD ZAIN.

Tegas beliau akibat pemberian kontrak-kontrak untuk projek seperti Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), landasan berkembar keretapi dan beberapa projek lain yang dibuat secara tidak telus menyebabkan rakyat tidak dapat merasai hasil dari wang yang sepatutnya dinikmati mereka.

Salahuddin juga menegaskan wang berjumlah RM254 bilion itu sepatutnya dapat dinikmati rakyat dengan cara kerajaan membeli kesemua konsesi lebuhraya yang membolehkan rakyat tidak perlu lagi membayar tol.

"Kita (PAS) kesal kerana dari tahun 2004 hingga 2009, lebih 80 peratus kontrak pembangunan negara diberikan secara runding terus hingga menyebabkan wang berjumlah RM254 bilion lesap.

"Sepatutnya kontrak-kontrak untuk projek seperti PKFZ, landasan berkembar keretapi dan lain-lain dibuat secara telus bagi mengelakkan salah guna wang rakyat.

"Namun malangnya pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mementingkan rakyat menyebabkan wang RM254 bilion lesap," tegas beliau.

Menyentuh mengenai royalti petroleum yang sepatutnya diserahkan kepada Kelantan yang berjumlah RM500 juta, Salahuddin sekali lagi mendesak Perdana Menteri membentangkan kertas putih ketika persidangan Dewan Rakyat sesi akan datang.

Tegas beliau,Kelantan berhak mendapat royalti tersebut kerana dengan wujudnya negeri itu maka kerajaan Malaysia berhak memiliki Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) yang mana telah ditetapkan dalam jarak 200 kilometer sesebuah perairan ia menjadi hak milik negara.

Selain itu juga, beliau menegaskan, melalui satu perjanjian antara Malaysia dan Thailand satu persetujuan telah dicapai untuk menubuhkan Malaysia Thailand Joint Development Area (MTJDA).

Menerusi perjanjian itu, Malaysia menerusi Petronas memperolehi 50% dari hasil penemuan di JDA yang begitu dekat dengan Kota Bharu sehinggakan pemancing tempatan pun boleh pergi ke pelantar tersebut.

"Jika Kelantan tidak wujud atau sebuah wilayah bebas, tentu sekali Malaysia tidak ada hak langsung ke atas hasil bumi dan lautan di situ.

"Sempadan perairan Malaysia disitu dipengaruhi oleh kewujudan Kelantan sebagai sebuah wilayah di dalam Malaysia," tegas sakahuddin.

Apa yang mengecewakan tegas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu bila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Mustafa Mohamed ketika di Dewan Rakyat menafikan bahawa hasil bumi itu adalah hak Kelantan kerana katanya ia adalah di kawasan pertindihan antara Malaysia dan Thailand serta Malaysia dan Vietnam.

Berbeza dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan, Dato' Chor Chee Heung yang menegaskan kerajaan sedang mengkaji angka-angka yang dinyatakan untuk tujuan pemberian royalti.

Kenyataan yang bercanggah itu tegas beliau, menunjukkan Mustafa selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan sanggup berbohong semata-mata mahu menafikan hak rakyat Kelantan.

"Amat malang bila seorang Menteri Umno yang merupakan anak jati Kelantan cuba menafikan hak Kelantan," tegas beliau.

Mengulas lanjut, Salahuddin mencadangkan agar Akta Petroleum Nasional 1974 yang dikenali sebagai Akta 144 dipinda bagi membolehkan negara membangunkan industri petro kimia.

Akta tersebut jelas beliau, boleh dipinda sepertimana kerajaan pada tahun 1987 meminda Akta Telekomunikasi 1965. Selain Akta Telekomuniksi, kerajaan juga jelas Salahuddin telah meminda Akta Multimedia 1988 dan menubuhkan Suruhanjaya Multimedia.

Salahuddin juga mencadangkan sebuah suruhanjaya yang dikenali Suruhanjaya Petroleum dan Mineral Negara (SPMN) ditubuhkan bagi membolehkan Petronas terus menjadi sebuah syarikat yang berdaya saing.

"Jika SPMN ditubuhkan, negara tidak akan rugi malah Petronas akan menjadi lebih baik daripada sekarang. Syarikat-syarikat petroleum seperti Shell, BP dan beberapa nama lagi dikenali sebagai '7 sisters' kerana keupayaaan mereka.

"Dengan penubuhan SPMN saya yakin Petronas juga akan mampu menjadi seperi syarikat-syarikat ini dan tidak mustahil disenaraikan sebagai '8 sisters'," jelas beliau.

Salahuddin menjelaskan SPMN yang dicadangkan itu harus melaporkan terus kepada Parlimen bukan kepada Perdana Menteri.

"Pengerusi SPMN dilantik oleh DYMM Agong tetapi hendaklah memberi laporan terus kepada Parlimen bukan Perdana Menteri bagi mengelakkan berlakunya salah urus hasil bumi negara," tegas beliau.

Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan mengambil serius pandangan yang diberikan kerana ianya untuk kepentingan negara dan rakyat.

Tiada ulasan: