KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 23, 2009

Adun Hulu Klang tidak puas hati peruntukan Kerajaan Selangor

MUQADIMMAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib secara terus-terang melahirkan rasa tidak puas hati beliau dengan peruntukkan yang diberikan Kerajaan Selangor kepada Dun seluruh negeri itu. Dalam hal ini biarpun sebagai Adun Pakatan Rakyat beliau tidak menyembunyikan rasa hatinya demi kesejahteraan rakyat yang diwakilinya. Suara hatinya diluahkan kepada wartawan ROY RASUL dalam satu temubual yang dilangsungkan baru-baru ini bagi menyingkap permasalahan beliau menguruskan Dun Hulu Klang.

Bagaimana saudara hadapi kerenah rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Hulu Kelang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

SAARI SUNGIP: Saya tidak sebut kerenah tetapi saya panggil isu. Peluang untuk saya berkhidmat dengan rakyat memang ada pelbagai isu. Itu realiti kehidupan rakyat kita sama ada berpendapatan tinggi atau rendah.
Jadi semua isu yang ditangani dalam konteks mendekatkan mereka dengan keadilan dan kebenaran. Ini termasuk isu tanah, kebun, isu lesen semuanya saya ambil peluang untuk bertemu dengan dia orang bagi menyelesai dan membantu mereka untuk mereka melihat keadilan Islam.
Itu pendekatan saya. Jadi setiap kali ada orang kahwin, orang sakit, ditimpa bencana seperti banjir dan ribut, sya mendekati mereka dengan pendekatan agar mereka melihat wakil rakyat mereka menjiwai masalah rakyat dan cuba sedaya upaya untuk membantu dan sekaligus menampikan imej positif Islam kepada mereka.

Adakah terdapat perbezaan antara Dun di bandar seperti yang saudara wakili sekarang dengan Dun di luar bandar seperti di Manek Urai.

Bagi saya di Ulu Kelang pun, mempunyai kampung, setinggan, kampung orang Asli, penduduk bandar pun perlu diselesaikan. Kita juga berhadapan dengan rakyat ynag terpinggir, rakyat miskin dengan pendapatan tidak sampai RM200 sebulan.
Walaupun suasananya mungkin nampak macam bandar, kesempitan hidup rakyat itu makin gawat. Maknanya kita berhadapan dengan orang yang ada banglo bernilai RM3 hingga 4 juta dengan orang yang tidak ada rumah.
Jadi masalah itu saya rasa sama ada di Manek Urai atau di Ulu Kelang, apabila turun kita turun kepada rakyat, ia sangat unik dengan masalahnya sendiri. Susah untuk kita hendak jelaskan kampung itu susah ataupun bandar itu susah. Ini kerana kita menangani rakyat secara individu.
Orang yang berpendapatan tinggi ada masalahnya dan orang yang miskin pun ada masalahnya. Setiap kali kita menangani unik dan specifik itu akan membantu mereka untuk menghadapi realiti kehidupan masing-masing.

Apa isu yang paling dominan yang sering saudara hadapi?

Isu kehidupan maknanya isu yang berkaitan dengan kehidupan. Jika kita sebagai orang yang menghayati Islam kita kenal masalah mereka itu jauh daripada Tuhan. Hubungan mereka Tuhan itu terlalu renggang yang menjadikan mereka tidak dapat menangani penyelesaian biarpun kadang-kadang perkara yang kecil.
Oleh kerana mereka tidak bersandar dan mendapat pertolongan daripada Allah jadi ia menjadi besar. Jadinya, ia menjadi besar tetapi kita tidak boleh katakan kepada mereka, mesti balik kepada Tuhan. Kita kena membantu mereka 'step by step' dan nasihat mereka dan akhirnya bagi yang Islam itu bersolat dan sebagainya.

Yang bukan islam macam mana pula?

Yang bukan Islam pula kita suruh mereka berjuang atas agama masing-masing. Back to religion. Kebanyakannya apabila saya berhadapan dengan orang Islam mendapati masalah kesempitan mereka ialah hujung pangkalnya jauh dengan Allah SWT.
Bagaimana pula dengan masyarakat bukan Islam kerana di sana pun ad juga kaum Cina, India dan lain-lain. Masalah masyarakat India hidup daif di segi pendidikan tetapi bagi masyarakat Cina lebih positif dari segi kehidupan kerana mereka hidup berdikari dan tanggungjawabnya.
Mungkin mereka tahu hak mereka dan tahu hendak hubungi siapa dan mereka ada badan-badan NGO dan badan kebajikan yang boleh mereka hubungi. Tetapi orang India seperti di Selangor ini, mereka sudah lama di bawah Barisan Nasional.
Jadi mentaliti subsidi, tongkat dan sokongan bantuan membuatkan mereka tidak berusaha untuk menjadi insan berdikari. Itu yang kita dapati gap masyarakat Cina dan India. Bagaimanapun saya dekati setiap individu dan tidak kira siapa mereka. Saya cuba tangani mereka seadilnya.

Dalam kawasan saudara terdapat ramai pendatang-pendatang asing khususnya dari Indonesia. Bagaimana saudara menangani masalah mereka?

Setakat ini masalah tersebut belum begitu berjaya lagi. Saya tidak mahu berjumpa mereka secara perantaraan tetapi mahu direct dengan mereka. Saya hendak kenal secara peribadi dan dapat jumpa dengan ketua dan hadapi secara terus terang.
Sekarang ini walaupun isu ini besar tetapi tidak banyak progres yang saya capai termasuk tinggal dalam hutan, ladang, setinggan, menyewa di kedai-kedai ataupun pondok-pondok tinggal.
Masalah lain pula masalah penempatan, tapak-tapak perniagaan yang tidak sah dan ini juga menyumbang kepada kekotoran sungai dan longkang-longkang. Begitu juga bengkel-bengkel yang tidak sah. Itu masalah besar yang perlu saya tangani secara kritikal.

Bagaimana pula dengan status setinggan di Kampung Pasir berhampiran Zoo Negara. Mereka mendirikan khemah-khemah apabila rumah mereka diroboh semasa kerajaan Barisan Nasional memerintah Selangor dahulu?

Kita telah selesai masalah tersebut pada bulan November lalu. Mereka membuat rundingan dan mendapat pampasan tanah daripada pemaju dan bayaran wang tunai bagi mereka membeli satu tapak tanah.
Tapak tanah itu mereka akan kongsi bersama. Kawasan yang mereka tinggal dulu sudah dikosongkan dan pembangunan sudah bermula dengan membina rumah kedai.

Saudara menerajui kawasan di bawah negeri Pakatan Rakyat. Adakah saudara berpuas hati dengan peruntukkan yang diberi kerajaan negeri kepada Dun Hulu Kelang?

Ia sebenarnya kembali kepada satu dasar iaitu peranan Adun, Menteri Besar dan Exco. Jadi amalannya konsep kita dinamakan Menteri Besar dan Exco ahli mesyuarat tidak seperti ada kabinet negeri.
Hari itu kami sudah bincang maknanya di peringkat negeri ini sepatutnya setiap exco mempunyai kuasa yang lebih luas, bukan sebagai ahli mesyuarat saja. Oleh kerana itu peranan Adun tidak begitu jelas. Kuasa dan segalanya berada di bawah pengawasan Menteri Besar. Pentadbiran kerajaan negeri, pejabat daerah dan sebagainya di bawah Menteri Besar.

Maksud saudara peranan Adun terpinggir?

Ya. Peranan Adun agak terpinggir dan kecil. Maknanya jika betul-betul untuk percepatkan proses perubahan pentadbiran negeri yang di bawah pentadbiran daerah itu perlu diolah semula.
Pentadbiran negeri terus kepada Dun di samping pejabat daerah. Dun dan daerah yang menjadi masalah. Kita tidak dapat fokus kepada pembangunan Dun yang kita menjadi wakil rakyat.

Saudari masih tak puas hati? Begitu?

Belum berpuas hati. Saya lebih suka bidang kuasa Adun untuk membangunkan penduduk dan pengundi yang dia wakili. Dengan itu dia sebagai agensi kerajaan negeri yang diberikan peruntukan yang lebih besar.
Ini kerana setakat ini apa-apa peruntukkan disalurkan oleh pejabat daerah iaitu melalui kuasa Menteri Besar. Pejabat daerah pula ada sebelas zon dan enam Dun. Bagi Gombak pula ada sembilan Dun.
Jadi semua belanjawan yang diluluskan kerajaan negeri disalurankan kepada jabatan-jabatan dan pejabat daerah. Sebahagiannya pula, misalnya Pejabat Daerah Gombak ada sembilan Dun salah satunya Hulu Kelang.
Jadi apabila hendak diagih-agih tidak mencukupi. Dia sepatutnya Dun mempunyai bajetnya sendiri, apa keperluan tahunan. kemudian baru diturunkan kepada daerah. Maknanya sebahagiannya diuruskan pejabat daerah dan sebahagiannya lagi oleh Dun.
Tentunya Adun mempunyai bajet yang cukup untuk atasi masalah seperti perparitan, jalan, longkang dan sungai. Mungkin RM4 juta atau RM5 juta setahun. Kalau RM500 ribu itu hanya untuk program-program kemasyaratan dan kita pula tidak berani untuk membuat program-program pembangunan yang besar.

Adakah masalah ini sudah bawa ke Sidang Dun?

Telah dan akan terus dibawa.

Apakah pembangunan yang dibawa kerajaan negeri di Hulu Klang?

Masih terpacar-pacar. Yang dapat kepada Hulu Kelang tidak nampak kesannya lagi. Maknanya sebagai wakil rakyat tak akan bertindak seperti itu. Tidak boleh. Ia mesti bertindak dengan bajet yang memang fokus kepada menjaga kepentingan rakyat dan penduduk yang diwakilinya.
Sekarang ini bajet tidak turun ke bawah. Bajet itu difikirkan oleh Pejabat Menteri Besar oleh jabatan-jabatan tanpa mengira keperluan Dun dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Bagaimana pula dengan isu sosial di sini?

Masalah ini kita tangani dengan cara politik iaitu mendekati kanak-kanak sekolah. Contohnya kita berkempen di sekolah, dengan mengadakan pengajian-pengajian Islam dan juga fardu ain. Belia pula kita buat program sukan. Kita hendak membanyakkan kerja-kerja makruf untuk menentang kemungkaran.

Tiada ulasan: