KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 20, 2009

Kenyataan Muhyiddin amat membahayakan, nafikan konsep federalisme


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan tidak memahami konsep Kerajaan Persekutuan yang mempunyai tiga peringkat iaitu Kerajaan Tempatan (PBT), Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, kata Pengarah Operasi Jentera Pilihan Raya PAS Manek Urai, Dato' Wan Rahim Abdullah.

Tegasnya, TPM perlu sedar dalam situasi politik sekarang, pemimpin Umno tidak lagi boleh menggoreng rakyat seperti dulu.

Justeru itu ujarnya, Muhyiddin sewajarnya tidak terlalu angkuh dengan mengatakan pemimpin PAS tidak berhak meminta Kerajaan Pusat meneruskan projek pembangunan yang dijanjikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai jika Barisan Nasional (BN) tewas.

Ini katanya, Umno perlu menerima hakikat sebahagian daripada penduduk negara ini termasuk Manek Urai tidak setuju dengan dasar dan polisi yang dijalankan kerajaan.

"Oleh kerana itu takkan kerana rakyat tidak setuju dengan apa yang kita buat kita nak boikot rakyat dan diskriminasi mereka," katanya semasa dihubungi.

Beliau yang kecewa dengan reaksi Muhyiddin semasa berkempen di Manek Urai baru-baru ini menegaskan tanggungjawab untuk mengurus di peringkat masing-masing tidak boleh mengamalkan dasar diskriminasi dan membeza-beza antara negeri atau daerah.

Bahkan katanya, kerajaan Kelantan tidak mengamal sikap pilih kasih misalnya terhadap pegawai daerah, ketua-ketua jajahan dalam sesuatu jajahan.

Menurut Wan Rahim biarpun berlaku perbezaan pandangan umpamanya di Kelantan, Terengganu, ataupun Pulau Pinang tetapi tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana sesebuah negeri diboikot dan tidak dipikul tanggungjawab oleh Kerajaan Persekutuan kerana rakyat mengundi pihak lain.

Baru-baru ini Muhyiddin dipetik sebuah akhbar harian sebagai berkata, pemimpin PAS tidak berhak meminta Kerajaan Pusat meneruskan projek pembangunan yang dijanjikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai jika Barisan Nasional (BN) tewas.

Beliau menegaskan, perkara itu adalah hak eksklusif para pengundi dan sekiranya mereka berkehendakkan perubahan besar di kawasan yang masih memerlukan banyak perhatian ini, mereka sendiri menentukannya melalui peti undi.

Ujar Muhyiddin, kalau BN kalah ia menunjukkan pengundi tidak mahu apa yang ditawarkan, dan kerana itu katanya mereka tidak mengundi BN.

Sementara itu Wan Rahim berkata, itu satu kenyataan yang cukup bahaya. Ini katanya, sebagi contoh jika Sabah dikuasai Pakatan Rakyat, sikap diskriminasi itu akan menghancur Sabah.

"Ia bukan mendukacitakan tetapi cukup bahaya. Ini menghasut dan ugutan. Kita tidak boleh membiarkan Muhyiddin membuat kenyataan seperti itu," katanya.

Beliau berkata, kenyataan tersebut tambah bahaya dalam masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan ia jelas bercanggah dengan konsep 1Malaysia tajaan Perdana Menteri.

Dakwanya, kalau itu yang ditunjukkan oleh pemimpin Umno bagaimana rakyat daripada pelbagai kaum hendak menghormati beliau malah katanya ia menampakkan sikap tembelang dan temberangnya.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Dalam Negeri membuat kajian dan siasatan ke atas kenyataan-kenyataan Muhyiddin di Manek Urai, antaranya berjanji akan membina jambatan baru kepada penduduk di Dun berkenaan jika memberi undi kepada BN.

Tiada ulasan: