KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 20, 2009

Imarah serah memorandum, ajak JAWI muzakarah




KUALA LUMPUR: Hak memilih ahli jawatan kuasa (AJK) masjid seharusnya diberikan kepada ahli kariah masjid maisng-masing bagi mengelakkan sebarang campur tangan daripada pihak-pihak yang berkepentingan seperti Umno.

Pengerusi Badan Bertindak Imarah Masjid Surau Wilayah Persekutuan (Imarah), Ishak Surin, berkata hak tersebut mesti dikembalikan kepada ahli kariah masjid terbabit yang lebih mengenali kariahnya sendiri.

Beliau berkata jika pemilihan AJK masjid dipilih seperti yang dilakukan sekarang, ia hanya akan menimbulkan masalah apabila ada pihak cuba campur tangan dalam hal ehwal berkaitan masjid hingga ia tidak lagi menjadi pusat penyatuan, sebaliknya menjadi punca perbalahan.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum menyampaikan memorandum kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dekat sini.

Bagaimanapun, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Dakwah, Che' Mat Che' Deraman, menyambut deligasi Imarah dan menerima serahan memorandum tersebut berikutan Pengarah JAWI berada di luar kawasan.

Dalam pertemuan di Pejabat JAWI, 17 Julai lalu, yang turut disertai beberapa AJK Imarah, satu memorandum mendesak JAWI mengembalikan hak pemilihan AJK masjid diserahkan kepada anak kariah serta mahu JAWI memantau penglibatan Umno dalam menyusun senarai AJK masjid seluruh Wilayah Persekutuan diserahkan.

Ishak turut menjelaskan berlaku masalah apabila sesuatu urusan masjid itu terdapat campur tangan Umno, yang secara jelasnya 'memaksa' AJK merujuk kepada Umno bahagian untuk sebarang keputusan.

"Tindakan seperti ini dilihat amat melampau kerana masjid merupakan satu tempat perpaduan umat, bukan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan jamaah," kata beliau.

Beliau mendakwa terdapat juga masjid-masjid yang melantik AJK terdiri daripada mereka yang bukan ahli kariah masjid berkenaan. Justeru, beliau mengharapkan kerjasama JAWI bagi melihat masalah tersebut dengan lebih serius bagi mengelakkan ia berterusan demi kepentingan umat Islam di negara ini.

Pada pertemuan itu, Imarah turut menjemput pihak JAWI untuk sama-sama bermuzakarah bagi tujuan bertukar-tukar pandangan, selain mendengar dan memahami segala kesulitan yang dialami masjid-masjid di Kuala Lumpur dan usaha untuk mengimarahkannya.

Sementara itu, dalam responsnya, Che' Mat berkata pihaknya menerima memorandum dan pandangan yang dikemukakan Imarah, selain menyatakan kesediaannya untuk menyampaikannya kepada pihak atasan bagi tindakan selanjutnya.

"Itu sahaja jaminan yang saya boleh berikan kerana saya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengulas lebih lanjut. Bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih atas kesudian pihak tuan untuk bertemu dan berbincang mengenai masjid-masjid di sekitar Kuala Lumpur," kata beliau yang turut disertai pembantunya, Khairul Asyraf dan Penolong Pengarahnya, Syed Abdullah.

Selain Ishak, Imarah turut diwakili Timbalan Pengerusinya, Ustaz Marzuki Zakaria; Nordin Mh Nor; Ustaz Abdullah Abdul Wahab, Ketua Penerangannya, Azhar Yahya, Suhaimi Abdul Rahman, Tarmizi Mohd Jam dan beberapa AJK.

Tiada ulasan: