KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 20, 2009

Merah hitam tema pakaian Himpunan MANSUH 1 Ogos 2009!

KUALA LUMPUR: Sekretariat Himpunan MANSUH menyeru orang ramai supaya mengenakan pakaian bertemakan 'merah hitam' ketika sama-sama menyatakan sokongan dalam perhimpunan aman membantah akta zalim itu, 1 Ogos depan.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata tema merah hitam yang dipilih sekretariat membayangkan hitamnya kehidupan mangsa-mangsa ISA, serta semaraknya kemarahan dan kebencian rakyat diterjemahkan dengan warna merah.

Beliau memberitahu program Himpunan MANSUH itu bermula jam 2 petang, dengan tiga 'checkpoint' iaitu Sogo, Masjid Negara dan Masjid Jamek, sebelum berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan 'Deklarasi Rakyat'.

"Himpunan MANSUH ini digerakkan bagi rakyat menyatakan sikap bantahan terhadap akta zalim yang digubal sejak 1 Ogos 1960, yang bererti sudah 49 tahun menzalimi rakyat Malaysia," tegas beliau dalam kenyataannya kepada Harakah.

Ia juga katanya sebagai kesinambungan pelbagai usaha Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dalam membawa kesedaran tentang kezaliman ISA, membela nasib keluarga dan tahanan, memansuhkan ISA dan menutup Kem Kamunting.

Justeru, Syed Ibrahim menyeru seluruh lapisan masyarakat yang cintakan keadilan, kebenaran dan keamanan untuk turut serta berhimpun pada 1 Ogos ini bagi menyatakan sikap tegas terhadap ISA.

Dalam pada itu, katanya siri ceramah umum sedang giat dijalankan seluruh negara hinggalah menjelang 1 Ogos ini. Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat berhubung himpunan MANSUH ini, boleh mengunjungi blog http://mansuhisa@wordpress.com.

Tiada ulasan: