KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 20, 2009

Memang pengundi muda jadi penentu di Manek Urai



PILIHAN Raya Kecil (PrK) N.41 Manek Urai adalah yang ketujuh selepas 45 hari berlakunya PrK N.12 Penanti, Pulau Pinang (31 Mei 2009). Sebelum ini, PAS bersama Pakatan Rakyat telah turut bertanding Kuala Terengganu dan Bukit Gantang. Maka, PrK N.41 Manek Urai adalah yang ketiga bagi PAS bertanding.

Rasionalnya keputusan PrK N.41 Manek Urai adalah tali pengukur bagi Pakatan Rakyat/BN dari segi sejauh mana sokongan rakyat kepada parti dan kerajaan negeri pimpinan PAS. Namun, keputusan PrK ini telah menunjukan kemenangan tipis PAS berbanding di Kuala Terengganu dan Bukit Gantang.

Oleh itu, PrK ini adalah suatu trend perubahan sikap dan komitmen rakyat yang berubah kepada Barisan Nasional (BN). Realiti keputusan PrK ini adalah masih berpihak kepada PAS, meskipun jumlah undinya merosot..

Tempoh pengundian

Bermula daripada kematian ahki dewan undangan negeri N.41 Manek Urai pada 22 Mei 2009, penamaan calon, 6 Julai 2009 dan hari mengundi 14 Julai 2009 – melibatkan tempoh terpanjang sejak kematian selama 52 hari. Lebih panjang daripada Kuala Terengganu (51 hari). Tetapi tempoh berkempen paling singkat (7 hari sahaja).

Keputusan pengundian

Proses pengundian umumnya berjalan lancar, kecuali ada dua kes yang melibatkan pergaduhan di Sungai Perial (melibatkan petugas BN menceroboh masuk di kawasan larangan kempen) dan di Chuchoh Puteri. Namun, tidaklah menjejaskan perjalanan pengundian. Keputusan pengundian adalah seperti mana Rajah di sebelah. Keputusan terperinci, lihat data keputusan pilihan raya yang dilampirkan (Lampiran 1).

Pengundi luar

Berdasarkan jumlah keluar mengundi 87%, adalah mengatasi daripada ramalan PAS dan SPR, iaitu 85%. Sebanyak 10,748 (87%) daripada 12,293 telah keluar mengundi. Puncanya boleh dikaitkan dengan sejumlah pengundi yang tinggal di luar Manek Urai telah balik mengundi.

Ia berkait dengan keberkesanan pendekatan pasukan kerja pengundi luar PAS yang diketuai YB Wan Hassan Wan Ibrahim, ADUN Semerak. Ia sesuai dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Strategik melihat tiga faktor kritikal kemenangan PAS: pengundi luar, kempen calon menguasai pengundi muda dan keupayaan mengatasi kempen BN.

Berdasarkan culaan dan scanning melalui Persatuan Anak-anak Kelantan di Perantauan (PERAKAN), kesemuanya terdapat 1,794 orang pengundi luar. Namun, tiga hari menjelang hari mengundi, hasil scanning pihak jentera peti undi jumlah tersebut telah bertambah kepada 2,213 orang.

Seramai 1,617 orang telah balik mengundi sebagaimana direkodkan oleh jentera peti undi, tetapi bukan semuanya adalah penyokong PAS. Jika dibandingkan dengan pilihan raya umum 2008, pengundi luar yang dikesan mengundi PAS hanya berjumlah 1,481 orang. Ini bermakna kira-kira 136 orang adalah pengundi BN.

Pengundi terayun (atas pagar)

Dalam konteks DUN Manek Urai terdapat kira-kira 1,350 adalah pengundi atas pagar yang sikapnya sentiasa ‘terayun’ dengan faktor isu, calon dan senario semasa. Angka ini dikira berpandukan trend keluar mengundi dan perubahan undi dalam empat pilihan raya umum: 1995, 1999, 2004 dan 2008.

Undi yang paling rendah dicapai BN ialah 38% (ketika BN paling bermasalah) dan tertinggi bagi PAS 62% pada tahun 1995. Beza antaranya adalah 24%. Jika 24% ini sebagai ukuran peratus pengundi atas pagar, bermakna pada tahun 1995, BN tidak mendapat sokongan langsung pengundi atas pagar (kerana bermasalah); maknanya kesemua pengundi atas pagar menyebelahi PAS.

Oleh itu, analisis pengundi atas pagar adalah mengikut trend terayun. Pada PrK yang lepas, ternyata PAS masih mendapat simpati tinggi daripada pengundi atas pagar (13.04%) berbanding BN (11.18%). Maka, logiknya PAS mencapai kemenangan tipis.

Pengundi muda

Satu penemuan penting bagi setiap pilihan raya ialah jumlah pengundi muda yang agak besar di DUN Manek Urai. Ia menjadi penentu penting yang menyumbang kemenangan tipis PAS. Berdasarkan rekod senarai pemilih bagi PrK ini, terdapat 47.8% atau 5,876 orang pengndi muda.
Faktor calon dan strategi kempen serta survival PAS setempat adalah hubungan yang dapat merapatkan upaya memenangi undi kalangan pengundi muda. Oleh itu, jentera kempen PAS sudah lebih awal meletakkan kekuatan undi muda dalam strategi kempen, lantaran calon PAS bukan kalangan orang muda berbanding calon Umno.

Dalam keadaan sedemikian, PAS masih berupaya meraih sokongan marginal pengundi muda. Berdasarkan undi daripada saluran terakhir/kira-kira 47% daripada saluran bercampur (muda dan dewasa), kedudukan undi PAS berbanding BN adalah seperti Jadual 2 berikut:

Jadual 2: Trend sokongan undi muda
Jumlah Undi Muda Tidak Mengundi PAS BN Majoriti PAS
5,876 110 2,902 (50.33%) 2,864 (49.67%) 38

Namun, PAS didapati telah lima peti undi bagi saluran pengundi muda: Temalir, Manek Urai Lama, Manek Urai Baru, Manjor dan Laloh.

Pengundi dewasa/tua

Umumnya PAS menang di lima peti undi bagi saluran pengundi dewasa/tua. Peti undi itu ialah Temalir, Sungai Sok, Chuchoh Puteri, Lata Rek dan Laloh. Sementara empat peti undi lagi PAS telah kalah tipis iaitu di peti undi Sungai Perial, Manek Urai Lama, Manek Urai Baru dan Manjor. Peti undi yang kalah ini adalah dianggap kubu BN (Manjor) atau peti undi yang marginal bagi PAS (Manek Urai Lama, Manek Urai Baru dan Laloh.

Trend undi PAS vs undi BN

Berdasarkan trend undi diperolehi PAS dan BN, didapati PAS telah kalah di lima daripada sembilan peti undi. Peti undi yang kalah ialah Temalir, Manek Urai Lama, Manek Urai Baru, Manjor dan Laloh.

Namun, kekalahan itu dapat diimbangi dengan kemenangan di empat peti undi Sungai Perial, Sungai Sok, Chuchoh Puteri dan Lata Rek. Kesannya, PAS berjaya mencapai majoriti tipis.

Sementara BN pula mencapai kemenangan selesa di kubu asalnya Manjor dan berjaya memenangi di kubu PAS, iaitu Laloh. Di samping BN turut mencapai kemenangan di peti undi ‘marginal’ PAS iaitu Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru. Prestasi ini ada kaitannya dengan kekuatan teras PAS di peti pndi berkenaan dan masalah dalaman PAS serta asakan kempen BN di peti undi ‘marginal.’

Ia juga ada kaitan dengan penumpuan kempen jentera BN pada tiga hari terakhir menjelang pengundian apabila pihak kempen BN banyak menghamburkan janji-janji (jambatan di Manek Urai Lama dan pusat pembangunan ‘agropolitan’). Turut dilaporkan, sogokan wang secara mewah turut diterima oleh pengundi atas pagar. Antara yang terkesan teruk ialah di peti undi Temalir, tempat Umno Perlis bertugas (penurunan undi PAS tertinggi 11%).

Penutup

Secara keseluruhannya, kemenangan tipis PAS pada PrK Manek Urai ini adalah suatu pengajaran penting bagi parti dan kerajaan negeri yang diterajui PAS. Realiti adalah pengundi sedia mempertimbangkan hak dan kuasa dengan tawaran harga tertentu atas nilai suara rakyat demi kepentingan dan masa depan mereka.

Maka, di sana memerlukan suatu usaha pembetulan dan peningkatan prestasi parti mahupun kerajaan negeri untuk melihat rakyat Manek Urai secara spesifik dan semua warga negeri Kelantan secara amnya. Komitmen amanah dan tanggungjawab hendaklah diutamakan demi kesinambungan perjuangan sebuah pemerintahan berkonsepkan Pakatan Rakyat.

Ditulis Oleh WAN NIK YUSOF NGAH
Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat

Tiada ulasan: