KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 20, 2009

Belum setahun operasi, imej SPRM teruk

KUALA LUMPUR: Belum pun cukup setahun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beroperasi, imej suruhanjaya itu bertambah buruk ekoran tragedi kematian Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock, 30, 16 Julai lalu.

Menurut Ketua Wanita KeADILan Zuraida Kamaruddin, SPRM dituntut mengambil pendekatan memastikan keselamatan fizikal, mental dan jiwa mereka yang didapati tidak bersalah selepas soal-siasat, terutamanya apabila mereka masih berada dalam kawasan di mana soal-siasat dilakukan.

"SPRM telah lalai dalam memberi jaminan keselamatan sedemikian dalam konteks kemanusiaan dan konsep kerajaan yang dikatakan mementingkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat umum," katanya dalam satu kenyataan.

Ekoran kematian mengejut anak muda itu, Zuraida menyarankan SPRM tidak meneruskan siasatan mengenai Perbelanjaan Peruntukan ADUN selagi siasatan ke atas kes kematian Beng Hock tidak diselesai dan dikemukakan hasil siasatannya kepada awam.

Tegasnya, kehilangan nyawa dalam apa jua keadaan merupakan peristiwa yang dahsyat bagi mana-mana keluarga yang terbabit.

"Kematian beliau dalam suasana yang menimbulkan seribu satu tanda tanya, amatlah menyayat hati seorang ibu, yang telah kehilangan anak kesayangannya. Hasrat untuk melihat anaknya mendirikan rumahtangga dengan kekasihnya hari ini juga hancur berkecai," kata Zuraida.

Oleh itu, jelas Zuraida, pemeliharaan nyawa rakyat Malaysia dalam setiap keadaan mestilah diambil berat oleh pihak kerajaan, lebih-lebih lagi sekiranya ia berlaku dalam perkarangan pemeliharaan keselamatan sebuah agensi kerajaan.

Katanya, SPRM wajar segera melaporkan kesemua siasatan dan memberikan hak sepenuhnya kepada keluarga Teoh untuk memastikan bahawa siasatan itu adil dan telus.

Justeru, tegas Zuraida, SPRM diminta memberi segala bantuan dan nasihat kepada keluarga Teoh dalam menyelesaikan kes kematian beliau, terutamanya mengenai hak waris Teoh dalam proses penyiasatan, bagi membersihkan sebarang anggapan negatif terhadap SPRM.

Tiada ulasan: