KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 23, 2009

ISA sudah jadi undang-undang keselamatan pemerintah, lapuk & tidak merdeka

ALOR SETAR: Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada masa ini bukan lagi undang-undang keselamatan negara sebaliknya menjadi undang-undang keselamatan kepada tokoh dan pemimpin parti yang memerintah, demikian ditegaskan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, ISA adalah undang-undang zaman penjajah sedangkan negara ini memerlukan satu undang-undang yang merdeka tanpa mengongkong rakyat sebaliknya bertujuan untuk menjaga keamanan dan keselamatan.

"Bukan kita tidak boleh bertindak untuk selamatkan negara. Tetapi undang-undang itu sudah lapuk, undang-undang yang diamalkan oleh penjajah. Kita sudah merdeka, mesti undang-undang yang tidak mengongkong rakyat, yang menjaga keamanan, keselamatan.

"Apa yang berlaku hari ini undang-undang keselamatan negara menjadi undang-undang keselamatan pemimpin-pemimpin parti yang memerintah, keselamatan tokoh-tokoh yang memerintah, ini bukan undang-undang keselamatan negara!" tegasnya pada sidang media di Hotel Holiday Villa, di sini 20 Julai lalu.

Ditanya wartawan mengenai kedapatan pihak dalam Umno yang mulai mempertikaikan ISA, Ustaz Hadi menyifatkan perkara itu sebagai kejayaan dari teguran dan kritik dibuat selama ini.

"Menunjukkan bahawa mereka (Umno) sudah tidak bersetuju dengan konsep ISA itu dan dasarnya yang perlu dikaji semula, perlu dinilai semula. Apatah lagi akta ini akta dari zaman penjajahan, negara kita telah mencapai kemerdekaan, sepatutnya dilakukan pembaharuan termasuklah pembaharuan undang-undang; memerdekakan undang-undang negara, undang-undang negara mesti dibebaskan dari belengu-belengu kezaliman yang mengongkong rakyat.

"Umno juga ada yang setuju mansuh, ada yang setuju pinda, (maknanya) dalam Umno sudah ada perbahasan di dalam mereka," ujarnya pada sidang media selepas selesai Retreat PAS Pusat yang berlangsung selama tiga hari itu.

Turut serta pada sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato' Mahfuz Omar; Ketua Muslimat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Setiausaha Agung, Dato' Mustafa Ali; Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sajak oleh:
Tuan Hj Mohamad Sabu
16 Mei 2009


I.S.A

Kamilah hakim
Kamilah peguam
Kamilah saksi-saksi
Kami penentu masa depan kamu.

Kamulah yang tahu kenapa kamu di sini
Kamu yang mencari tempat ini
Kamu yang memilih untuk ke sini
Kamu suka tempat ini
Kamu menentukan cara hidup kamu.

Kami tidak menyuruh kamu ke sini
Kami tidak suka kamu ke sini
Kami tidak penjarakan kamu
Kenapa kamu penjarakan diri sendiri.

Tak sayangkah kamu kepada anak-anak?
Tak sayangkah kamu kepada emak ayah?
Tak sayangkah kamu kepada isteri?
Kamu menganiaya mereka!
Kamu menganiaya mereka!

Kawan-kawan kamu baik
Kawan-kawan kamu menolong kamu
Kawan-kawan kamu menghantar isteri kamu ke sana ke mari
Kawan-kawan kamu khidmat pada kamu
Kamu percaya pada kawan-kawan kamu?

Tahukah kamu betapa banyak telah berlaku?
Kawan-kawan curang kepada kawan?
betapa banyak isteri pejuang dikhianati kawan?
berapa banyak isteri pejuang memohon cerai?
berapa banyak isteri pejuang melaku curang?

Kamu menentukan ibu kamu derita
Kamu penyebab ayahmu derita
Kamu penyebab anak-anakmu menderita
Kamu penyebab isterimu derita
Kamu penyebab jika isterimu berlaku curang.

Cari jalan keluar dari sini
Kamulah menentukan nak keluar atau terus di sini
Kamu nak keluar besok?
Kamu nak keluar minggu depan?
Kamu nak keluar bulan depan?
Kamu nak keluar tahun hadapan?
Kamu nak keluar 10 tahun lagi?
Kamu yang menentukan!
Saudara......, cari lah jalan keluar!
Kamu menentukan masa depan kamu....

Kamu di sini kerana kamu!
Kamu mementingkan diri!
Kamu nak naik!
Kamu nak terkenal!v Kamu nak pandangan kamu didengar!
Kamu nak kamu dijulang!
Kamu nak nama terbilang!
Kami apa peduli!
Kami jaga keamanan....
Kerana kamu, ucapan kamu, hasutan kamu
Nyawa orang lain terancam
Harta orang lain terancam
Keselamatan orang lain terancam

Kami tak kira menteri
Kami tak kira datok
Kami tak kira Anwar
Kami tak kira Karpal
Kami tak kira Tok Guru
Kami jaga keamanan...
Kami jaga keselamatan

Pintu untuk keluar ada
Pintu untuk taubat ada
Pintu untuk penyesalan ada
Pintu untuk kepangkal jalan ada
Kamulah penentu untuk memilih pintu
Pintu untuk keluar dari sini kamu tentukan

Nak menjadi hero?
Nak menjadi pejuang?
Nak kepada sanjungan?
Nak pertahan pendapat kamu?
Kamulah memilih berapa lama di sini!


(Oleh Hj Mohamad Sabu) * 16Mei 2009

* Sajak ini dikarang sendiri dan dideklamasikan oleh Tuan Hj Mohamad Sabu di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar pada 16 Mei 2009 (Majlis Jamuan Makan & Pengumpulan Dana Utk Mangsa ISA)

*Ia ditujukan buat semua rakyat buat yang belum kenal, nak mengenal dan telah mengenal ISA, yang belum dan yang telah masuk atau keluar dari ISA itu sendiri.

*Untuk makluman akta ISA itu, dalam dunia ini hanya 4 buah negeri yang masih mengekalkannya iaitu Malaysia, Singapura, Burma dan Israel......yang lain semua dah buang dan tutup buku. (Kem Guantanamo bukan seperti ISA....ia tidak dijalankan di Amerika kerana undang-undang Amerika tidak membenarkan penangkapan tanpa melalui mahkamah, sebab itu Kem Guantanamo adalah arahan Amerika tetapi dijalankan di luar negara itu (negara lain menjadi baruahnya).

www.mohamadsabu.com