KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 20, 2009

Pemansuhan PPSMI bukti kejayaan perjuangan rakyat


KUALA LUMPUR: Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Dato' Dr Hassan Ahmad menyifatkan pengumuman kerajaan berhubung pemansuhan PPSMI sebagai satu kejayaan perjuangan rakyat.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang telah memutuskan untuk memansuhkan PPSMI sepenuhnya mulai 2012.

"Pemansuhan PPSMI ini merupakan satu kejayaan perjuangan rakyat yang menuntut agar dasar ini dimansuhkan sejak ia dilaksanakan enam tahun yang lalu. Selaku pengerusi GMP saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memutuskan untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012," katanya pada sidang media di Rumah Pena, 9 Julai lalu.

Hassan juga menjelaskan bagi GMP, pengumuman itu bererti mulai tahun 2010 pelajar baru tahun satu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, sekolah menengah tingkatan satu dan tingkatan empat akan memulakan sesi baru tahun 2010 dengan menggunakan bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda sepenuhnya.

Untuk tujuan itu, katanya, kementerian seharusnya telah bersedia untuk menyediakan buku teks dan bahan-bahan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa kebangsaan atau dalam bahasa ibunda.

GMP juga jelas beliau, berharap agar perubahan ini berlaku bukan sahaja di peringkat sekolah rendah atau sekolah menengah sahaja malah meliputi semua peringkat pendidikan termasuk universiti.

Hassan berkata GMP begitu prihatin terhadap para pelajar sekolah yang pengusaan ilmu sains dan matematiknya bertaraf rendah akibat kegagalan memahami berbahasa Inggeris. Sehubungan itu, GMP berharap pihak Kementerian Pelajaran akan megadakan kelas pemulihan untuk membaiki pencapaian mereka setaraf dengan mutu pelajaran sains dan matematik sebelum 2003.

Bagi menghargai sokongan rakyat terhadap perjuangan memansuhkan dasar itu, GMP kata Hassan, akan menganjurkan Sambutan Pemansuhan PPSMI pada 19 Julai nanti yang akan diadakan di Stadium Bandar Baru Bangi, Selangor bermula jam 9.00 malam.

Sementara itu, Persatuan Penulis Nassional Malaysia (PENA) menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai satu tindakan berani demi memastikan kedudukan bahasa Melayu.

Timbalannya, Mohamad Saleeh Rahamad, berkata PENA berasakan keberanian itu sangat penting bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

Bagaimanapun, katanya pihaknya berharap keputusan baru ini tidak akan berubah apabila situasi politik negara berubah.

"Dalam masa yang sama, pemimpin-pemimpin yang berada dalam barisan kabinet sewajarnya menginsafi tragedi yang berlaku dan seterusnya hendaklah bermunasabah diri. Jangan lagi terperangkap dalam sindrom takut untuk bersuara apabila berdepan dengan isu yang mencabar kedaulatan negara," kata beliau dalam kenyataannya kepada Harakah.

Tiada ulasan: