KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 02, 2009

Mencari titik persamaan dalam perjuangan - Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR: Penolakan agenda Kerajaan Perpaduan yang diputuskan pimpinan tertinggi PAS baru-baru ini sememangnya dialu-alukan oleh semua pihak, khususnya di kalangan anggota Pakatan Rakyat, KeADILan dan DAP, lapor Anis Nazri.

Keputusan itu dilihat memberi mesej jelas kepada penyokong Pakatan Rakyat tentang keteguhan gabungan itu, selain tamparan hebat kepada Barisan Nasional (BN) yang ingin menyaksikan perpecahan di kalangan Pakatan Rakyat.

Demikian ditegaskan Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook yang begitu mengalu-alukan keputusan pimpinan tertinggi PAS untuk 'melupakan' sebarang bentuk kerjasama dengan BN.

Selain membuktikan kebijaksanaan Pakatan Rakyat dalam menangani isu yang sengaja dikontroversikan BN itu, Loke yang juga Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, menegaskan episod ini juga diharapkan dapat mengukuhkan lagi perpaduan di kalangan Pakatan Rakyat.

"Secara positifnya, dengan isu Kerajaan Perpaduan ini ia meningkatkan keyakinan dan kepercayaan di antara ketiga-tiga parti, yang menyaksikan kita tidak bergaduh sesama sendiri, sebaliknya menangani isu ini dengan bijaksana," tegas Loke.

Menurut beliau, dengan tertutupnya episod Kerajaan Perpaduan ini, pengukuhan di kalangan anggota Pakatan Rakyat dilihat sebagai langkah yang perlu dititikberatkan dalam mencari titik persamaan dalam perjuangan.

Sudah tentu, katanya hala tuju Pakatan Rakyat perlu dikukuhkan dengan memperhalusi dasar-dasar yang diputuskan bersama bagi kepentingan rakyat, melebihi kepentingan politik semata-mata.

Malah, Pakatan Rakyat juga perlu mengutamakan kerja-kerja kepada rakyat supaya perjuangan gabungan itu dapat dilihat dengan lebih berkesan, selain perbincangan dan pertemuan yang lebih kerap diadakan bagi mengukuhkan hubungan sesama sendiri.

"Namun, ia tidak bermakna kita tidak kukuh. Kita sudah kukuh, dan dalam masa sama perlu diperkukuhkan lagi dengan lebih baik dan padu," kata beliau.

Tiada ulasan: