KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 23, 2009

Isu kematian Teoh mantapkan Pakatan Rakyat - Presiden PAS


ALOR SETAR: PAS bersama-sama rakan Pakatan Rakyat sepakat mencadangkan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja supaya satu penyiasatan yang bebas, adil dan telus dapat dilakukan terhadap kematian Teoh Beng Hock ketika dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), demikian ditegaskan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Sebelum ini bukan sahaja orang Cina, orang Melayu dan India pun pernah mati, sama sahaja, melibatkan mati dalam penyiasatan. Di sana adanya kelemahan-kelemahan dalam jentera kerajaan yang perlu disiasat dengan teliti dan adil. Kerana keadilan adalah untuk semua rakyat," ujarnya pada sidang media di Hotel Holiday Villa, di sini 20 Julai lalu.

Terdahulu, beliau menyangkal pertanyaan wartawan mengenai dakwaan dipihak Umno kononnya isu dalam Pakatan Rakyat baru-baru ini adalah taktik PAS dan DAP.

"Itu kena tanya Umnolah, kita tak ada taktik apa, kita terbuka. Keterbukaan dan ketelusan inilah menjalinkan hubungan yang baik antara Pakatan Rakyat. Dan isu terkini yang dapat menyatukan kita ialah dalam menangani isu kematian Setiausaha Politik Exco Negeri Selangor.

"Walaupun mendiang bukan Islam, tetapi isu kezaliman, isu hendak menegakkan hak dan keadilan tanpa mengira kaum dan agama," ujarnya yang turut menegaskan bahawa isu tersebut antara yang boleh menyatukan Pakatan Rakyat.

Malah, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yang turut serta menyangkal dakwaan tersebut.

"Mereka ingat kita macam dia (Umno) dengan MCA? PAS dengan DAP lain, ingat kita macam dia?" tempelaknya. Beliau turut diminta pihak media mengulas mengenai penyertaan bekas pimpinan MCA, Dato’ Dr Chua Jui Meng ke dalam KeADILan.

"Itu menandakan bahtera BN sudah bocor dan beliau telah bertindak untuk menyelamatkan diri, itu yang sebaik-baiknya. Kita berharap akan banyak lagi tokoh-tokoh yang lain datang kepada kita," katanya pada sidang media selepas selesai Retreat PAS Pusat di sini itu.

Ditanya wartawan kemungkinan perkara itu bertujuan menarik sokongan pengundi Cina, Ustaz Hadi menegaskan Pakatan Rakyat bukan sahaja menang dengan undi Cina tetapi termasuk juga dari pengundi India dan Melayu.

Terdahulu dalam sidang medianya itu, beliau menjelaskan bahawa Retreat yang diadakan itu khusus memberi fokus terhadap dua perkara.

Dua perkara itu terang beliau ialah membincangkan perkara yang dibangkitkan dalam perbahasan ucapan dasar melibatkan mengukuhkan parti, mengemaskini jentera parti dan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang serta mendengar taklimat daripada Kerajaan Negeri Kedah.

Ustaz Hadi mengakui, telah banyak kejayaan dicapai walaupun dalam tempoh singkat pemerintahan.

"Alhamdulillah kita mendapat maklumat, banyak kejayaan yang dicapai walaupun dalam tempoh yang begitu pendek. Contohnya program-program yang turun kepada rakyat dan banyak perkara yang ketinggalan di zaman BN dapat kita laksanakan walaupun kita memerintah dalam tempoh yang terlalu terdekat," terangnya.

Melanjutkan penjelasan, Ustaz Azizan memperincikan antara kejayaan tersebut ialah Kedah Sungai Limau Hydrocarbon Hub (SULIHH), tender terbuka yang meningkatkan hasil negeri antaranya pembalakan, pengembangan kampus dan pengajian di Kolej Universiti Insaniah, konsep perbelanjaan berhemah dan tidak rasuah.

Tiada ulasan: