KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 20, 2009

Desak Jamil Khir, JAWI menyerahkan urusan melantik AJK Masjid seluruh Wilayah Persekutuan kepada anak kariah









KUALA LUMPUR: Umno sebagai punca utama menyebabkan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan mandom akibat pemilihan ahli jawatan kuasa (ajk) masjid ditentukan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang terlebih dahulu disahkan oleh pihak Umno bahagian masing-masing.

Ekoran itu, Muzakarah Imarah Masjid Surau Wilayah Persekutuan yang diadakan malam Sabtu lalu anjuran Jawatan Kuasa Bertindak Imarah Masjid Surau Wilayah Persekutuan (Imarah) memutuskan resolusi antaranya mendesak pihak kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri dan JAWI agar menyerahkan kembali soal perlantikan ajk masjid kepada anak-anak kariah masing-masing.

Pada sidang media sejurus usai muzakarah tersebut yang diadakan di Madrasah At-Tarbiyah Bandar Dalam, Kuala Lumpur, Pengerusi Imarah, Haji Ishak Surin memberitahu pihaknya akan menyerahkan memorandum desakan tersebut secepat mungkin kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato Jamil Khir dan Pengarah JAWI.

Katanya, selain itu, muzakarah juga memutuskan akan bertindak memanggil mesyuarat anak-anak kariah bagi memilih ajk masjid di kariah masing-masing tanpa mempedulikan ahli-ahli jawatan kuasa masjid lantikan JAWI yang tidak menepati kehendak anak kariah.

Bagaimanapun, tegasnya, mana-mana mesyuarat anak kariah yang diadakan akan memanggil wakil JAWI untuk memantau.

Katanya lagi, jika pemilihan yang dibuat oleh anak kariah ditolak oleh JAWI, maka pihaknya akan mencabarnya di mahkamah kerana kaedah yang dilakukan selama ini juga adalah senarai ajk yang dicadangkan oleh pihak masjid kepada JAWI.

"Yang berbeza, senarai itu akan disahkan terlebih dahulu oleh Umno. Tak kiralah Umno cawangan atau bahagian. Ini menyebabkan semua pemegang tampuk kepimpinan masjid dikuasai oleh Umno dan tidak dibantah oleh JAWI," tegas beliau.

Ishak menegaskan, muzakarah tersebut banyak mendedahkan soal penglibatan pemimpin Umno dalam menentukan ajk masjid dan ia direstui oleh JAWI tanpa rasa prajudis semata-mata tunduk dan akur dengan kehendak Umno.

"Inilah punca institusi masjid menjadi goyah. Bukan sahaja mereka ini suka menghalang majlis ilmu malah mengambil kesempatan untuk menggunakan duit masjid dengan mencadangkan pelbagai projek yang akhirnya di monopoli oleh mereka yang ada syarikat kontraktor kelas F dan sebagainya."

Beliau yang menggerakkan Imarah akan melancarkan kempen bagi menyedarkan umat Islam di Wilayah Persekutuan tentang peranan besar Umno di sebalik mimbar-mimbar masjid hingga masjid kelihatan tidak berfungsi sebagai penyatu ummah sebaliknya menjadi punca perpecahan di kalangan orang-orang Islam dan ahli kariah.

Terdahulu, beberapa perwakilan dari kariah masing-masing mengemukakan permasalah dan mendedahkan apa yang dilakukan oleh Umno dalam mengekalkan kuasa mereka di masjid-masjid dalam Wilayah Persekutuan.

Wakil kariah Masjid Alam Shah menyifatkan ahli jawatan kuasa masjid tersebut tidak mesra jamaah dan berulang kali bertindak menyekat tenaga pengajar tertentu dari menyampaikan kuliah mereka di masjid itu.

Ini berbeza dengan Surau An-Nur Taman Koperasi Polis. Menurut wakil kariah itu, terdapat dua senarai nama ajk masjid yang dihantar kepada JAWI. Satu dari pegawai masjid dan satu lagi dari campur tangan Umno.

Malah beliau hairan, pihak ajk yang ada menyempitkan definisi kariah dengan hanya mengiktiraf mereka yang menjadi ahli khairat kematian sahaja. Wakil itu turut mendedahkan, peruntukan JAWI sebanyak RM100 ribu setahun kepada surau berkenaan hanya dibolot oleh kontraktor Umno.

Sementara itu, wakil kariah Majis Al-Hidayah, Sentul kesal dengan perlakuan pengerusi masjid yang ada, mengambil kesempatan mencipta projek-projek kecil di masjid tersebut yang boleh dianggap tidak memberikan faedah kepada jamaah seperti membina kolam ikan hiasan yang menelan kos RM18 ribu.

"Dahlah tak pernah ada mesyuarat agung tahunan. Penyata kewangan pun tak pernah ada. Cipta projek, luluskan... dia sendiri jadi kontraktor. Baru ini difahamnya, JAWI tak senaraikan dia jadi pengerusi lagi. Tapi, kerana dia orang kuat Umno Batu, akhirnya terpilih juga," ulas beliau kecewa.

Malah jelas beliau, tempat letak kereta dalam masjid itupun disewakan kepada penduduk sekitar semata-mata untuk mendapatkan wang, selain wang sedekah setiap hari Jumaat. Tetapi dakwanya, inilah satu-satunya masjid yang melarang pasangan diijabkabulkan di dalam masjid.

Bagi wakil kariah Masjid Syaidina Ali Kg Padang Balang, menyifatkan perlantikan setiausaha dan bendahari dari kalangan pegawai masjid yang dibayar gaji oleh JAWI tidak relevan kerana jawatan itu sepatutnya di pegang oleh ajk yang dilantik oleh kariah.

Beliau mengakui terdapat senarai nama ajk yang perlu disahkan oleh Umno Bahagian Batu terlebih dahulu sebelum ianya dihantar kepada JAWI.

Ishak berkata, Imarah akan menggerakkan kempen ini secara bersepadu dengan seluruh anak kariah di Wilayah Persekutuan. Lebih 100 wakil hadir pada muzakarah ini. Muzakarah dipengerusikan oleh Ustaz Marzuki Zakaria iaitu Timbalan Pengerusi badan bertindak. Sementara resolusi disedia dan dibaca oleh Tarmizi Mohd Jam, salah seorang Exco badan bertindak berkenaan.

Tiada ulasan: