KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 02, 2009

Tulisan Dr Dzulkifli ulas Kerajaan Perpaduan lesap dari Harakahdaily, pelbagai khabar angin meletus semula


KUALA LUMPUR: Isu kerajaan perpaduan rupa-rupanya belum reda dalam PAS dan mudah mencetuskan pergeseran kembali di kalangan kumpulan yang menyokong dan membantahnya, tulis Jimadie Shah Othman di dada Malaysiakini.

Mangsa terbaru melibatkan artikel ahli jawatankuasa pusatnya Dr Dzulkefly Ahmad di akhbar web rasmi PAS Harakahdaily yang tiba-tiba lesap tidak boleh dibaca lagi hari ini.

Artikel tertajuk "Gagasan Pemikiran Kerajaan Perpaduan, Mana Silapnya?" dimuatkan tengah hari semalam tetapi ditarik balik susulan bantahan seorang pemimpin kanan parti yang turut menguasai sidang pengarang Harakah.

Masa dan tarikh ia dibuang daripada edisi internet itu tidak dapat dipastikan tetapi ia menjadi buah mulut di kalangan ahli dan penyokong PAS sendiri, termasuk di internet.

Artikel yang sama dihantar untuk edisi terbaru akhbar rasmi PAS tetapi difahamkan nasibnya sama dengan edisi dalam talian di laman web tersebut - ditarik balik walaupun telah dicetak, sebahagiannya.

Saranan mengadakan perbincangan kerajaan perpaduan PAS-Umno bermula Februari lalu lagi tetapi menonjol lebih jelas di muktamar ke-55 kira-kira sebulan lalu sehingga diredakan 22 Jun apabila ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat menolaknya.

Dr Dzulkefly, dalam artikel itu mengulas, penolakan terhadap kerajaan perpaduan bukan kerana ia sukar dilaksanakan atau kerana ditolak parti lain yang bergabung dalam Pakatan dan BN.

Sebaliknya, bekas pengarah Pusat Penyelidikan PAS berkata, penolakan terhadap idea itu berasaskan tiga sebab:

(1) Kerajaan perpaduan, dalam apa jua bentuknya berlawanan pembangunan politik baru Malaysia, yang cenderung ke arah sistem dua parti – BN lawan Pakatan.

(2) Bersandarkan kaedah usul fekah, PAS sebagai gerakan Islam harus menolak mudarat (pengaruh parti merosot sejak pilihanraya Mac 2008) berbanding mengejar kemaslahatan (mengatasi krisis dalam negara).

(3) Berdasarkan pengalaman pahit PAS bersama Umno selama ini, perbincangan kerajaan perpaduan hanya akan memberi manfaat yang cukup besar kepada Umno tetapi masa yang sama merugikan PAS dan Pakatan.

Dr Dzulkefly memulakan hujahnya dengan menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan walaupun disuarakan Abdul Hadi, tetapi menentangnya tidak bermakna tidak wala (setia) atau kurang hormat kepada presiden parti.

"(Idea Abdul Hadi) cukup menarik dan berpotensi untuk diperkembangkan secara pengoperasiannya. Pelbagai cadangan juga boleh dimuatkan dalam konsep yang sememangnya idealistik dan mungkin ada yang menelahnya sebagai 'utopian' atau di luar kemampuan untuk direalisasikan dalam satu realiti politik ... seperti di negara ini," coretnya.

Walaupun berhujah dengan lembut di permulaan tulisannya, pakar toksikologi itu mengemukakan kritikan pedas di penghujungnya.

"Kerajaan perpaduan seumpama suntikan 'booster' (pendorong) untuk Umno dan BN terus mendapat talian hayatnya. Sementara (ia menjadi) suntikan racun kepada PAS dan Pakatan," katanya lagi dalam tulisan tersebut yang juga boleh dibaca di blognya.

Pada 18 Jun, Dr Dzulkefly antara sepuluh wakil rakyat PAS yang mengeluarkan kenyataan bersama menolak idea kerajaan perpaduan di lobi Parlimen.

Kemunculan singkat "Gagasan Pemikiran Kerajaan Perpaduan, Mana Silapnya?" mengundang ulasan di Internet.

"Sepatutnya perkara ini ditutup dan semua pihak berlapang dada. Kalau dibangkit semula (seperti artikel Dr Dzulkefly) untuk berhujah, akan ada kumpulan yang menyokong kerajaan perpaduan mengemukan hujahnya.

"Sampai bila isu ini akan selesai?” soal blog Polis Pencen, yang disebar lebih meluas di Tranungkite.net dan Utaraonline.net. Kenapa Dr Dzulkefly memilih untuk mengapi-apikan semula isu ini. Apakah sebenarnya motif penulis dalam hal ini?"

Malaysiakini difahamkan tulisan pedas itu sepatutnya dimuatkan dalam sisipan Fikrah Harakah edisi Jumaat yang akan menemui pembaca esok. Sumber-sumber memberitahu, percetakan sebahagian naskhah sisipan itu terpaksa dihentikan supaya artikel ahli parlimen Kuala Selangor itu dapat dibuang.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan ulasan penulis dan sidang pengarang Harakah berhubung perkara itu.

Tiada ulasan: