KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 23, 2009

Kreadibiliti SPRM cukup jijik, wajar Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan


BELUM selesai soal kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperkatakan, kejadian terbaru membabitkan Setiausaha Politik seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, di bangunan agensi tersebut menghangatkan lagi perbincangan ramai.

Apatah lagi, kematian Teoh Beng Hock, 30 dilihat penuh misteri apabila Teoh telah disoal siasat agensi terbabit dan merupakan tempat terakhir mendiang dilihat sebelum ditemui mati keesokan harinya.

Pelbagai spekulasi timbul. Terjatuh, bunuh diri atau dibunuh. Dengan kredibiliti SPRM sebelum ini, sudah tentu pemimpin Pakatan Rakyat, mahupun rakyat ingin mendapatkan jawapan yang sebenar-benarnya jujur dan telus bagi merungkai segala kekaburan yang wujud.

Dulu dalam tahanan polis, kini SPRM

Jika sebelum ini banyak berlaku kematian ketika dalam tahanan polis, wabak itu kini menular pula ke Pejabat SPRM. Dalam soal ketelusan polis dipertikai, juga SPRM yang dikatakan mengamalkan 'double standard', sudah tentu kejadian seperti ini tidak boleh dianggap 'kematian biasa-biasa'.

Kebimbangan pemimpin Pakatan Rakyat dan rakyat ada asasnya. Ini kerana kejadian menyayat hati itu berlaku di Pejabat SPRM, yang menempatkan sesi soal siasat Teoh yang merupakan saksi bagi dakwaan salahguna dana peruntukan Exco Kerajaan Pakatan Rakyat.

Lebih-lebih lagi, kematian Teoh itu ketika berada di bawah pengawasan pihak SPRM. Biarpun SPRM menyatakan bahawa mereka telah selesai menyoal siasat Teoh pada pagi sebelum kejadian, namun penjelasan itu tidak boleh diterima bulat-bulat masyarakat, apatah lagi Teoh disahkan mati empat hingga lima jam sebelum mayatnya ditemui.

Timbul spekulasi negatif

Permintaan para menteri, pihak polis dan SPRM sendiri supaya tidak menuding jari sebelum hasil siasatan selesai dilakukan memang wajar, biarpun akan menimbulkan lebih banyak spekulasi negatif mengenainya.

Beberapa cadangan seperti penubuhan Suruhanjaya Diraja, dan penggantungan tugas Ketua Pengarah SPRM wajar dilihat secara positif bagi mengelakkan segala kerumitan dan kekaburan yang menyelubungi dapat dijawab secara telus.

Cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja itu sememangnya dipersetujui Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat 17 Julai lalu, dengan menyatakan kebimbangan terhadap SPRM yang dilihat secara berterusan menjalankan siasatan dan ancaman kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

Menurut kenyataan bersama yang ditandatangani Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat kematian Teoh, selain meneliti kembali teknik dan prosedur siasatan yang dijalankan SPRM.

Kemungkinan cadangan supaya meneliti kembali teknik siasatan itu dibangkitkan apabila sejurus selepas kematian Teoh, Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Hwa dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berhubung kes sama mendakwa dirinya dipukul dan didera SPRM.

Kematian pertama bawah PM

Selain Pakatan Rakyat, Majlis Peguam serta 16 NGO lain turut mendesak supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat kematian Teoh melalui Pengerusi Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (WAMI), Wong Chin Huat.

Mereka yang menyatakan rasa terkejut dan sedih dengan kematian Teoh berasa kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku dan malangnya, Teoh sekarang adalah mangsa kematian pertama di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan di bawah SPRM.

Desakan demi desakan disuarakan, termasuk ahli keluarga mendiang sendiri - satu pihak yang sewajarnya dilayani kehendak mereka kerana kematian ahli keluarga mereka begitu mengejutkan dan penuh tanda-tanya.

Apatah lagi, apabila ada pihak yang cuba mengklasifikasikan kematian Teoh itu sebagai 'bunuh diri', sedangkan mendiang sedang dalam rangka mendaftarkan perkahwinannya dalam masa terdekat, juga bakal menimang cahaya matanya.

Apa yang diharapkan, jika suruhanjaya akan dibentuk, biarlah yang mengendalikannya terdiri daripada kalangan mereka yang benar-benar mempunyai niat dan hasrat untuk merungkai segala kekaburan. Bukan hanya sekadar menyedapkan hati keluarga mendiang, apatah lagi sekadar untuk melindungi kepentingan pihak tertentu.

Gantung tugas SPRM

Sementara menunggu keputusan sama ada suruhanjaya diraja akan ditubuhkan atau sebaliknya, wujud pula cadangan supaya Ketua Pengarah SPRM digantung tugas serta-merta sehingga siasatan terperinci selesai.

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dalam kenyataannya berkata penggantungan tugas Dato' Seri Ahmad Said Hamdan itu sebagai satu tindakan tanggungjawab beliau memandangkan kejadian berlaku ketika mendiang dalam siasatan agensi berkenaan.

Penggantungan itu pula perlu dikuatkuasakan serta-merta bagi memastikan siasatan secara menyeluruh dapat diadakan. Bukan sekadar Ahmad Said, tetapi ia patut melibatkan Pengarah Siasatan SPRM, Pengarah SPRM Selangor dan pegawai SPRM yang bertugas-yang terlibat dalam proses siasatan ke atas Teoh.

Kepentingan sidang khas parlimen

Malah, tidak cukup dengan cadangan penggantungan Ahmad Said, Mahfuz turut mendesak satu sidang khas parlimen diadakan bagi membincangkan integriti SPRM yang dilihat terlalu buruk dan menjijikkan.

Lebih-lebih lagi, penubuhan SPRM ini berada di bawah perkenan Yang Dipertuan Agong dan Parlimen, satu institusi yang benar-benar mulia dan bermaruah di negara ini dan menjadi satu keperluan untuk sidang itu dilakukan segera.

'Efisyen'nya SPRM

Sebelum kematian mengejut Teoh, SPRM sendiri sering dipertikaikan apabila dilihat lebih 'efisyen' menjalankan tugas apabila berkaitan pemimpin Pakatan Rakyat. Jika diulang 'drama' SPRM beberapa hari sebelum kematian mendiang, isu agam ala Bali milik Ketua Pembangkang Selangor, Dato' Seri Dr Khir Toyo menjadi bualan hangat.

Namun, SPRM tidak pula bertindak efisyen seperti yang berlaku dalam kes dakwaan salahguna peruntukan dana beberapa Adun Pakatan Rakyat, serta beberapa lagi kes membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.

Sudah sampai masanya rakyat diberi hak untuk mendapatkan maklumat dan keputusan siasatan secara jujur, telus dan terbuka. Maklumat tersebut dilihat penting bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap mana-mana institusi kerajaan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), SPRM, dan berbagai lagi agensi kerajaan lain yang berada di kedudukan terendah!

Ditulis Oleh ANIS NAZRI

Tiada ulasan: