KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Dato' Jamil Khir Baharom yang menyifatkan gagasan 1Malaysia menepati kehendak Islam kononnya, dianggap Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad sebagai kenyataan yang keluar dari ulama yang dianggap 'kuda tunggangan' serta 'terompah kayu' kepada Barisan Nasional (BN).
Ustaz Idris berpendapat kenyataan tersebut menggambarkan wajah 'orang agama' yang digunakan oleh pemimpin sekular di Malaysia untuk menghalalkan tindakan yang dilakukan BN walaupun ia bertentangan dengan syariat Islam.
Jelas Idris, jika Jamil Khir hanya merujuk kepada soal konsep dalam dalam 1Malaysia dikatakan selari dengan tuntutan Islam, ia merupakan satu lumrah biasa yang telah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.
"Sebelum ini pihak kerajaan telah mendakwa Malaysia juga menepati dengan kehendak sebuah negara Islam walaupun daripada segi praktikal ia tidak menggambarkan selari dengan tuntutan syarak dan tuntutan Islam.
"Dan konsep Satu Malaysia yang dianggap selari dengan tuntutan syarak kerana hendak mewujudkan kesamarataan hanya retorik yang telah diuar-uarkan dalam rukun negara. Begitu juga dengan slogan yang sering kali digunakan BN iaitu "selamat, makmur dan aman". walaupun negara kita tidak aman dan jenayah sering berlaku," katanya sewaktu dihubungi Harakah.
Kenyataan yang diutarakan Jamil Khir juga bertentangan dengan apa yang diaplikasi kerajaan terhadap rakyat. Sebaliknya jelas Ustaz Idris, apa yang berlaku adalah hak kesaksamaan sesama BN untuk pemimpin serta kroni BN semata-mata.
Jamil Khir dalam kenyataannya baru-baru ini menyatakan Gagasan 1Malaysia yang membentuk pembinaan sebuah negara yang bersatu-padu berasaskan prinsip penerimaan, kesaksamaan dan perkongsian antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini menepati kehendak dalam tuntutan Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata, Islam menyatakan manusia diciptakan Allah dengan pelbagai rupa bangsa, kulit yang berbeza, budaya serta bahasa dengan matlamat saling berkenalan antara satu sama yang lain.
Katanya lagi, 1Malaysia yang berasaskan prinsip penerimaan, kesaksamaan dan perkongsian adalah satu perkara yang menepati tuntutan Islam.
1 ulasan:
Nak tanya Jamil Khir, adakah judi dan arak halal? Kalau tak halal kenapa UMNO tak bawa usul itu dalam kabinet agar di haramkan.
Harussani dan Masitah janganlah buat buat buta tentang hal ini.
Catat Ulasan