KUALA LUMPUR: Wacana Ilmu yang dihasratkan Pemuda PAS bersama Pemuda Umno tidak wajar dimainkan media dengan mengaitkan sebarang usaha kerjasama politik antara kedua parti, sebaliknya ia hanyalah satu pentas untuk menyampaikan hujah.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabky Yusof, berkata ini kerana wacana yang dicadangkan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hassan itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan cadangan Kerajaan Perpaduan yang menimbulkan kontorversi sebelum ini.
"Kami telah mengulangi penjelasan mengenai isu ini sebanyak dua kali, malah turut bertemu Pemuda Pakatan Rakyat untuk menyatakan perkara sebenar mengenainya. Alhamdulillah, mereka dapat menerima dan faham kedudukan sebenar," kata Sabky ketika dihubungi Harakah.
Menurut beliau, apa yang menjadi masalah ialah di kalangan ahli-ahli PAS dan juga penyokong PAS apabila melihat cadangan itu seolah-olah membentuk kerjasama dengan Pemuda Umno.
Katanya, ia berpunca dari permainan media yang cuba mengelirukan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat bagi tujuan merenggangkan kekuatan Pakatan Rakyat itu sendiri, lebih-lebih lagi isu Kerajaan Perpaduan masih belum reda sepenuhnya.
Mengulas lanjut kemungkinan pelawaan itu diadakan pada 'masa yang tidak sesuai', hingga dimanipulasikan media, Sabky berkata Pemuda PAS meletakkan masa untuk berdebat bukan dilakukan dalam masa yang terdekat, tetapi selepas berakhirnya pilihan raya kecil Manek Urai.
"Kita juga tidak menjangkakan media cuba menggambarkan seolah-olah ada usaha kita untuk membentuk sebarang kerjasama, tapi dengan beberapa penjelasan yang dibuat Pemuda, kami berharap tiada siapa lagi mengaitkannya dengan kerjasama," tegas beliau.
Ditanya tentang kemungkinan akan mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap mana-mana media yang cuba memanipulasikan perkara tersebut, Sabky yang juga seorang peguam, berkata secara profesionalnya, Pemuda PAS akan meneliti setiap laporan yang disiarkan media sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
Jika terdapat mana-mana laporan yang terbukti memanipulasikan isu tersebut, Sabky menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.
Sebelum ini, pelawaan Ketua Pemuda PAS untuk berdebat dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin digambarkan seolah-olah ia merupakan lanjutan kepada perbincangan mengenai Kerajaan Perpaduan.
Gambaran media itu menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dan mengelirukan ramai pihak, lebih-lebih lagi isu Kerajaan Perpaduan sebelum ini belum reda sepenuhnya.
1 ulasan:
sabky, ni politiklah. rakyat dah tak sukakan umno, wacana ilmiah apa lagi? lwbih baik wacana dilakukan di kalangan parti1 pakatan rakyat, sebagai mempersiapkan diri untuk mengambilalih dari umno, bukan sebagai tali hayat umno.
berpolitik ni kena cerdik lah kawan.
Catat Ulasan